Pas bergerak sendiri, susun langkah baharu PRU16

Pas bergerak sendiri, susun langkah baharu PRU16

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN Pas menamatkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) memang mengejutkan meskipun sudah dijangka sejak beberapa minggu lalu.

Ia juga menandakan satu perubahan besar dalam strategi politik parti itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Walaupun Pas masih membuka ruang kepada persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya atas prinsip penyatuan ummah dengan parti-parti lain, hakikatnya keputusan tersebut menunjukkan parti itu kini sedang serius menilai semula kedudukannya dalam landskap politik negara.

Sejak tertubuhnya Perikatan Nasional (PN), dapat dilihat Pas dan Bersatu saling melengkapi. Pas membawa kekuatan akar umbi Melayu-Islam yang tersusun, manakala Bersatu pula menyediakan faktor kepimpinan nasional serta pengaruh di kawasan campuran yang lebih sukar ditembusi Pas secara bersendirian.

Namun sejak tercetus isu pertukaran Menteri Besar Perlis yang menyaksikan Mohd. Shukri Ramli dari Pas digugurkan dan diganti Abu Bakar Hamzah dari Bersatu menyebabkan hubungan kedua-dua parti itu terus berubah. Ia ibarat retak menanti belah hingga terlerai sepenuhnya malam tadi.

Isu itu juga membawa tuduh menuduh termasuk desakan supaya Pengerusi PN ditukar.

Kemuncaknya Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengambil alih teraju PN.

Dalam beberapa keadaan, Pas dilihat semakin dominan dalam PN, manakala Bersatu berdepan cabaran dalaman dan penyusutan pengaruh ekoran krisis Muhyiddin dengan bekas timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Justeru, keputusan menghentikan kerjasama politik ini boleh ditafsirkan sebagai usaha Pas untuk bergerak secara lebih bebas dan menentukan hala tuju sendiri tanpa bergantung kepada mana-mana parti lain.

Jelas isu-isu dalaman Bersatu banyak mengheret Pas ke dalam kemelut yang tidak berkesudahan. Terus bersama Bersatu seumpama mengendong biawak hidup yang akan mengganggu perjalanan menuju PRU16.

Pemecatan ahli oleh Bersatu termasuk wakil rakyat dan mereka yang mempunyai pengaruh dilihat seperti menggali lubang kubur sendiri yang dibimbangi akan menjerumuskan Pas sekali ke dalam kekalahan.

Justeru, menghentikan kerjasama dengan parti itu dinilai oleh pemerhati sebagai persediaan Pas untuk menghadapi PRU16 dengan pendekatan baharu yang lebih fleksibel.

Dengan mengekalkan konsep pakatan pilihan raya, Pas tidak menutup pintu rundingan dengan mana-mana pihak, termasuk UMNO, sekiranya wujud keserasian politik yang mampu mengelakkan pertembungan sesama parti Melayu.

Bagi Pas, cabaran terbesar selepas ini ialah membuktikan kekuatan parti itu tidak bergantung kepada Bersatu. Pas perlu menunjukkan kejayaannya dalam beberapa pilihan raya lalu bukan semata-mata hasil gabungan PN tetapi berpunca daripada kekuatan organisasi, jentera serta sokongan akar umbinya sendiri.

Dalam masa sama, Pas juga perlu memikirkan strategi untuk menembusi lebih banyak kerusi campuran dan bandar yang sebelum ini banyak dibantu oleh faktor gabungan serta sokongan kepada tokoh-tokoh tertentu dalam PN.

Sekiranya Pas berjaya memperkukuhkan kedudukannya sebagai parti teras politik Melayu-Islam dan pada masa sama membina persefahaman pilihan raya yang berkesan dengan pihak-pihak lain, keputusan menamatkan kerjasama dengan Bersatu mungkin menjadi titik permulaan kepada penyusunan semula kuasa politik Melayu menjelang PRU16.

Sebaliknya, jika perpecahan ini membawa kepada pertandingan tiga penjuru atau pertembungan sesama parti Melayu, pihak yang paling mendapat manfaat berkemungkinan ialah Pakatan Harapan dan parti-parti kerajaan yang lain. -UTUSAN

PENULIS ialah bekas wartawan selama lebih 25 tahun dan kini mengamati politik tanah air sepenuh masa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN