Saya cadang minta wang pendahuluan daripada penganjur - Imran Ajmain - Utusan Malaysia

Saya cadang minta wang pendahuluan daripada penganjur – Imran Ajmain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Imran Ajmain mencadangkan supaya penaja makanan dan minuman yang menaja acara anjuran pelajar mengenakan wang pendahuluan bagi memastikan pihak penganjur menunaikan janji menyediakan kandungan promosi.

Imran atau Ahmad Imranullah Ahmad Husaini, 45, berkata, penaja perlu tegas untuk memastikan pihak penganjur memberikan pulangan yang setimpal dengan tajaan yang diterima.

“Saya cadangkan supaya penaja makanan dan minuman meminta wang deposit dan tetapkan syarat penganjur perlu menghasilkan dan memuat naik 20 hingga 30 video. Jika janji itu tidak ditunaikan, wang deposit tidak akan dikembalikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kebiasaannya, pihak penganjur acara yang dikendalikan pelajar akan menyenaraikan 20 hingga 30 ahli jawatankuasa dalam kertas kerja.

“Tapi, ada penaja makanan dan minuman yang tidak menerima walaupun 20 hantaran Instagram sebagai balasan atas sumbangan mereka,” katanya menerusi hantaran di Threads.

Imran berkongsi perkara itu selepas seorang pengguna Threads membangkitkan isu pelajar yang sering meminta tajaan percuma daripada peniaga kecil untuk menjayakan acara mereka.

Pengguna itu turut mempersoalkan sikap penganjur yang mengharapkan penaja menyediakan produk, khidmat percetakan dan menanggung semua kos tanpa menawarkan pulangan yang setimpal.

Dalam pada itu, Imran menjelaskan, penaja bukan hanya mengharapkan logo perniagaan mereka dipaparkan tetapi mahu produk mereka diperkenalkan kepada orang ramai menerusi kandungan media sosial dan video sepanjang acara berlangsung.

“Penaja sebenarnya bukan sekadar mahukan logo dipaparkan pada kain rentang atau nama disebut oleh pengacara majlis. Mereka mahu produk mereka diperkenalkan kepada orang ramai melalui kandungan media sosial dan video yang dirakam sepanjang acara,” katanya.

Untuk rekod, Imran Ajmain merupakan penyanyi dan penulis lagu kelahiran Singapura yang popular dengan lagu hitnya, Selamat Ulang Tahun Sayang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini