Mahendran angkat budaya India dalam sastera kebangsaan

Mahendran angkat budaya India dalam sastera kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JUMLAH  penulis kaum India yang menghasilkan karya sastera kebangsaan sangat sedikit berbanding mereka yang menulis dalam bahasa Tamil atau Inggeris.

Kajian peringkat sarjana yang diterbitkan dalam bentuk buku dengan judul Kavya Sastra (2021) memperincikan hal ini.

Antara penulis veteran yang masih aktif menyumbang kepada perkembangan sastera kebangsaan ialah M. Mahendran. Penulis ini  juga menggunakan nama M. Prabhu Bentong dalam penulisan karya Tamil.

Walaupun Mahendran kurang diberi perhatian dan pengiktirafan oleh pihak seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), namun perkembangan sastera kebangsaan tidak lengkap tanpa memperkatakan perihal penglibatan serta sumbangannya.

Saya mengenalinya sejak sekitar 1995 dan kami sama-sama terlibat dalam usaha mengasaskan Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) pada 1999.

Tentulah pengalamannya boleh memberi suntikan dan motivasi kepada orang ramai supaya mencintai bahasa kebangsaan serta bahan bacaan pelbagai bahasa.

Sejak kecil, Mahendran suka membaca majalah Ambulimama, Indian Movie News, Bujal, Uthayam serta pelbagai akhbar mingguan Tamil. Begitu juga dengan siri novel penyiasatan karya Enid Blyton.

“Walaupun tidak memahami seluruh kandungan, saya tetap seronok membaca. Seronok kerana gambar-gambar dalam semua terbitan itu amat mengasyikkan. Tanpa disedari ia mendorong saya untuk menulis,” kata penulis yang lahir pada 1968 dan kini tinggal di Bentong, Pahang.

Semasa belajar di Sekolah Menengah Sulaiman, Mahendran teruja membaca karya pengarang tempatan seperti A. Samad Said, Keris Mas, Abdullah Hussain, A. Samad Ismail dan Azizi Haji Abdullah.

Mahendran mula melakar nama dalam sastera kebangsaan apabila menang saguhati dalam Hadiah Cerpen Malayan Bank-DBP pada 1987 dan 1991. Penulis kaum India seangkatannya ialah Saroja Theavy Balakrishnan dan Kamalah Suppiah.

“Saya pernah tidak menulis secara konsisten pada 1990-an kerana beban kerja dan tidak ada privasi untuk menulis ketika tinggal di asrama pekerja. Namun, saya rasa bersalah jika tidak menulis. Maka, saya masih sempat menghasilkan lima atau enam cerpen setahun untuk akhbar Tamil,” pengarang buku Karupaya (2018) dan Thalaivar (2021) itu menceritakan.

Kavyan memulakan Sesi Penulisan Intensif pada Disember 2018 untuk mengasah bakat penulisan dalam kalangan kaum India. Program dikendalikan secara dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan  Covid-19 dan kembali secara bersemuka selepas itu di beberapa lokasi.

Mahendran terlibat sama dalam siri bengkel ini untuk berkongsi pengalaman selain  menghasilkan karya baharu. Tulisannya turut tersiar secara konsisten di portal Sastera Kavyan, Eksentrika dan Cukaria manakala karya Tamil di akhbar dan majalah Thendral.

Satu sikap positif pada diri Mahendran yang saya kagumi ialah kesediaan untuk terus belajar walaupun sudah ada pengalaman menulis sejak 1987. Katanya, setiap kali ada karya baharu tersiar, Mahendran mendapat motivasi untuk terus menulis.

Sebagai penulis aktif dalam dua bahasa, Mahendran mengaku wujud persamaan dan perbezaan dalam pengalaman berkarya.

“Sejak 1980-an, saya menghasilkan cerpen bahasa kebangsaan dan Tamil. Kebanyakan watak terdiri daripada keturunan Tamil dan budaya India turut diselitkan dalam karya. Perlu diakui saya lebih lancar menulis dalam bahasa kebangsaan berbanding Tamil. Tambahan pula, saya bukan bekas murid sekolah Tamil,” katanya.

Sejak beberapa tahun lalu, penulis sepenuh masa ini mengendalikan kelas galakan membaca dan menulis di rumahnya bagi kanak-kanak dan remaja. Mahendran juga sering diundang mengendalikan sesi bina insan di sebuah sekolah menengah.

Maka, Mahendran dapat berkongsi pengalaman serta memupuk minat membaca generasi muda.

Pada pemerhatiannya, penglibatan penulis kaum India dalam sastera kebangsaan semakin berkurangan sejak 2021, khususnya selepas DBP membuat keputusan rasmi, penulis bukan Islam tidak boleh menggunakan istilah ‘Tuhan’ dalam penulisan.

“Selain itu, ketika mula terlibat dalam bidang penulisan, rata-rata penulis kaum India masih muda dan teruja menulis. Setelah bekerja dan berkahwin, masa mereka lebih tertumpu kepada pengurusan kerja, keluarga dan sebagainya. Maka, tiada masa dan keutamaan untuk terus menulis,” kata Mahendran.

 

 

M. MAHENDRAN
ANTARA koleksi penulisan M.Mahendran.

DISKRIMINASI

Tentu sahaja tindakan DBP memburukkan lagi keadaan. Namun begitu, kelompok penulis kaum India terus menyumbang kepada perkembangan sastera kebangsaan dengan mengirim karya ke pelbagai media lain yang tidak melakukan diskriminasi.

Dalam perbualan kami, Mahendran menegaskan perlunya penulis bukan Melayu dan bukan Islam terus gigih melibatkan diri dalam bidang penulisan untuk memperkayakan khazanah sastera kebangsaan.

“Jika tidak, kebanyakan karya cuma menonjolkan budaya Melayu dan Islam, sekali gus tidak menggambarkan realiti negara Malaysia. Keadaan ini juga tidak selaras Dasar Sastera Kebangsaan yang mahukan penulis pelbagai kaum mengetengahkan budaya komuniti masing-masing dalam karya bahasa kebangsaan,” Mahendran menegaskan.

Karya penulis veteran ini termuat dalam antologi Menara (1988), Menara 4 (1991), Tanpa Mengira Warna (1991), Vanakam (2002), Segugus Aksara Sealur Kasih (2003), Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Lakaran Diri (2022) dan Seruling Malam (2024).

Kumpulan cerpen Mimpi dan Impian (2013) pula terjemahan yang dilakukan oleh Mahendran untuk penulis veteran Tamil, mendiang M. Ramaiah. 

Buat masa ini, Mahendran sedang mengusahakan sebuah antologi cerpen terjemahan 12 penulis Tamil tempatan.

Usaha terjemahan seperti ini amat perlu kerana tidak ramai penulis kaum India menulis secara langsung dalam bahasa kebangsaan.

“Pelbagai masalah sosial, budaya dan pemikiran orang Tamil terungkap secara terperinci dalam karya bahasa Tamil oleh pengarang tempatan sejak 1950-an. Khazanah seperti ini wajar diterjemah supaya boleh dinikmati pembaca pelbagai kaum,” kata Mahendran dengan penuh harapan.

Masalah besar yang dihadapi sekarang ialah mencari dana untuk menampung kos menerbitkan antologi terjemahan itu.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×