KALAU sesiapa bercakap tentang kes kecurian melibatkan toyol, kita mungkin ketawa dan menuduh mereka mempercayai benda-benda karut. Kita tentu berfikir, masakan masyarakat moden hari ini masih percaya semua itu.
Namun begitu, pada awal tahun ini, tular insiden sebuah keluarga di Taman Indah Jaya, Kluang, Johor menjadi mangsa toyol susulan kehilangan wang RM1,550.
Menurut mangsa bernama Norjannah Kassan Kedjoer, 60, wang itu disimpan di dalam sampul, beg tangan, bekas seramik dan tong sampah hilang sedikit demi sedikit dalam tempoh dua minggu.
Pada Oktober 2024, Ahrdi Shamsul Mustaffa, 51, dari Senggarang, Batu Pahat, Johor dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mengugut jiran berumur 84 tahun. Alasan yang diberi ialah kononnya warga emas itu membela toyol yang selalu mencuri wang penduduk.
Dalam Kamus Dewan (1984), toyol didefinisikan sebagai hantu peliharaan untuk disuruh mencuri. Walaupun toyol merupakan sebahagian psikik orang Melayu, anehnya istilah itu tidak tercatat dalam A Classic Jawi-Malay-English Dictionary (1903) selenggaraan Richard James Wilkinson.
Kes kecurian melibatkan toyol turut dilaporkan berlaku sejak 2011 di Kampung Tok Kenali, Kampung Pulai dan Kampung Polong dalam Mukim Kubang Kerian, Kelantan. Mangsa melaporkan kehilangan wang kertas RM50 dan RM100 di mana setiap orang kerugian hampir RM10,000 secara berperingkat.
Wang yang disembunyikan di dalam peti sejuk juga dikebas toyol. Akhirnya, pada November 2021, lima penduduk membuat laporan polis mewakili sekitar 20 keluarga yang menjadi mangsa toyol.
Wang kertas di rumah seorang ustaz serta wang disembunyikan di dalam baju dalam seorang wanita juga dilaporkan lesap angkara toyol. Seorang pengamal perubatan Islam meminta tin biskut diletak di penjuru rumah sebagai pendinding tetapi tetap gagal menghalang aktiviti toyol.
Kejadian di Taman Bukit Tembakau, Umbai, Melaka pada Julai 2019 menyebabkan sebuah keluarga hilang RM3,000. Si ibu dan dua anak melaporkan ternampak toyol sedang memanjat pagar dan bumbung rumah.
Mereka menggambarkan makhluk itu memiliki mata merah menyala, badan sebesar bayi, bertaring dan cuping telinga besar. Perincian yang diberi serupa dengan apa-apa yang saya baca di pelbagai media sejak 1980-an.
Apakah sebenarnya toyol dan dari mana asalnya? Mengapa ia hanya wujud dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam? Benarkah toyol hanya mencuri wang? Rasa ingin tahu saya terus membuak.
Maka, saya menyelongkar akhbar-akhbar terbitan 1960-an di mana banyak berita berkaitan toyol dilaporkan. Sejumlah maklumat yang ditemui dalam laporan akhbar tempatan dikongsikan di sini untuk makluman bersama.
Berdasarkan kes-kes di sekitar Muar, Johor, diketahui bahawa toyol mencuri wang dalam jumlah kecil supaya tidak disedari mangsa. Jumlah paling besar dilaporkan mangsa pada 1961 ialah RM20. Nampaknya jumlah maksimum meningkat kepada RM1,000 pada 2021 di Kubang Kerian, Kelantan.
Amat nyata pada 1960-an, orang Melayu kurang menyimpan wang di bank. Sebaliknya, disimpan di dalam peti, almari, pasu, tabung, bawah bantal dan sebagainya. Toyol pula terbukti mampu mengesan tempat wang disembunyikan.
Mangsa sering bertemu bomoh dan mendapat pengesahan bahawa pencuri bukan manusia tetapi toyol yang dipelihara salah seorang penduduk. Tugas toyol ialah mencuri wang, telur, beras dan kelapa mengikut arahan tuannya.
Hantu ini khabarnya berasal dari Jawa, Indonesia, ratusan tahun dahulu. Malah, di negara ini juga dikatakan menjadi amalan komuniti Jawa. Namun, biasanya dipelihara secara tersembunyi supaya tidak disedari orang kampung.
Selain Johor dan Selangor, amalan membela toyol juga dikatakan wujud dalam kalangan orang Melayu di Perak. Seorang penduduk Bagan Datuk menulis di akhbar pada November 1961 bahawa toyol biasanya dibeli di Mekah. Malah, bekas Ahli Parlimen Tanah Merah, Othman Abdullah menyatakan perkara sama di Dewan Rakyat pada Ogos 1962.
Yusof Abdullah, seorang pawang terkenal di Muar pula berkongsi petua menghindari toyol. Pertama, bawa bersama setangkai lada kering jika keluar rumah. Kedua, ikat beberapa batang paku, buah keras dan 20 biji kacang hijau di dalam kain putih, lalu diletak pada tiang seri rumah.
Kita mungkin ketawa dan tidak percaya semua ini. Akan tetapi, kes toyol cukup serius sehingga dibawa ke Dewan Rakyat oleh bekas Ahli Parlimen Muar Utara (kini Parlimen Ledang), Datuk Ahmad Arshad pada Januari 1962.
Hakikat kewujudan toyol masih ditegaskan oleh Ahmad kepada wakil media pada September 1967. Malah, katanya, 85 peratus penduduk di Muar Utara mengaku berdepan ancaman makhluk itu.
Ahli Parlimen berkenaan menceritakan, pemilik toyol selalu menjadi kaya dengan cepat.
Sekiranya diteliti, toyol tidak disebut langsung dalam al-Quran. James Noel McHugh yang menulis buku Hantu Hantu (1955) khusus tentang hantu dalam budaya Melayu juga tidak merekodkan kewujudan toyol.
Maka, timbul pertanyaan di akhbar pada September 1967, mungkinkah toyol sebenarnya satu ‘penemuan’ baharu dalam budaya Melayu? Makhluk ghaib ini nampaknya tiba-tiba muncul selepas hutan diteroka bagi projek pembangunan dan penempatan orang Melayu.
Pasar Sari di Bukit Gambir, Muar dibuka pada 1962 tetapi terpaksa ditutup lima tahun kemudian.
Menurut Ahmad, para peniaga mulai lari seorang demi seorang kerana wang hasil perniagaan mereka sentiasa dicuri toyol.
Pada Oktober 1967, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kedah mengeluarkan kenyataan rasmi mengesahkan tiada toyol dalam Islam.
Penduduk tua dan muda di Muar Utara juga mula mengkritik kenyataan Ahmad.
Susulan itu, beliau memutuskan untuk ‘tutup terus’ topik berkenaan tanpa mengemukakan bukti atau statistik menunjukkan 85 peratus penduduk Muar Utara pada 1960-an mempercayai kewujudan toyol.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










