Pempengaruh perjuang isu Gaza wajar dicontohi

Pempengaruh perjuang isu Gaza wajar dicontohi

PENGARUH media sosial oleh para pempengaruh dan aktivis ini dilihat sebagai satu pendekatan berkesan dalam membangkitkan kesedaran awam global terhadap isu kemanusiaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MISI Global Sumud Flotilla ke Gaza merupakan antara contoh jelas bagaimana pengaruh media sosial dapat digunakan untuk menyebarkan maklumat dan meningkatkan kesedaran global terhadap isu kemanusiaan.

Siaran langsung di media sosial yang dilakukan oleh para peserta ketika pemintasan berlaku telah menjadi sumber utama maklumat kepada masyarakat antarabangsa mengenai insiden tersebut. Tayangan langsung dan rakaman yang disebarkan menunjukkan suasana sebenar misi yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza tanpa sebarang senjata, seterusnya menarik perhatian umum terhadap situasi yang sedang berlaku.

Barisan peserta gelombang kedua misi ini terdiri daripada pempengaruh, aktivis, tokoh politik, selebriti dan wartawan dari 44 buah negara termasuk Malaysia. Mereka bukan sekadar wajah dikenali ramai, tetapi juga memainkan peranan penting dalam strategi komunikasi misi Break the Siege, Break the Silence yang bertujuan menarik perhatian global terhadap keadaan di Gaza. Melalui capaian media sosial dan pengaruh yang dimiliki, mesej kemanusiaan ini berjaya disebarkan kepada khalayak lebih luas dan menyemarakkan solidariti antarabangsa terhadap penduduk Gaza.

Sepanjang pelayaran, para peserta aktif berkongsi perkembangan misi melalui siaran langsung, hantaran dan video di pelbagai platform sosial. Interaksi yang terjalin dengan para pengikut telah mewujudkan satu bentuk keterhubungan maya yang menjadikan orang ramai lebih dekat dengan perjalanan misi tersebut. Usaha ini turut membantu menyalurkan maklumat secara terus daripada sumber pertama dan memberi perspektif lebih jelas tentang keadaan sebenar di lapangan.

Selepas insiden penahanan, pelbagai rakaman dan catatan yang dimuat naik menjadi rujukan penting kepada media antarabangsa dalam memahami situasi yang berlaku.

Walaupun terdapat pelbagai naratif yang disebarkan, bahan-bahan rakaman tersebut menjadi sumber bukti yang membantu masyarakat antarabangsa menilai insiden secara lebih objektif. Tekanan daripada masyarakat global juga dilihat memainkan peranan dalam mempercepatkan pembebasan para peserta misi.

Pembebasan mereka kemudiannya membuka ruang kepada liputan lebih meluas tentang pengalaman semasa penahanan. Melalui sesi wawancara bersama media, peserta misi berkongsi pengalaman dan pandangan mereka mengenai misi ini, yang seterusnya disiarkan di pelbagai saluran berita dan media sosial. Perkongsian ini membantu memperkukuh kefahaman masyarakat dunia tentang cabaran yang dihadapi oleh para sukarelawan dan penduduk Gaza secara keseluruhan.

Strategi penggunaan pengaruh media sosial oleh para pempengaruh dan aktivis ini dilihat sebagai satu pendekatan berkesan dalam membangkitkan kesedaran awam global terhadap isu kemanusiaan. Ia membuktikan bahawa media sosial bukan sekadar ruang hiburan, tetapi juga alat penting untuk penyebaran maklumat, pembentukan pandangan umum dan gerakan solidariti antarabangsa.

Meskipun peserta Global Sumud Flotilla Nusantara Malaysia telah selamat kembali ke tanah air, perjuangan kemanusiaan ini diteruskan melalui gelombang ketiga.

Misi ini disertai oleh petugas perubatan dan wartawan dengan tujuan membawa bekalan ubat-ubatan dan meneruskan usaha bantuan.

Sokongan masyarakat antarabangsa amat diperlukan, sama ada melalui penyertaan fizikal, sumbangan atau perkongsian maklumat agar isu kemanusiaan di Gaza terus mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya daripada dunia. – UTUSAN

DR. SITI AISHAH MOHAMMAD RAZI
Pensyarah Jabatan Komunikasi,
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×