Contohi pengorbanan misi Sumud Flotilla

Contohi pengorbanan misi Sumud Flotilla

KEBERANIAN mereka untuk mencuba sudah cukup untuk membuka hati manusia agar turut peduli dengan apa yang berlaku. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA semua dapat lihat melalui pengorbanan dan keberanian para sukarelawan dari seluruh dunia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla, dimana ia merupakan satu inisiatif hebat dan berani untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke bumi Gaza yang sedang dikepung dan diuji dengan penderitaan yang tidak henti.

Ada dalam kalangan mereka yang menjual harta sendiri untuk membiayai perjalanan mereka untuk sampai ke bumi Gaza, meninggalkan ahli keluarga tercinta dan rela untuk berhadapan dengan ujian dan cabaran jalan laut yang jauh untuk tiba ke destinasi demi membawa bantuan perubatan dan makanan kepada saudara kita.

Mereka juga tahu akan risiko yang akan mereka hadapi seperti kemungkinan akan dipintas, tidak akan pulang dengan selamat, namun mereka tetap teguh teruskan perjuangan kerana dalam hati mereka sudah tertanam satu keyakinan di mana kemanusiaan tidak boleh tunduk kepada ketakutan.

Walaupun misi flotilla ini mungkin tidak mencapai matlamat, namun mereka telah berjaya menyampaikan mesej dan membuka mata seluruh dunia atas kekejaman yang berlaku, sekaligus membuktikan bahawa masih ada manusia yang berani untuk memperjuangkan keadilan demi kemanusiaan.

Global Sumud Flotilla telah memperlihatkan kepada seluruh dunia tanpa mengira agama dan bangsa bahawa dalam lautan yang tidak menjanjikan kepastian sekalipun, masih mampu untuk kita berjuang demi mempertahankan nilai kemanusiaan.

Keberanian mereka untuk mencuba sudah cukup untuk membuka hati manusia agar turut peduli dengan apa yang berlaku. Besarlah harapan agar semangat sumud ini terus menyala dalam diri kita semua, untuk mendorong kita untuk sama-sama berbuat kebaikan walaupun sekecil-kecil perkara dan berjuang walaupun ia sukar.

Pengorbanan bukanlah sekadar tindakan, tetapi ia juga merupakan sebuah keyakinan bahawa setiap usaha ikhlas yang kita lakukan ada nilai dan menjadi cahaya di sisi Allah SWT. – UTUSAN

ZUHAIMI ABDUL RAHIM
Pengarah Pusat Islam Universiti
Universiti Putra Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN