Kerajaan Gaza nafi kenakan bayaran terhadap lori bantuan

Kerajaan Gaza nafi kenakan bayaran terhadap lori bantuan

TRAK yang sarat bantuan kemanusiaan menunggu kebenaran untuk masuk ke Gaza di persimpangan Rafah sebelah Mesir.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Pejabat Media Kerajaan Gaza menafikan dakwaan mengenakan cukai atau bayaran terhadap lori komersial, sebaliknya menuduh Israel menyebarkan maklumat palsu bagi mewajarkan sekatan kemasukan barangan ke wilayah itu.

Dalam kenyataan pada Khamis, pejabat itu turut menggesa Israel dipaksa membenarkan kemasukan 600 lori ke Gaza setiap hari, lapor Anadolu.

Penafian itu susulan dakwaan penyelaras aktiviti kerajaan Israel di wilayah Palestin, Yoram Halevi, pada Rabu berhubung pengenaan caj terhadap peniaga serta langkah mengawal urus niaga tunai di Gaza.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pejabat itu menuduh Israel melancarkan kempen maklumat palsu dan cuba menyalahkan pihak berkuasa Gaza atas kelewatan membenarkan lori memasuki wilayah berkenaan.

Menurut kenyataan itu, pihaknya turut menghubungi pengantara dan badan antarabangsa bagi menjelaskan pendirian serta memberi amaran bahawa tindakan tambahan Israel boleh memburukkan krisis kemanusiaan di Gaza.

Pejabat itu menegaskan tiada cukai atau bayaran kerajaan dikenakan terhadap lori komersial, malah tiada kutipan seumpama itu dibuat daripada aktiviti komersial sepanjang tiga tahun lalu berikutan keadaan kemanusiaan dan ekonomi luar biasa di wilayah berkenaan.

Halevi dalam surat kepada pegawai antarabangsa mendakwa Hamas menuntut peniaga membayar 10,000 shekel (RM13,170) bagi setiap lori yang memasuki Gaza, sehingga mendorong sektor swasta menghentikan penyelarasan kemasukan barangan.

Pejabat Media Kerajaan Gaza berkata, jumlah itu berkaitan dengan ‘inisiatif komuniti secara sukarela’ yang melibatkan ahli perniagaan, tokoh masyarakat, institusi dan syarikat.

Dana berkenaan disalurkan bagi membantu anak yatim, balu, kanak-kanak dan pelajar yang memerlukan, selain membiayai projek perumahan, sanitasi dan bantuan kemanusiaan.

Halevi turut mendakwa Hamas mewajibkan peniaga menjual 30 peratus barangan secara tunai bagi mengawal aliran dana.

Bagaimanapun, pejabat media itu menjelaskan langkah urus niaga tunai sebanyak 30 peratus diperkenalkan bagi menangani kekurangan wang tunai yang serius, peredaran meluas wang kertas lusuh serta memudahkan urusan jual beli.

Menurut pejabat itu, langkah berkenaan dicadangkan dan dipersetujui oleh Dewan Perniagaan, bukannya diputuskan secara sepihak oleh kerajaan.- ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini