KUALA LUMPUR: Kerajaan Indonesia digesa menggantung atau membatalkan lesen operasi syarikat yang terbukti melakukan pembakaran hutan dan tanah secara haram bagi menangani krisis jerebu rentas sempadan.
Desakan itu terkandung dalam memorandum bersama yang diserahkan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) kepada Kedutaan Republik Indonesia hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hak Sivil KLSCAH, Kelvin Lee See Kiang berkata, penyerahan memorandum itu bertujuan merakamkan solidariti terhadap masyarakat yang terjejas, khususnya penduduk di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia.
“Penduduk di kawasan terjejas bukan sahaja berdepan isu kesihatan, malah turut mengalami masalah mata pencarian dan kerosakan alam sekitar,” katanya.
Memorandum bertajuk Calling for Stronger and Sustained Action by the Indonesian Government to Prevent Forest and Land Fires and End the Recurring Transboundary Haze Crisis itu dibacakan Timbalan Presiden KLSCAH, Datuk Seri Chong Ket Pen.
Memorandum berkenaan disokong 160 organisasi di seluruh negara, terdiri daripada 156 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan empat pertubuhan masyarakat sivil (CSO).
Antara tuntutan utama ialah supaya siasatan dijalankan terhadap syarikat yang disyaki melakukan pembakaran haram atau gagal mematuhi peraturan pencegahan kebakaran. Syarikat yang didapati bersalah perlu dikenakan tindakan undang-undang setimpal, termasuk penalti berat.
Memorandum itu turut mencadangkan lesen operasi dan konsesi tanah syarikat disemak, digantung atau dibatalkan mengikut tahap kesalahan serta rekod pelanggaran berulang. Penguatkuasaan juga perlu dilaksanakan secara adil tanpa dipengaruhi kepentingan komersial atau hubungan politik.
Bagi mencegah kebakaran berulang, kerajaan Indonesia digesa memperkukuh penyelarasan antara agensi kerajaan pusat dan wilayah, pihak berkuasa alam sekitar serta pasukan pemadam kebakaran, khususnya di kawasan berisiko tinggi.
Langkah pencegahan perlu merangkumi pemantauan satelit, rondaan darat dan sistem amaran awal, terutama di kawasan perladangan kelapa sawit, konsesi perhutanan dan tanah gambut.
Memorandum itu turut menuntut ketelusan melalui pendedahan maklumat mengenai titik panas, hasil siasatan, identiti syarikat atau pengendali yang terbabit serta tindakan penguatkuasaan kepada orang awam.
Dalam aspek kesihatan, kerajaan Indonesia diminta menyediakan data kualiti udara yang tepat, amaran risiko kesihatan dan bantuan perubatan kepada penduduk terjejas, khususnya kanak-kanak, warga emas serta pekerja luar. Komuniti tempatan, petani dan masyarakat Orang Asal juga perlu dibantu melalui pendidikan pencegahan kebakaran, bantuan teknikal serta pilihan mata pencarian yang mampan.
Pada peringkat serantau, KLSCAH menggesa kerjasama menerusi Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan diperkukuh melalui perkongsian data alam sekitar, penyelarasan tindakan kecemasan serta penetapan sasaran dan garis masa yang boleh diukur. Kemajuan pelaksanaan juga perlu dinilai secara berkala dan dilaporkan kepada orang awam.
Memorandum itu menegaskan bahawa pembangunan ekonomi dan penciptaan pekerjaan tidak seharusnya mengatasi kepentingan kesihatan awam serta kelestarian alam sekitar kerana kesan kebakaran hutan dan tanah boleh melangkaui sempadan negara.-UTUSAN











