Ulama antarabangsa, ilmuwan tempatan meriahkan Majlis Sama’ di Masjid Putra

Ulama antarabangsa, ilmuwan tempatan meriahkan Majlis Sama’ di Masjid Putra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Sama’ Jami’ al-Tirmizi dan al-Syamail al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 akan berlangsung di Masjid Putra di sini bermula 13 hingga 23 Nov ini akan diceriakan dengan kehadiran ulama antarabangsa dan tokoh ilmuan tempatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, antara tokoh dan ulama antarabangsa yang hadir termasuk Mufti Besar India Sheikh Abubakr Ahmad, Syeikh Dr. Naji Bin Rashid Al- Arabi (Bahrain) dan Sheikh Dr. Yasir Al Adeni (Yaman).

Beliau berkata, program penutup pula dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Edisi ketiga itu menyasarkan kehadiran ribuan peserta memandangkan ia menerima sambutan memggalakkan dalam penganjuran tahun sebelumnya.

“Jadi insya-ALLAH, kita ada para alim ulama dari seluruh dunia yang akan bersama-sama (dalam majlis itu) termasuklah ulama-ulama tempatan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia terutama yang berada di sekitar pusat pentadbiran negara untuk menyertai program berkenaan.

Zulkifli berkata, pihaknya mengharapkan tahun ini satu rekod kehadiran baru dicatat termasuk yang hadir secara fizikal dan secara atas talian.

“Ia dilaksana secara atas talian untuk memberikan ruang dan peluang kepada penduduk seluruh Malaysia mengikuti majlis ini di atas talian,” katanya.

Bagi edisi tahun ini, katanya, pengajian memberi tumpuan kepada kitab Jami’ al-Tirmizi dan al-Syamail al Muhammadiyyah.

Jami’ al-Tirmizi, karya Imam Abu ‘Isa Muhammad bin ‘Isa al-Tirmizi, menghimpunkan hadis serta perbincangan tentang kedudukan riwayat dan pandangan ulama serta fuqaha.

Al-Syamail al- Muhammadiyyah pula menghimpunkan riwayat tentang sifat fizikal, akhlak, peribadi dan kehidupan Rasulullah SAW.

Kedua-dua kitab ini memberi ruang untuk mendalami hadis secara tersusun serta memahami teladan Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini