DALAm era digital yang semakin berkembang, kecerdasan buatan (AI) menjadi sebahagian daripada kehidupan harian, termasuk dalam bidang pendidikan. Perkembangan teknologi ini membawa banyak kemudahan kepada pelajar dan pendidik.
Platform seperti ChatGPT, Google Translate, Grammarly, QuillBot dan pelbagai aplikasi lain membantu pelajar memahami bahan pembelajaran dengan lebih mudah, mengatasi cabaran bahasa serta meningkatkan mutu penulisan akademik.
Namun, terdapat juga perubahan dalam cara pelajar belajar dan berinteraksi di dalam kelas. Oleh itu, penting untuk kita memahami bagaimana AI boleh dimanfaatkan secara seimbang agar ia benar-benar memberi nilai tambah dalam pendidikan.
AI banyak membantu pelajar dalam pembelajaran, terutamanya mereka yang mengikuti pengajian dalam bahasa kedua. Dengan adanya aplikasi terjemahan dan analisis teks, pelajar dapat memahami kandungan dengan lebih cepat dan tepat.
Bagi pendidik pula, teknologi ini memudahkan proses pemantauan dan penilaian, membolehkan mereka memberi maklum balas yang lebih berkualiti kepada pelajar.
Sebagai contoh, dalam kelas melibatkan pelajar antarabangsa, teknologi ini membantu mereka memahami istilah teknikal dan konsep yang kompleks dalam bahasa yang lebih mudah difahami. Dengan bimbingan yang betul, teknologi ini dapat meningkatkan keupayaan mereka untuk berdikari dalam pembelajaran.
Selain itu, ia membantu pelajar dalam mengasah kemahiran menulis dan berfikir secara kritis. Beberapa aplikasi misalnya, bukan sahaja membetulkan kesilapan tatabahasa, tetapi mencadangkan cara penulisan yang lebih baik.
Walaupun AI membawa banyak manfaat, penggunaannya perlu diimbangi agar tidak menggantikan pengalaman pembelajaran yang sebenar.
Seiring dengan itu, penggunaan AI juga boleh mengubah cara pelajar memberi tumpuan dalam kelas. Dengan keyakinan mendapatkan maklumat kemudian menggunakan AI, sesetengah pelajar mungkin kurang memberi perhatian semasa sesi pembelajaran berlangsung. Oleh itu, pensyarah dan institusi pendidikan perlu mengambil langkah proaktif untuk memastikan AI digunakan sebagai alat sokongan, bukan sebagai pengganti usaha pembelajaran.
Selain itu, cabaran lain yang dihadapi ialah bagaimana untuk mengintegrasikan AI dalam sistem pendidikan secara bertanggungjawab.
AI tidak mempunyai keupayaan untuk memahami konteks sebenar dengan sepenuhnya, malah kadangkala ia boleh menghasilkan maklumat yang tidak tepat atau kurang relevan. Kerana itu, pelajar harus dididik untuk menggunakan AI sebagai alat bantu, tetapi tetap melakukan pemikiran kritis dan analisis terhadap maklumat yang diperoleh.
BUDAYA PEMBELAJARAN SEIMBANG
Untuk memastikan AI dimanfaatkan secara optimum, beberapa pendekatan boleh diambil dalam sistem pendidikan.
Pertama, menggalakkan pembelajaran secara aktif melalui perbincangan dan pembentangan. Dengan cara ini, pelajar dapat mengembangkan kemahiran komunikasi dan pemikiran kritis, di samping memastikan pemahaman mereka tidak hanya bergantung kepada maklumat yang diperoleh.
Kedua, merangka tugasan yang memerlukan analisis dan refleksi peribadi. Ini akan membantu pelajar menghubungkan teori dengan amalan dan membentuk pemahaman yang lebih mendalam terhadap sesuatu topik. Tugasan berbentuk kajian kes atau projek praktikal boleh memastikan pelajar memahami aplikasi konsep yang dipelajari.
Ketiga, mendidik pelajar tentang etika penggunaan AI dalam pembelajaran. Dengan panduan yang jelas, pelajar dapat memahami bagaimana menggunakan AI secara bertanggungjawab, iaitu sebagai alat bantu yang melengkapi usaha mereka sendiri. Etika penggunaan teknologi ini termasuklah mengelakkan plagiat, menggunakan AI untuk pemahaman dan bukannya salinan jawapan serta memastikan maklumat yang diperoleh disemak untuk ketepatan.
Keempat, menggunakan AI secara bijak dalam pengajaran. Pendidik boleh mengintegrasikan AI dalam sesi pembelajaran seperti menjana perbincangan secara lebih mendalam atau menyediakan simulasi pembelajaran yang interaktif.
AI juga boleh digunakan untuk memberikan maklum balas pantas kepada pelajar, membolehkan mereka memahami kesilapan dan memperbaiki kelemahan dengan lebih cepat.
Dengan pendekatan ini, AI dapat dimanfaatkan dengan lebih seimbang, membolehkan pelajar terus membina daya fikir yang kukuh sambil mengambil manfaat daripada kemudahan teknologi.
Memandangkan teknologi AI terus berkembang, institusi pendidikan perlu bersedia untuk menyesuaikan pendekatan pembelajaran agar sejajar dengan perkembangan ini. AI bukan lagi sesuatu yang boleh diabaikan, tetapi ia perlu diterima sebagai sebahagian daripada ekosistem pendidikan yang moden.
Dalam dunia pekerjaan, penggunaan AI juga semakin meluas. Oleh itu, pelajar yang memahami cara menggunakannya secara efektif akan mempunyai kelebihan apabila memasuki pasaran kerja. Namun, kemahiran asas seperti pemikiran kritis, kreativiti dan kemahiran interpersonal tetap menjadi elemen penting yang tidak boleh digantikan oleh teknologi.
Disebabkan itu, dalam pendidikan harus wujud keseimbangan antara penggunaan AI dan pembangunan kemahiran insaniah.
Kesimpulannya, AI dalam pendidikan adalah satu inovasi yang membawa banyak potensi positif. Apabila digunakan dengan bijak, ia boleh meningkatkan pemahaman pelajar, memperkasa kemahiran dan membantu pendidik dalam proses pengajaran. Namun, seperti mana-mana teknologi lain, penggunaannya perlu diurus dengan baik agar ia tidak menggantikan elemen penting dalam pembelajaran, seperti daya fikir kritis, kreativiti dan interaksi manusia.
Pendidikan bukan hanya tentang memperoleh maklumat, tetapi juga tentang membina pemikiran dan kemahiran yang berdaya saing. Oleh itu, semua pihak sama ada pelajar, pendidik atau institusi perlu memainkan peranan dalam memastikan AI digunakan sebagai alat yang memperkaya pengalaman pembelajaran.
Bak kata pepatah, ‘ilmu itu pelita hidup. AI boleh menjadi cahaya yang menerangi perjalanan pendidikan, tetapi usaha dan disiplin tetap menjadi kunci utama kejayaan dalam pembelajaran.-UTUSAN
DR. Mazzlida Mat Deli ialah Pensyarah Kanan (Pengurusan Teknologi) Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).










