Universiti perlu terus jadi pilihan generasi muda

Universiti perlu terus jadi pilihan generasi muda

KEMASUKAN pelajar baharu kali ini membuktikan bahawa UPM kekal menjadi pilihan utama generasi muda untuk membina masa depan yang cemerlang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERAMAI 4,316 pelajar baharu mendaftar di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi sesi akademik 2025/2026, sekali gus memperkukuh peranan universiti sebagai destinasi utama pendidikan tinggi khususnya sebagai peneraju bidang pertanian dan keterjaminan makanan negara, di samping menawarkan pengalaman pembelajaran dan kehidupan kampus.

Daripada jumlah itu, seramai 4,190 pelajar akan mendaftar di UPM Serdang manakala 126 pelajar di UPM Sarawak. Angka ini meningkat berbanding tahun lalu iaitu 4,214 pelajar, sekali gus memperlihatkan keyakinan yang berterusan terhadap kualiti akademik UPM.

Tahun ini, UPM menerima 1,518 pelajar lelaki dan 2,798 pelajar perempuan berbanding 1,770 lelaki dan 2,444 perempuan pada tahun sebelumnya.

Peningkatan ini turut menyaksikan 1,319 pelajar baharu memilih bidang Agrobio dan pertanian, berbanding 1,300 tahun lalu.

Program sarjana muda yang ditawarkan di UPM dalam bidang Agrobio yang berkaitan dengan pertanian merangkumi Sains Pertanian dengan Kepujian, Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem dengan Kepujian, Sains dan Teknologi Makanan dengan Kepujian serta Sains Bioteknologi dengan Kepujian.

Seiring keperluan pasaran, UPM turut memperkenalkan program baharu seperti Kewangan Gunaan dengan Kepujian di bawah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SBE).

UPM juga terus menjadi universiti mesra atlet sukan apabila menjadi pilihan 74 atlet negara yang pernah mewakili Malaysia di kejohanan antarabangsa termasuk ragbi, memanah, gimnastik dan hoki.

UPM turut memberi peluang pendidikan inklusif kepada 1,687 pelajar daripada keluarga B40, sembilan pelajar Orang Asli dan 10 pelajar orang kurang upaya (OKU).

Kemasukan pelajar baharu kali ini membuktikan bahawa UPM kekal menjadi pilihan utama generasi muda untuk membina masa depan yang cemerlang.

Mereka bukan sahaja akan menerima bimbingan untuk menjadi graduan holistik yang mampu menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negara serta pembangunan komuniti global, malah menjadi graduan berdaya saing dan inklusif yang bakal menjadi pemimpin masa depan dalam bidang kepakaran masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×