SUBSIDI minyak di Malaysia bukan sekadar isu ekonomi tetapi turut menjadi bahan perbualan hangat di media sosial, WhatsApp dan platform anak muda setiap kali harga petrol naik turun.
Dari pelajar universiti hingga pemandu e-hailing, ramai merasakan isu minyak memberi kesan langsung kepada kehidupan harian.
Sejak 1970-an, subsidi minyak diperkenalkan untuk memastikan rakyat dapat mengisi minyak pada harga stabil tanpa risau turun naik pasaran dunia. Namun, dengan pertumbuhan ekonomi dan penggunaan meningkat, cabaran mula muncul.
Kos subsidi yang tinggi, seperti yang dijelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menelan hampir RM20 bilion setahun untuk RON95, membebankan negara dan mengurangkan dana untuk sektor lain seperti pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan peluang pekerjaan.
Ironinya, subsidi menyeluruh lebih dinikmati golongan berpendapatan tinggi yang memiliki lebih banyak kenderaan dan tangki besar.
Selain itu, 3.8 hingga 4 juta warga asing turut mendapat manfaat bernilai RM3 bilion hingga RM4 bilion setahun, menambah isu kebocoran dana. Subsidi murah juga membuka peluang penyeludupan ke negara jiran dan penyelewengan kecil seperti jual semula petrol bersubsidi. Kesannya, rakyat tetap terkesan walaupun subsidi bertujuan membantu mereka.
Dari sudut ekonomi dan alam sekitar, harga petrol terlalu rendah mengurangkan insentif pengguna memilih kenderaan jimat minyak atau alternatif tenaga bersih, melambatkan transformasi tenaga lestari dan menambah pelepasan karbon.
Pelbagai reformasi cuba diperkenalkan sejak 2008, termasuk kenaikan harga, sistem apungan bulanan dan pembekuan harga tetapi isu asas subsidi menyeluruh masih belum selesai.
Kerajaan kini menekankan bantuan tunai bersasar untuk golongan rentan melalui program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Bantuan Sara Hidup (BSH), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), memastikan perlindungan rakyat sebelum memperkenalkan reformasi subsidi.
Teknologi digital turut digunakan bagi memastikan pengurusan lebih tepat melalui sistem e-Kasih, e-KYC, dan aplikasi mudah alih untuk semakan status bantuan. Penguatkuasaan juga diperketat bagi membendung penyeludupan dan penyelewengan, termasuk melalui pemantauan GPS, kamera pengawasan dan penalti lebih berat.
Langkah terbaharu ialah pelancaran Budi Madani RON95 pada 30 September, lalu. Sistem ini memberi harga subsidi RM1.99 seliter hanya kepada warganegara Malaysia berusia 16 tahun ke atas dengan lesen sah, manakala bukan warganegara membayar harga pasaran RM2.60.
Had penggunaan ditetapkan 300 liter sebulan, cukup untuk kebanyakan pengguna dan pemandu e-hailing boleh memohon kuota tambahan. Kerjasama dengan Touch ‘n Go, Setel dan CaltexGo memastikan pengesahan identiti dan penjejakan penggunaan lebih telus.
Minyak semakin kurang?
Namun, di sebalik sistem moden ini, muncul fenomena baharu di media sosial apabila isi minyak RM50 tetapi dapat kurang liter atau minyak cepat habis. Anak muda berkongsi pengalaman, memuat naik resit dan video perbandingan liter, menjadikan isu ini tular.
Contohnya, seorang pengguna mengisi RM50 RON95 (harga RM1.99/liter, sepatutnya 25.125 liter) tetapi pam menunjukkan hanya 22.165 liter. Ada juga kes di mana pam menunjukkan lebih liter daripada kapasiti tangki sebenar.
Fenomena ini menimbulkan persoalan, adakah ini disebabkan kereta, pam minyak atau subsidi baharu?
Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN), setakat pemeriksaan terkini tiada stesen minyak didapati menipu liter. Isu lebih kepada persepsi pengguna, faktor teknikal atau kesalahan kiraan liter.
Faktor teknikal termasuk hos tersumbat, paip pengisian sempit dan kanister arang yang tidak berfungsi optimum.
Persatuan pengedar menasihatkan pengguna melihat jumlah liter, bukan jumlah ringgit semata-mata untuk perbandingan tepat.
Kerajaan menekankan agar pengguna menyemak stiker kalibrasi memastikan pam disahkan dan membuat laporan rasmi jika berlaku kecurigaan. Sehingga kini, tiada bukti rasmi subsidi baharu menyebabkan minyak cepat habis.
Sebaliknya, fenomena ini lebih kepada persepsi dan literasi pengguna serta kesedaran mengenai faktor teknikal kenderaan dan pam.
Fenomena tular ini juga mencerminkan bagaimana media sosial membentuk persepsi rakyat terhadap isu harian.
Satu pengalaman individu boleh menjadi tular kini nasional dalam beberapa jam, menimbulkan spekulasi dan mempengaruhi kepercayaan terhadap sistem subsidi. Justeru, komunikasi jelas, pendidikan pengguna dan penguatkuasaan yang telus menjadi kunci memastikan rakyat tidak hilang kepercayaan.
Dalam jangka panjang, perjalanan subsidi minyak Malaysia adalah dari sistem menyeluruh ke sistem lebih tersasar, moden dan telus.
Reformasi ini bukan mudah tetapi perlu untuk memastikan negara tidak terbeban dan rakyat terbela. Bagi generasi muda, fenomena ini mengingatkan pentingnya menjadi pengguna bijak, kritikal dan peka terhadap maklumat sebenar.
Penting bagi kerajaan untuk terus memberi penjelasan jelas, melaksanakan penguatkuasaan tegas dan pendidikan pengguna supaya rakyat memahami realiti, mengekalkan kepercayaan dan menggunakan subsidi dengan bijak.
Reformasi subsidi minyak adalah perjalanan panjang menuju sistem lebih telus dan tersasar, yang penting bagi kesejahteraan rakyat dan masa hadapan ekonomi Malaysia.-UTUSAN
DATUK Amir Hussien ialah penuntut tahun akhir Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pengajian Perniagaan, Pelaburan Langsung Asing (FDI) di Universiti Utara Malaysia (UUM).










