Hakim sekat majikan perlu bayar untuk mohon visa pekerja - Utusan Malaysia

Hakim sekat majikan perlu bayar untuk mohon visa pekerja

GAMBAR fail Mahkamah Agung AS. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin menghalang Presiden Donald Trump daripada mengenakan bayaran sebanyak AS$100,000 (RM406,000) ke atas majikan yang memfailkan permohonan visa bagi pekerja asing berkemahiran tinggi.

Hakim Daerah, Leo Sorokin, memutuskan dalam saman yang difailkan oleh 20 negeri yang ditadbir parti Demokrat bahawa langkah itu merampas kuasa percukaian yang terletak di bawah bidang kuasa Kongres AS dan bahawa bayaran bagi visa H-1B tersebut merupakan cukai yang menyalahi undang-undang.

“Substansi dan pelaksanaan bayaran AS$100,000 itu menunjukkan bahawa ia sebenarnya adalah cukai, tanpa mengira apa jua nama yang diberikan kepada bayaran tersebut,” tulis Sorokin dalam penghakiman setebal 42 muka surat.

“Presiden tidak mempunyai kuasa atau kuasa yang diwakilkan untuk mengenakan cukai ke atas petisyen H-1B,” katanya lagi.

Bagaimanapun, seorang lagi hakim persekutuan telah mengekalkan bayaran AS$100,000 itu dalam satu kes berasingan pada Disember lalu. Keputusan tersebut kini sedang melalui proses rayuan.

Saman berkenaan difailkan oleh Dewan Perniagaan AS dan Persatuan Universiti Amerika yang mewakili 69 institusi penyelidikan.

Trump mengumumkan dasar baharu visa H-1B itu pada September tahun lalu, dengan alasan bahawa sistem tersebut disalahgunakan untuk menggantikan pekerja Amerika dengan pekerja asing yang sanggup bekerja dengan gaji lebih rendah.

Bayaran visa H-1B itu merupakan sebahagian daripada tindakan lebih luas pentadbiran Republikan untuk mengetatkan dasar imigresen sejak Trump kembali ke Rumah Putih.

Amerika memperuntukkan 85,000 visa H-1B setiap tahun menerusi sistem cabutan undi. Rakyat India merangkumi kira-kira tiga perempat daripada keseluruhan penerima visa tersebut.

Sebelum ini, yuran visa H-1B hanya mencecah sehingga AS$5,000 (RM30,300).

Usahawan teknologi, termasuk bekas sekutu Trump, Elon Musk, telah memberi amaran supaya visa H-1B tidak dijadikan sasaran sekatan kerana AS tidak mempunyai tenaga mahir tempatan yang mencukupi untuk mengisi kekosongan penting dalam sektor teknologi. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN