KOTA KINABALU: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengesahkan seramai 125,400 penduduk di daerah ini dikenal pasti bukan warga negara.
Statistik itu berdasarkan kajian DOSM edisi 24 Disember 2025 yang didedahkan empat wakil rakyat Parti Warisan Sabah, hari ini.
Wakil rakyat terbabit ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api, Loi Kok Liang; ADUN Luyang, Samuel Wong; ADUN Inanam, Edna Majimbun dan ADUN Kapayan Chin Tek Ming.
Wakil rakyat itu menyifatkan angka berkenaan menunjukkan peningkatan besar seramai 46,300 orang atau 58.5 peratus berbanding 79,100 orang pada 2021.
Kenyataan media empat ADUN pembangkang itu menyebut, peningkatan ketara itu menimbulkan persoalan memandangkan dasar kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Pakatan Harapan (PH) sejak 2020 menekankan usaha mengurangkan jumlah warga asing dan penduduk bukan warganegara di Sabah.
“Data DOSM menunjukkan jumlah penduduk bukan warga negara di Kota Kinabalu meningkat secara berterusan daripada 79,100 orang pada 2022 kepada 81,700 orang pada 2023.
“Peningkatan paling mendadak dicatatkan pada 2024, apabila jumlah penduduk bukan warganegara melonjak kepada 121,800 orang, melibatkan pertambahan 21,700 orang dalam tempoh setahun,” katanya.
Mereka berkata, mengikut rekod DOSM, Kota Kinabalu berada di kedudukan ketiga daerah dengan populasi penduduk bukan warganegara tertinggi di Sabah selepas Sandakan yang mencatatkan 195,100 orang dan Tawau seramai 142,900 orang.
Kenyataan itu turut memaklumkan jumlah 125,400 orang itu mewakili kira-kira 20.9 peratus daripada keseluruhan demografi penduduk Kota Kinabalu yang kini dianggarkan sekitar 600,000 orang.
Mereka turut mempersoalkan komitmen kerajaan negeri dalam menangani isu penduduk bukan warganegara memandangkan angka berkenaan terus meningkat saban tahun.
“Sebagai perbandingan, DOSM merekodkan seramai 1,043,200 penduduk bukan warganegara di Sabah, menunjukkan pertambahan 279,200 orang berbanding 810,400 orang kerika pentadbiran kerajaan Warisan Plus.
“Parti WARISAN memaklumkan isu itu sudah dibangkitkan sejak tahun lalu oleh Ketua Wira WARISAN, Terrence Au, namun sehingga kini masih belum menerima penjelasan jelas daripada pimpinan kerajaan negeri hari ini berhubung peningkatan mendadak jumlah penduduk bukan warganegara di negeri ini,” katanya. – UTUSAN










