Bidang komunikasi massa sebenarnya merupakan medan strategik yang membentuk pemimpin pemikiran dan pemikir kritis dalam masyarakat. Ia menjadi jambatan antara fakta dan kefahaman bagi menghubungkan rakyat dengan pembuat dasar, serta menerangkan isu rumit dalam bahasa yang mudah difahami umum.
Bidang ini mengasah pelajarnya menjadi ejen perubahan yang bukan sahaja petah berbicara tetapi juga tajam dalam pemikiran, sensitif terhadap persekitaran serta beretika dalam setiap penyampaian.
Graduan dilatih untuk berfikir secara kritis dan analitis dalam menilai maklumat secara objektif, membaca perubahan sosial serta menangkap sentimen semasa masyarakat, memahami sensitiviti budaya dalam komunikasi merentas kaum dan seterusnya menyampaikan mesej secara strategik, berkesan serta diyakini oleh khalayak. Justeru, berbekalkan kemahiran ini, mereka berperanan memastikan maklumat yang disampaikan sentiasa tepat, berimbang dan berintegriti.
Dalam era ledakan informasi tanpa sempadan, bidang ini menjadi benteng utama yang memisahkan fakta daripada penipuan, memastikan suara yang bijak, bertanggungjawab dan beretika mengatasi kebisingan maklumat yang tidak sahih atau memesongkan.
Kajian JobStreet 2023 mendapati 95 peratus majikan di negara ini meletakkan kemahiran komunikasi sebagai kriteria utama pengambilan pekerja. Keadaan ini menunjukkan komunikasi bukan bidang remeh, sebaliknya kunci penting dalam hampir semua sektor kerjaya masa kini.
Majikan sedar tanpa kemahiran berkomunikasi yang baik sama ada lisan, tulisan, mahupun digital akan menyebabkan pekerja sukar menyampaikan idea, bekerja dalam pasukan, mahupun berurusan dengan pelanggan.
Laporan Economist Impact 2023 mendapati 54 peratus pekerja di Malaysia menganggap kemahiran insaniah sebagai sangat penting dan dalam kategori ini kemahiran komunikasi interpersonal serta antara budaya mencatat peratusan tertinggi iaitu sebanyak 81.5 peratus. Jelas sekali, kebolehan berkomunikasi merentasi medium dan budaya diiktiraf sebagai salah satu kemahiran teras untuk berjaya dalam kerjaya moden.
Dalam era maklumat pantas dengan berita palsu berleluasa, graduan bidang ini berperanan sebagai benteng pertahanan kebenaran. Mereka adalah ‘penjaga naratif’ yang memastikan hanya fakta sahih dan suara beretika diketengahkan. Dunia hari ini tidak kekurangan suara lantang, tetapi kekurangan suara berintegriti dan bijaksana. Di sinilah graduan komunikasi massa memainkan peranan penting bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi memastikan kebenaran dan etika ditegakkan di tengah hiruk-pikuk informasi.
Hari ini, kerjaya graduan bidang ini tidak lagi terbatas kepada bidang kewartawanan atau penyiaran semata-mata. Mereka kini menjadi peneraju dalam pelbagai industri strategik yang memerlukan kemahiran komunikasi berimpak tinggi.
Dalam peranan ini, lulusan komunikasi media muncul sebagai pemimpin yang mencorak haluan organisasi, bukan sekadar mengikut arus. Berbekal kemahiran komunikasi strategik, mereka membawa perspektif segar yang mempengaruhi arah tuju organisasi dan masyarakat.
Bidang komunikasi massa wajar diangkat setaraf dengan bidang profesional lain seperti kejuruteraan, sains atau perubatan. Jika jurutera membina infrastruktur fizikal negara, komunikasi massa pula melahirkan ‘jurutera sosial’ yang membina jambatan komunikasi dalam masyarakat. Program pengajiannya juga menuntut tahap intelektual serta kemahiran teknikal tinggi, serupa dengan disiplin lain.
Bidang ini menghasilkan pemimpin yang mampu berfikir jauh ke hadapan dan menyampaikan idea dengan efektif. Seorang jurutera boleh mencipta teknologi canggih tetapi tanpa komunikator massa, inovasi tersebut mungkin gagal difahami atau diterima masyarakat. Pendek kata, komunikasi ialah gam yang menyatukan pelbagai disiplin dengan komuniti. – UTUSAN
NUR DINIE SOUFI NOOR SHAM & NURUL NISHA MOHD SHAH
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau










