SMC, CareClinics perkukuh akses pesakit kepada rawatan pakar - Utusan Malaysia

SMC, CareClinics perkukuh akses pesakit kepada rawatan pakar

ERICA LAM (kiri) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Dr Thirunavukarasu Rajoo (kanan) baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) bekerjasama dengan CareClinics Healthcare Services (CCHS) bagi memperkukuh akses pesakit kepada rawatan pakar menerusi penyelarasan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer dan hospital.

Kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang bertujuan mewujudkan hubungan klinikal dua hala antara rangkaian klinik penjagaan primer CCHS dengan perkhidmatan kepakaran berasaskan hospital SMC.

Ketua Pegawai Eksekutif SMC, Erica Lam berkata, pengamal perubatan am (GP) memainkan peranan penting sebagai titik rujukan pertama pesakit sebelum mendapatkan rawatan lanjut daripada pakar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, hubungan lebih erat antara penjagaan primer dan perkhidmatan kepakaran dapat membantu pesakit mendapatkan akses kepada kepakaran perubatan serta rawatan bersesuaian sepanjang perjalanan penjagaan kesihatan mereka.

“Kami mengiktiraf kepentingan pengamal perubatan am sebagai rujukan pertama bagi pesakit. 

“Dengan memperkukuh hubungan antara penjagaan primer dan penjagaan kesihatan kuaternari, kami dapat menyokong pesakit dengan lebih baik dalam mengakses kepakaran serta penjagaan yang tepat sepanjang perjalanan kesihatan mereka,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CCHS, Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo berkata, kerjasama berkenaan membolehkan doktor di bawah rangkaiannya memanfaatkan perkongsian ilmu serta rangkaian perubatan SMC yang lebih luas.

“Inisiatif itu turut memperkukuh keupayaan pengamal perubatan barisan hadapan dalam meningkatkan mutu hasil rawatan kepada pesakit dan keluarga.

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan membangunkan pendekatan penjagaan pesakit secara bersepadu bagi memastikan peralihan lebih teratur antara pengurusan kesihatan harian di klinik dan rawatan pakar di hospital.

Pendekatan berkenaan dijangka menyokong kesinambungan rawatan serta membantu pesakit mendapatkan tahap penjagaan kesihatan yang bersesuaian pada masa diperlukan.

Selain penyelarasan perkhidmatan klinikal, kerjasama itu turut merangkumi pembangunan profesional dan pertukaran ilmu antara kedua-dua penyedia penjagaan kesihatan.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, SMC telah menganjurkan bengkel amali berfokuskan pediatrik untuk doktor CCHS yang diketuai Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Perubatan Respiratori Pediatrik, Dr Noor Zehan Abdul Rahim.

SMC merupakan hospital swasta pertama di Malaysia yang memperoleh tiga akreditasi hospital daripada Joint Commission International (JCI), Australian Council on Healthcare Standards International (ACHSI) dan Malaysian Society for Quality in Health (MSQH).

Hospital itu mempunyai 330 perunding perubatan residen, 961 katil berlesen dan menawarkan lebih 80 kepakaran perubatan menerusi 28 Pusat Kecemerlangan.

CCHS mengendalikan rangkaian lebih 200 klinik di seluruh negara dengan menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer kepada individu, keluarga dan pelanggan korporat, termasuk penjagaan pencegahan serta perkhidmatan perubatan berasaskan komuniti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini