Sampai bila nyawa rakyat jadi mangsa pemandu mabuk?

Sampai bila nyawa rakyat jadi mangsa pemandu mabuk?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA membaca dengan teliti respons Setiausaha Antarabangsa DAP, Kasthuri Patto mengenai isu pemandu mabuk arak yang melanggar seorang ayah sehingga meragut nyawa.

Saya akui, selaku seorang peguam, tulisan beliau agak baik dan wajar dicermati. Namun, saya hanya bersetuju sekitar 19 peratus daripada keseluruhan pandangan beliau dalam isu ini, manakala selebihnya saya tidak bersetuju.

Baiklah, saya kemukakan terlebih dahulu bahagian yang saya persetujui.

Kes pemanduan dalam keadaan mabuk ini sememangnya bukan isu perkauman. 100 peratus saya bersetuju. Ia adalah isu arak yang membinasakan akal. Tidak kira sama ada yang meminum itu Melayu beragama Islam, Cina beragama Kristian atau India beragama Hindu, arak tetap merosakkan kewarasan akal fikiran.

Oleh sebab itu, Islam sebagai agama yang sempurna mengharamkan arak dalam syariatnya.

Saya juga bersetuju dalam menangani kes ini, kita boleh melihat pelaksanaan di negara Barat sebagai rujukan, memandangkan majoriti rakyat mereka bukan beragama Islam dan budaya meminum arak lebih meluas.

Tidak mungkin kita mengambil contoh daripada negara Islam dalam aspek ini kerana Islam secara prinsipnya melarang arak. Maka, dari sudut kawal selia peminum arak, rujukan praktikal lebih banyak datang daripada negara Barat.

Saya juga bersetuju dengan prinsip mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Hujah beliau bahawa hukuman berat hanya terlaksana selepas kejadian berlaku adalah tepat. Kita perlu membendung sebelum tragedi terjadi. Tiada bantahan dalam hal ini.

Namun, saya tidak bersetuju apabila beliau mencadangkan penggunaan kaedah seperti ‘alcolock’, iaitu sistem yang dipasang dalam kenderaan bagi mengesan tahap alkohol dan akan menghalang enjin daripada dihidupkan jika pemandu dikesan mabuk.

Langkah ini bukan pencegahan yang tegas, sebaliknya lebih kepada pengurusan risiko terhadap pesalah dan bukannya mencabut akar rumput permasalahan.

Pokok masalah bukan pada kenderaan tetapi pada arak itu sendiri. Daripada bersusah payah membangunkan sistem yang mahal, apa kata kita menghadkan penjualan arak secara lebih ketat.

Penjualan arak tidak sepatutnya dilakukan secara berleluasa, tidak dijual di kedai makan, kedai serbaneka atau pasar raya. Premis yang menjual arak sepatutnya khusus untuk tujuan tersebut sahaja dan tidak bercampur dengan barangan lain. Malah, bilangan premis juga boleh dihadkan, contohnya satu premis dalam radius 10 kilometer.

Jika kita mampu menguatkuasakan larangan merokok di kedai makan, apalah salahnya kita juga mengharamkan penjualan dan penggunaan arak di tempat yang sama.

Selain itu, arak juga tidak sepatutnya diminum secara terbuka, termasuk di kedai makan. Tindakan meminum atau menjual arak secara terbuka wajar dikenakan hukuman yang berat.

Malah, kandungan alkohol dalam minuman yang dijual dalam Malaysia sebagai negara Islam juga boleh dihadkan. Sebagai contoh tidak melebihi 3 peratus (berbanding kebiasaan bir sekitar 5 peratus), bagi mengurangkan tahap kemabukan dalam kalangan peminum.

Inilah yang dinamakan pencegahan sebelum berlakunya kejadian.

Selepas itu, barulah hukuman berat dikenakan terhadap individu yang memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian.

Sebenarnya, undang-undang negara kita terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian telah pun diperketatkan. Melalui pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada tahun 2020, khususnya Seksyen 44, pesalah kini berdepan hukuman penjara mandatori sehingga 15 tahun serta denda sehingga RM100,000 bagi kesalahan pertama yang menyebabkan kematian.

 

NOR Nadia Abdul Majid, 32, isteri kepada mangsa maut dilanggar pemandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol di Klang, Selangor mahu hukuman setimpal dikenakan terhadap pemandu kereta yang menyebabkan kematian tragis suaminya, Amirul Hafiz Omar.

 

KONSEP DIYAT

Berkenaan desakan sesetengah pihak untuk mengenakan hukuman mati pula, kita perlu bersikap realistik. Di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 302, kesalahan membunuh memerlukan pembuktian niat (mens rea), yang sukar dibuktikan dalam kes kemalangan akibat mabuk kerana unsur niat membunuh lazimnya tidak wujud secara langsung.

Namun, ini tidak bermakna kita harus berlembut atau sekadar bergantung kepada kempen kesedaran oleh syarikat arak. Jika kita benar-benar mahu mencari solusi yang komprehensif serta membela nasib waris mangsa, kita wajar meneliti prinsip Undang-undang Jenayah Islam, khususnya konsep Diyat atau pampasan darah.

Dalam perundangan Islam, perbuatan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian boleh dikategorikan sebagai pembunuhan tidak sengaja (khata’) atau separa sengaja (shibh al-‘amd).

Pendekatan Islam bukan sahaja menekankan hukuman terhadap pelaku tetapi turut mengutamakan kebajikan keluarga mangsa.

Dalam sistem sivil hari ini, pesalah dihukum penjara dan dikenakan denda, namun denda tersebut dibayar kepada kerajaan. Balu dan anak-anak yang kehilangan tempat bergantung masih terpaksa menanggung penderitaan. Untuk mendapatkan pampasan, waris perlu memfailkan saman sivil yang memakan kos tinggi dan masa yang panjang.

Konsep Diyat menawarkan keadilan yang lebih bersifat restoratif. Jika prinsip ini dapat diadaptasi dalam kerangka undang-undang sivil, pesalah bukan sahaja dipenjarakan, malah diwajibkan secara mandatori oleh mahkamah untuk membayar pampasan kewangan secara langsung kepada waris mangsa. Ini dapat menjamin kebajikan balu serta pendidikan anak-anak yang ditinggalkan.

Sudah tiba masanya penggubal undang-undang negara melihat ke hadapan dengan membawa penyelesaian yang berakar daripada nilai tempatan serta prinsip maqasid syariah yang memelihara nyawa (hifz al-nafs) dan akal (hifz al-‘aql).

Kita tidak memerlukan pendekatan luaran yang menyerahkan keselamatan awam kepada mekanisme industri semata-mata.

Sebaliknya, yang diperlukan ialah keberanian politik untuk bertindak tegas terhadap punca masalah, penguatkuasaan undang-undang tanpa kompromi serta sistem keadilan yang benar-benar membela mangsa bukan sekadar menghukum pesalah.

Hanya dengan pendekatan yang menyeluruh, tegas dan berprinsip, barulah nyawa rakyat dapat dilindungi dengan sebenar-benarnya.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Ketua Biro Pemantapan dan Pemahaman Agama, Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN