KOPERASI Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (Kopeks) menjadi koperasi pertama di Sabah terlibat dalam perkhidmatan klinik kesihatan di negeri ini. Perkhidmatan klinik merupakan perusahaan terbaru Kopeks selepas mengambil-alih klinik Sahabat yang sebelum ini dimiliki oleh Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) dan menjenamakan semula sebagai KCare Klinik.
Inisiatif Kopeks itu mampu memberi nilai tambah kepada aktiviti perniagaan koperasi dan perkhidmatan kepada masyarakat. Kopeks kini menjalankan perniagaan koperasi iaitu kemudahan pinjaman dan kredit, Ar-Rahnu, sewaan, menjadi ejen Kopetro bagi jualan minyak pelincir, menjalankan pakej umrah, pembangunan hartanah dan perkhidmatan klinik kesihatan.
Pelaksanaan aktiviti ini bukan sahaja dapat menambah pendapatan koperasi tetapi memberikan nilai tambah perkhidmatan koperasi kepada ahli-ahlinya dan juga masyarakat setempat. Kopeks juga merancang memperluaskan perkhidmatan klinik kesihatan ini kepada empat cawangan dan merancang menawarkan perkhidmatan dialisis.
Sehingga hari ini, terdapat 12 koperasi di seluruh negara terlibat dalam perkhidmatan hospital dan farmasi, empat koperasi terlibat dalam perkhidmatan dialisis dan 19 koperasi terlibat perkhidmatan penjagaan diri dan kesihatan.
Kita mempunyai 16,284 buah koperasi di seluruh negara tetapi kurang daripada 50 koperasi sahaja yang terlibat dalam perkhidmatan klinik kesihatan, farmasi, dialisis dan penjagaan diri. – UTUSAN
KEMENTERIAN PEMBANGUNAN
USAHAWAN DAN KOPERASI










