Kelestarian laut teras keterjaminan makanan negara

Kelestarian laut teras keterjaminan makanan negara

SELAIN memenuhi keperluan makanan, industri maritim menyumbang berbilion ringgit kepada ekonomi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA sebagai sebuah negara maritim yang kaya dengan khazanah laut berdepan cabaran besar seperti pencemaran, perubahan iklim dan degradasi habitat.

Semua ini mengancam kelestarian sumber protein utama rakyat. Dalam situasi ini, lahirlah pejuang generasi baharu. Para penyelidik yang tanpa jemu mencari jawapan, membina teknologi dan berkongsi ilmu demi memastikan rakyat terus menikmati rezeki laut yang segar, selamat dan berterusan.

Baru-baru ini, dunia penyelidikan perikanan negara menjadi tumpuan apabila spesies ikan baharu, Baji Azizah, ditemui. Penemuan ini bukan sekadar catatan saintifik tetapi bukti lautan kita masih menyimpan rahsia yang berharga.

Kajian seperti ini amat penting untuk pengurusan sumber marin yang lebih tepat dan lestari.

Dengan garis pantai sepanjang 4,675 kilometer (km), Malaysia bergantung besar pada laut. Sekitar 71 peratus sumber protein rakyat datang daripada hasil tangkapan dan 29 peratus daripada akuakultur.

Selain memenuhi keperluan makanan, industri ini menyumbang berbilion ringgit kepada ekonomi. Namun, kekayaan ini terancam oleh penangkapan berlebihan, pencemaran plastik, perubahan iklim serta kemasukan spesies asing.

Jika tidak ditangani, negara berisiko kehilangan sumber makanan laut dan bergantung pada import.

Di sinilah peranan penyelidik menjadi benteng pertahanan. Mereka mengira stok ikan, menetapkan musim larangan, membangunkan teknik akuakultur mampan, mencipta inovasi makanan ternakan laut, meneliti ekosistem marin dan menguji keselamatan hasil laut. Senjata mereka bukan meriam atau senapang tetapi mikroskop, jaring plankton dan perisian analisis.

Kemerdekaan bagi seorang penyelidik bukan hanya bebas daripada penjajahan fizikal tetapi juga kebebasan membina ilmu, inovasi dan teknologi berpaksikan realiti tempatan. Ia juga tanggungjawab menyebarkan pengetahuan kepada masyarakat, pembuat dasar serta pengusaha supaya laut terus dijaga dan hasilnya digunakan secara berhemah.

Kerana itu kita perlu menghargai nelayan, penternak, pembuat dasar dan penyelidik yang bersama-sama mempertahankan keterjaminan makanan negara.

Laut adalah warisan, sumber marin adalah khazanah, manakala ilmu yang kita usahakan hari ini ialah benteng untuk generasi akan datang. Selagi ada anak bangsa yang sudi mengkaji dan berinovasi, kemerdekaan kita akan terus bermakna.

DR. ROSLIZAWATI AB. LAH
Ketua Program Sarjana Muda Sains Gunaan (Perikanan),
Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur (FSPA),
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×