Konsep wakaf mampu perkasa sektor pertahanan

Konsep wakaf mampu perkasa sektor pertahanan

WAKAF pertahanan wajar dilihat sebagai instrumen pelengkap yang mampu mengurangkan tekanan fiskal kerajaan, di samping memperkukuh kebajikan anggota tentera secara berterusan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM keadaan ekonomi global yang semakin mencabar dan kos pertahanan negara yang terus meningkat, timbul persoalan besar: Mampukah sesebuah negara bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan bagi mempertahankan kedaulatan serta kebajikan angkatan tenteranya?

Atau sudah tiba masanya masyarakat turut memainkan peranan strategik melalui instrumen kewangan Islam seperti wakaf pertahanan?

Sejarah ketamadunan Islam membuktikan bahawa kekuatan umat tidak hanya terletak pada kepimpinan yang berwibawa, malah turut dipacu oleh sokongan kewangan masyarakat. Gabungan inilah yang melahirkan simbol-simbol agung tamadun Islam seperti masjid, institusi pendidikan, kemudahan awam serta kelengkapan ketenteraan bagi mempertahankan agama dan negara.

Wakaf: Amalan Lama, Pendekatan Baharu
Dalam sejarah awal Islam, sumber kewangan negara banyak disokong oleh sumbangan masyarakat melalui zakat, infaq, sedekah dan harta rampasan perang yang diuruskan menerusi Baitulmal.

Walaupun istilah wakaf belum dibentuk secara formal pada ketika itu, amalan pengorbanan harta untuk manfaat jangka panjang telahpun diamalkan oleh para sahabat.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran ayat 92 menegaskan bahawa kebajikan sebenar hanya dapat dicapai apabila seseorang membelanjakan harta yang paling disayangi.

Dorongan inilah yang menyebabkan Abu Talhah mewakafkan kebun kesayangannya, Bairuha’, demi mencari keredaan Allah SWT.

Peristiwa ini memperlihatkan bahawa umat Islam awal memahami pengorbanan harta sebagai satu ibadah strategik. Walaupun tiada dalil qat‘i yang khusus mengenai wakaf, ciri-ciri seperti keikhlasan, penyerahan hak dan manfaat berterusan jelas menepati prinsip perundangan wakaf Islam yang dipersetujui oleh para ulama.

Wakaf Berubah Wajah, Masyarakat Kian Sedar
Di Malaysia, wakaf kini mengalami transformasi besar. Ia tidak lagi terhad kepada pembinaan masjid atau tanah perkuburan, sebaliknya berkembang kepada wakaf pendidikan, kesihatan, wakaf tunai, pembangunan dan keusahawanan.

Wakaf pendidikan khususnya telah menjadi sumber kewangan penting kepada universiti awam dalam membantu kebajikan pelajar.

Kejayaan Wakaf Mara Madani menjadi bukti jelas peningkatan kesedaran masyarakat. Dalam tempoh tiga bulan pertama 2025 sahaja, kutipan mencecah RM51.6 juta hasil sumbangan hampir 2,000 penyumbang. Angka ini mencerminkan tahap keprihatinan masyarakat terhadap agenda pembangunan nasional yang amat memberangsangkan.

Mengapa Wakaf Perlu Masuk Sektor Pertahanan?
Jika wakaf mampu memperkasa sektor pendidikan dan kesihatan, mengapa instrumen ini belum dimanfaatkan secara serius dalam sektor pertahanan? Hakikatnya, wakaf pertahanan masih kurang diterokai, sama ada dari sudut penyelidikan mahupun pelaksanaan praktikal.

Sedangkan dalam sejarah Islam, sumbangan awam pernah memainkan peranan besar dalam memperkukuh kekuatan ketenteraan.

Rasulullah SAW sendiri menyumbangkan peralatan perang seperti baju besi, perisai dan kuda kepada tentera Islam sebelum Perang Badar. Walaupun tidak dinamakan wakaf, elemen perwakafan jelas wujud dalam amalan tersebut.

ATM, KAGAT dan Kekuatan Rohani
Penubuhan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) sejak 1985 membuktikan bahawa kekuatan pertahanan negara tidak hanya bergantung kepada persenjataan moden, tetapi turut memerlukan ketahanan rohani dan mental.

Wakaf pertahanan selari dengan pendekatan ini kerana ia menumpukan kepada kebajikan anggota tentera dan keluarga mereka.

Wakaf pertahanan melibatkan penyediaan sokongan yang menyentuh kehidupan sebenar anggota tentera, termasuk biasiswa untuk anak-anak mereka, bantuan kesihatan keluarga, kebajikan veteran serta sokongan kewangan bagi anggota berpangkat rendah.

Di sinilah nilai kemanusiaan wakaf terserlah.

Peruntukan Besar, Keperluan Alternatif
Dalam Belanjawan 2025, kerajaan memperuntukkan RM21.2 bilion kepada Kementerian Pertahanan, termasuk RM5.8 bilion bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan perolehan aset baharu.

Namun, dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu, kebergantungan sepenuhnya kepada dana kerajaan bukanlah pendekatan jangka panjang yang mampan.

Wakaf pertahanan wajar dilihat sebagai instrumen pelengkap yang mampu mengurangkan tekanan fiskal kerajaan, di samping memperkukuh kebajikan anggota tentera secara berterusan.

Apa yang Negara Maju Lakukan?
Negara-negara maju telah lama mengaplikasikan konsep seumpama wakaf pertahanan melalui pendekatan defence endowment. Amerika Syarikat, Australia dan Afrika Selatan menggunakan dana amanah khas bagi menyokong institusi pertahanan dan keselamatan mereka.

Walaupun istilah wakaf tidak digunakan, prinsipnya tetap sama, iaitu pengumpulan dana awam, pemilikan aset kekal dan manfaat jangka panjang untuk kepentingan pertahanan negara. Ini membuktikan bahawa wakaf pertahanan bukan konsep asing, malah sejajar dengan amalan global.

Seruan Masa Depan
Secara keseluruhannya, wakaf pertahanan merupakan satu keperluan strategik yang wajar diberi perhatian serius. Ia berpotensi memperkukuh industri pertahanan negara, di samping menyemai semangat patriotis medan rasa tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat.

Wakaf pertahanan memerlukan iltizam kolektif melibatkan kerajaan, Angkatan Tentera Malaysia, institusi agama, sektor korporat dan masyarakat awam.

Jika pendidikan dan kesihatan mampu diperkasakan melalui wakaf, sudah tiba masanya pertahanan negara turut dibangunkan melalui instrumen yang sama.

Dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum dan agama, wakaf pertahanan juga boleh menjadi wadah penyatuan nasional.

Ia mencerminkan nilai perkongsian tanggungjawab, kesedaran sivik dan komitmen rakyat terhadap keselamatan bersama, selagi pelaksanaannya ditadbir secara telus, berintegriti dan berlandaskan prinsip Perlembagaan negara.

Kerana mempertahankan negara bukan hanya tugas tentera di barisan hadapan, tetapi amanah seluruh rakyat. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Sayuti Ab. Ghani ialah Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN