BRUSSELS: Amerika Syarikat (AS) dijangka menangguhkan kajian yang dinanti-nantikan berhubung kehadiran tenteranya di Eropah sehingga 2027, menurut sumber diplomatik di Brussels.
Pegawai kanan pertahanan AS, Elbridge Colby sebelum ini berkata, kajian itu akan dibentangkan kepada Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth, selewat-lewatnya pada 1 Disember, sehari sebelum mesyuarat Menteri Luar Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dijadualkan berlangsung.
Bagaimanapun, dua diplomat Eropah berkata, kajian itu akan ditangguhkan, manakala seorang lagi mengesahkan tiada pengumuman akan dibuat pada mesyuarat Disember berkenaan.
“Pengumuman mengenai kajian penempatan tentera berkemungkinan ditangguhkan sehingga tahun depan,” kata seorang diplomat kepada AFP.
Pentadbiran AS memulakan kajian rasmi mengenai kehadiran tenteranya di Eropah pada musim panas lalu, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan sekutunya Washington mungkin mengurangkan jumlah tenteranya di benua itu.
AS sebelum ini menjelaskan kepada negara-negara Eropah, sekutu NATO di benua itu perlu mengambil alih tanggungjawab utama terhadap pertahanan konvensional masing-masing, ketika Washington mengalihkan tumpuan kepada China.
Bagaimanapun, beberapa pihak bimbang pengurangan kehadiran tentera AS boleh menjejaskan keupayaan pencegahan NATO dalam menghadapi tindakan agresif Russia.
Washington berulang kali meredakan kebimbangan itu dengan menegaskan komitmennya terhadap Eropah.
Kajian berkenaan turut meneliti cara tentera AS menggunakan pangkalan ketenteraan di rantau itu.
Sebelum ini, Washington mengkritik beberapa negara Eropah kerana tidak membenarkan AS menggunakan pangkalan NATO di wilayah mereka ketika perang menentang Iran.











