BUKIT JALIL: Pelakon, Dian P. Ramlee meluahkan rasa terkilan apabila pengalaman dan kredibiliti golongan pelakon veteran seolah-olah tidak dihargai segelintir pihak produksi yang menawarkan bayaran tidak setimpal dengan khidmat diberikan.
Menurut Dian, 68, pengalaman puluhan tahun dalam bidang lakonan seharusnya menjadi nilai tambah kepada seseorang pelakon veteran, apatah lagi kemampuan mereka menggalas pelbagai karakter mampu memudahkan urusan penggambaran.
“Kadang-kadang saya sendiri rasa seperti tidak mempunyai nilai. Kita ini pelakon lama. Walaupun watak yang dibawakan tidak banyak dan sekadar penampilan khas, kadang-kadang ada pelakon baharu yang terus mendapat watak utama sebagai hero atau heroin memandang kita dengan cara tertentu.
“Bukan semua pelakon baharu begitu, tetapi kadang-kadang kita terasa. Jangan hanya bercakap mengenai bayaran kerana dalam soal layanan pun kita terasa. Dari segi bayaran, memang itu sentiasa menjadi isu utama bagi pelakon veteran.
“Ada pihak merasakan tidak berbaloi membayar kami, sedangkan mereka silap. Kamilah yang memudahkan kerja mereka. Berikan apa sahaja naskhah, kami sudah tahu bagaimana hendak membawakan watak tersebut.
“Kadang-kadang skrip pun belum ada, sampai di set baru diberikan skrip dan diterangkan mengenai karakter. Tetapi ada pula yang beranggapan, bayar sedikit pun kami akan terima kerana tidak ada duit. Kami juga manusia dan mempunyai perasaan,” katanya ketika ditemui di Watch Party drama Suamiku Anak Mak episod 20, malam tadi.
Bagaimanapun, pelakon yang kini mencuri perhatian menerusi watak Mak Leha tersebut mengakui soal bayaran bukan perkara pertama yang dititikberatkannya setiap kali menerima tawaran lakonan.
“Sejak dahulu sehingga sekarang, perkara terakhir yang saya akan tanya adalah mengenai bayaran. Kalau saya rasa bayarannya berbaloi, saya akan terima. Kalau terlalu sedikit, saya akan minta mereka naikkan sedikit.
“Dahulu, saya banyak membantu pengurus produksi yang baru hendak meningkat naik. Kalau mereka mempunyai kekangan bajet dan memerlukan khidmat saya untuk satu hari penggambaran, saya boleh bertolak ansur.
“Namun, sekarang kalau rendah pun, kita tengok serendah mana. Kalau terlalu rendah, saya tidak mahu. Pihak produksi sudah ada bajet masing-masing dan kita sebagai pelakon veteran pun sudah tahu kadar bayaran harian,” kongsinya.
Simpati dengan nasib rakan seperjuangan yang lebih berusia dan semakin tersisih, Dian berharap pihak produksi dapat memperjuangkan kebajikan golongan tersebut dengan membuka ruang kepada mereka untuk terus berkarya, selain menawarkan bayaran yang sewajarnya.
“Kadang-kadang saya kasihan melihat pelakon veteran yang lebih tua daripada saya. Saya tahu bagaimana kehidupan mereka. Ada yang sudah tidak mendapat tawaran lakonan. Apa salahnya kalau ada satu tawaran, panggillah mereka dan berikan bayaran.
“Bukannya rugi pun. Sekurang-kurangnya, buatlah mereka berasa dihargai. Sejak dahulu lagi kita banyak membantu pihak produksi. Kalau boleh, perjuangkanlah juga bayaran mereka. Kita sama-sama bekerja dalam industri ini,” ujarnya. – UTUSAN











