Siapa sebenarnya layak jadi ulama?

Siapa sebenarnya layak jadi ulama?

SESEORANG yang layak digelar ulama apabila mempelajari secara mendalam bidang-bidang asas dalam ilmu agama seperti bahasa Arab, hadis, al-Quran, akidah dan fiqh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM menjalani kehidupan sebagai Muslim, kita biasanya didedahkan dengan pelbagai pandangan dan hukum sama ada pada aspek akidah, fiqh dan juga akhlak. Namun pandangan manakah yang perlu diikuti?

Kita tidak boleh secara bebas mencipta makna al-Quran dan hadis menurut kehendak dan pemikiran sendiri. Sebaliknya, kita bertanggungjawab untuk meneliti, mengkaji dan memahami maksud asalnya, setakat kemampuan yang ada. Kaedah ini sudah pasti jelas bertentangan dengan fahaman pascamoden yang mendakwa tiada satu cara yang betul pun untuk mentafsir teks.

Oleh itu, Islam sebagai agama yang berteraskan ilmu memberikan autoriti kefahaman agama hanya kepada ulama. Dalam Islam, tidak wujud satu autoriti pusat yang berperanan menentukan tafsiran rasmi terhadap teks suci seperti pope dalam Kristian atau seorang walid dalam kumpulan ajaran sesat. Apabila kuasa penuh berkenaan agama diberi kepada seseorang, maka ini seolah-olah dia mempunyai hubungan istimewa dengan Allah seperti nabi atau rasul. Dalam Islam, Nabi Muhammad adalah nabi terakhir dan tiada siapa selepas baginda yang boleh mendakwa menerima wahyu daripadaNya.

Sebaliknya, ajaran Islam dipelajari dan difahami melalui al-Quran dan sunnah, bukan melalui arahan seseorang individu tertentu. Untuk memahami agama dengan betul pula, seseorang perlu belajar, mengkaji, dan mendalami ilmu, sama seperti mana kita belajar bidang perubatan, sains atau matematik. Dalam semua bidang ini, seseorang hanya dianggap pakar selepas melalui proses pendidikan yang ketat dan diuji dengan piawaian dan syarat tertentu. Begitu juga dalam Islam. Tidak cukup sekadar berpendapat atau bercakap pandai.

Fatwa atau pandangan agama mesti berdasarkan dalil yang sah dan hujah yang kuat, bukan mengikut rasa atau emosi. Kerana itu, hanya mereka yang benar-benar berilmu dan berkelayakan dibenarkan untuk bercakap dalam hal agama. Dalam masa sama, Islam memberi ruang kepada perbezaan pandangan selagi ia berpandukan ilmu yang sah dan adab yang betul. Inilah keindahan Islam sebagai agama yang menghargai ilmu dan bukan autoriti mutlak.

Dalam tradisi Islam, seseorang diiktiraf ulama apabila mempelajari secara mendalam bidang-bidang asas dalam ilmu agama seperti bahasa Arab, hadis, al-Quran, akidah dan fiqh.

Pembelajaran ini biasanya berlaku melalui dua bentuk utama iaitu institusi formal dan kaedah tradisional melalui sistem talaqqi, iaitu belajar secara langsung dengan guru. Umumnya, mereka menerima ijazah (tauliah) untuk mengajar. Namun, yang paling penting ialah pengiktirafan daripada komuniti ilmuwan (ulama lain) terhadap keilmuwannya.

Para ulama terdahulu memberikan beberapa panduan umum tentang bagaimana mengenal pasti seseorang itu layak digelar sebagai ulama. Antaranya ialah individu itu dipercayai oleh masyarakat, diiktiraf para ilmuwan lain yang diyakini serta mampu menunjukkan kecekapan dan kebolehan apabila diuji.

Namun begitu, ada satu perbezaan besar antara ilmu agama dan ilmu akademik lain. Dalam Islam, ilmu tidak boleh dipisahkan daripada akhlak dan kerohanian. Seseorang tidak wajar belajar agama daripada individu yang tidak menjaga akhlaknya atau yang lalai dalam melaksanakan kewajipan agamanya. Ini kerana Islam bukan sekadar ilmu di atas kertas tetapi ia merupakan panduan hidup yang merangkumi adab dan hubungan dengan Allah.

Maka, guru agama mestilah seorang yang boleh dijadikan contoh dari segi kelakuan, peribadi dan rohani. Ilmu yang disampaikan bukan hanya pada lidah, tetapi terpancar juga dalam amalan dan keperibadiannya. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHD KHAIRUL NAIM CHE NORDIN
Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN