KUALA LUMPUR: Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli perlu mengemukakan bukti dalam semua tuduhan yang beliau lemparkan sebelum ini dan tidak hanya menggunakan platform ceramah politik untuk menghasut rakyat agar membenci kerajaan.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Amira Alias berkata, Rafizi perlu berbuat demikian bagi membuktikan kepada rakyat negara mengenai kebenaran semua tuduhan dan dakwaan beliau, terutama dalam isu semasa mafia korporat.
Beliau berkata, sekiranya Rafizi gagal untuk berbuat demikian, kerjaya politiknya akan berakhir selepas PRU akan datang kerana pengundi akan mulai sedar bahawa beliau dan partinya hanya menggunakan fitnah dan pembohongan sebagai senjata politik.
“Cukup-cukuplah Rafizi, dulu semasa kami bersama PKR maka teruklah parti digelar sebagai penipu, kaki kencing dan sebagainya hanya kerana tuduhan, dakwaan yang kamu lemparkan demi untuk menang pilihanraya,” katanya hari ini.
Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan menyifatkan Rafizi sebagai pembohong bersiri kerana sering mengeluarkan kenyataan tidak benar dan memutar belitkan keadaan kerana sudah banyak kali beliau mengeluarkan kenyataan yang tidak benar dan kemudian memohon maaf.
Kata Ramanan, pihaknya menunggu sehingga enam hingga tujuh bulan untuk Rafizi mengemukakan bukti, namun sehingga kini tiada satu dokumen pun dikemukakan.
Ramanan yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, Rafizi sepatutnya mendedahkan bukti yang didakwa dimilikinya berhubung tuduhan kononnya beliau menerima RM9.5 juta daripada seorang ahli perniagaan bagi menyelesaikan isu ‘mafia korporat’.
Mengulas lanjut, Amira berkata, apa yang paling menjengkelkan adalah apabila Rafizi kalah saman di mahkamah, beliau akan membuat kutipan awam meminta wang daripada rakyat. – UTUSAN











