Matlamat wujud masyarakat mesra OKU terencat tanpa tindakan susulan konkrit

Matlamat wujud masyarakat mesra OKU terencat tanpa tindakan susulan konkrit

JADIKAN setiap hari sebagai peluang untuk membuktikan golongan kurang upaya (OKU) juga mampu mencapai kejayaan yang sama seperti orang lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMA Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Sedunia tahun ini, Memperkasa Kepimpinan OKU, Demi Inklusiviti Mampan, ia membawa mesej penting tentang keperluan memperkasa golongan ini sebagai sebahagian daripada masyarakat yang inklusif.

Hari OKU Sedunia yang disambut setiap 3 Disember menjadi peringatan yang memberi peluang bukan sekadar meraikan keberadaan golongan ini dalam masyarakat, tetapi juga untuk menilai sejauh mana iltizam kita terhadap kebajikan dan keperluan mereka. Ia mengajak semua pihak tidak kira kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun masyarakat umum untuk melihat kembali dasar sedia ada, mengukuhkan kesedaran tentang hak mereka dan mengambil tindakan lebih konkrit untuk menghapuskan cabaran yang masih wujud.

Ia sepatutnya menjadi pemangkin kepada tindakan yang lebih inklusif bagi memastikan golongan OKU dapat hidup dengan lebih bermaruah dan produktif dalam masyarakat.

Namun, dalam realiti kehidupan seharian, saya beberapa kali terserempak dengan situasi yang sangat mengecewakan. Antara yang ditemui adalah seperti kemudahan tandas OKU yang sering dijadikan stor, ramp untuk kegunaan kerusi roda yang terlalu curam dan beberapa situasi lain. Keadaan ini jelas menyukarkan golongan OKU dalam menjalani kehidupan seharian.

Selain itu, sering kali tempat parkir OKU digunakan oleh individu yang tidak berkelayakan, menambah kesukaran kepada golongan ini mendapatkan ruang parkir yang selesa.

Akses pengangkutan awam juga menjadi isu besar, dengan kekurangan bas mesra OKU, perhentian bas yang tidak selamat dan kereta api yang tidak direka untuk menampung keperluan golongan ini.

Isyarat dan panduan yang tidak mesra OKU turut menjadi penghalang, terutamanya apabila tiada tanda arah atau isyarat tertentu di tempat awam untuk individu dengan penglihatan terhad.

Begitu juga, masih banyak bangunan yang tidak mesra OKU, dengan pintu yang terlalu sempit dan lantai yang tidak selamat, yang menyukarkan golongan ini mengakses ruang awam dengan mudah dan selesa.

Semua ini menunjukkan kemudahan dan perancangan yang lebih teliti perlu dipertimbangkan untuk memastikan kehidupan golongan OKU lebih inklusif dan selamat.

PELAN TINDAKAN
Untuk menangani cabaran ini, Pelan Tindakan OKU Malaysia 2016-2022 menjadi asas yang penting dalam usaha untuk memperkasa golongan kurang berkemampuan ini. Pelan ini berlandaskan Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) dan Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) yang diratifikasi Malaysia pada 2010. Pelan ini bertujuan untuk meningkatkan aksesibiliti, memperluaskan peluang pendidikan, menggalakkan peluang pekerjaan, memastikan perlindungan sosial dan meningkatkan kesedaran masyarakat.

Walaupun pelan ini dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan namun, ketiadaan pelan susulan yang jelas menimbulkan persoalan yang kritikal mengenai komitmen negara terhadap agenda memperkasakan OKU. Ketiadaan pelan susulan menunjukkan ketidaktentuan dalam proses penilaian dan pengukuran keberkesanan sekali gus memperlihatkan potensi kehilangan momentum dalam usaha berterusan untuk memperbaiki keadaan golongan OKU.

Tanpa tindakan susulan yang konkrit, matlamat untuk mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif dan mesra OKU berisiko terencat, meninggalkan golongan ini terpinggir daripada pembangunan negara yang lebih seimbang dan adil.

Kita mempunyai Dasar Orang Kurang Upaya yang baik dan ia seharusnya menjadi tunjang dalam membangunkan pelan tindakan yang komprehensif serta boleh dicapai. Hanya dengan usaha bersama, kita dapat membangunkan pelan tindakan OKU baharu yang lebih holistik dan berkesan serta mampu memberi manfaat yang sebenar kepada golongan ini.

MASA DEPAN LEBIH INKLUSIF
Bagi memastikan agenda memperkasakan golongan OKU terus berkembang, beberapa cadangan boleh dipertimbangkan untuk menambahbaik pelaksanaan Pelan Tindakan OKU Malaysia.

Pertama, penting untuk menggubal pelan susulan yang lebih komprehensif dengan penekanan kepada pemantauan dan penilaian berterusan terhadap keberkesanan setiap inisiatif. Pelan susulan ini perlu mengandungi sasaran yang jelas, tempoh pencapaian yang spesifik serta mekanisme pengukuran yang telus agar dapat melihat kemajuan secara lebih tepat selain memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan mengikut keperluan sebenar.

Kedua, meneruskan pendekatan holistik pelan tindakan sebelum ini dengan melibatkan lebih banyak pihak, terutamanya sektor swasta dan NGO dalam merancang serta melaksanakan program yang memberi manfaat langsung kepada OKU.

Keberkesanan program latihan kemahiran atau insentif pekerjaan, contohnya, perlu dipastikan dengan penglibatan golongan OKU dalam merangka dasar dan keputusan yang munasabah. Ini akan memastikan program-program tersebut benar-benar memberi impak positif, bukan sekadar simbolik.

Selain itu, perlu ada peningkatan dalam aspek pendidikan bagi memastikan pelaksanaan pendidikan inklusif bukan hanya terhad kepada akses fizikal, tetapi juga dari segi kurikulum dan kaedah pengajaran sejajar dengan ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin penting dalam segenap urusan.

Pembelajaran yang lebih fleksibel dan sesuai dengan keperluan golongan ini boleh disediakan dengan penambahan kemudahan teknologi dan sumber pendidikan secara lebih menyeluruh sekali gus menjadikan peluang pendidikan lebih adil bagi mereka.

Kerajaan perlu meningkatkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam membangunkan infrastruktur yang lebih mesra OKU. Hal ini termasuk menyediakan lebih banyak kemudahan awam yang memenuhi piawaian aksesibiliti, seperti tandas OKU, kemudahan pengangkutan awam dan ruang awam yang lebih selamat serta mudah diakses oleh golongan ini. Pembangunan dan pemeliharaan kemudahan yang berterusan adalah kunci bagi memastikan OKU dapat menjalani kehidupan seharian tanpa halangan.

Kesimpulannya, masyarakat yang inklusif adalah masyarakat yang dapat memberi ruang kepada setiap individu untuk berkembang dan menyumbang, tanpa mengira kekurangan yang ada pada mereka.

Kejayaan dalam memperkasakan golongan OKU bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi juga tanggungjawab kita semua. Setiap usaha, walaupun kecil, memberikan impak yang besar dalam membentuk masyarakat yang lebih adil dan saksama.-UTUSAN

DR. Mohd. Zubairy Shamsudin ialah Penolong Profesor Faktor Manusia dan Ergonomik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN