Sahut cabaran struktur semula ekonomi negara

Sahut cabaran struktur semula ekonomi negara

GLC perlu bekerjasama dengan PKS untuk mencapai negara sifar karbon 2050.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA kini berhadapan dengan lanskap ekonomi yang semakin mencabar dipengaruhi oleh faktor dalaman mahupun luaran.

Senario defisit fiskal, peningkatan pergantungan kepada hutang negara dan potensi hasil negara semakin terhad merupakan antara faktor dalaman yang telah bermula semenjak 20 tahun lalu tetapi masih belum berkesudahan.

Pandemik Covid-19, persaingan sengit ekonomi serta peperangan antara beberapa negara berkuasa besar telah memaksa Malaysia berhadapan dengan cabaran berganda.

Justeru, antara tunjang utama kepada inisiatif yang direncanakan oleh kerajaan adalah Penstrukturan Semula Ekonomi bagi mencapai pertumbuhan dan kestabilan ekonomi mampan serta berdaya saing.

Namun menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam Program Bual Bicara Menteri Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) (IMC) 2024, pada 3 Mei lalu, Penstrukturan Semula Ekonomi ini tidak berlaku hanya melalui beberapa arahan dan kerangka ekonomi yang disampaikan kepada rakyat.

Sebaliknya, ia memerlukan empat pemboleh daya strategik merentasi bidang ekonomi dan ini merupakan cabaran utama negara yang menuntut penyelesaian segera.

IMC adalah sebuah Program Bicara Intan membabitkan pemimpin tinggi kerajaan dan juga perkhidmatan awam yang membincangkan perkara berimpak tinggi berkaitan isu dan dasar semasa negara, serta berskala besar dengan tema tertentu.
Empat cabaran tersebut adalah:

Kesanggupan melepaskan sesuatu untuk landskap ekonomi lebih sihat
Cabaran kepada pemboleh daya pertama yang dinyatakan adalah kesanggupan melepaskan sesuatu seiring dengan keperluan semasa walaupun terpaksa mengambil langkah tidak popular dan berhadapan dengan pelbagai stigma negatif. Sesuatu perlu dikorbankan dan aturan semasa perlu ditukar kerana sudah tidak bersesuaian.

Contohnya, pemberian subsidi diesel memberikan bebanan yang semakin tinggi kepada kerajaan. Bagi tempoh 2018 hingga 2022, kerajaan menanggung subsidi diesel melebihi RM35 bilion, dengan purata tahunan sebanyak RM7 bilion.

Subsidi ini mencecah RM14.3 bilion pada tahun lalu walaupun trend penggunaan dalam kalangan pengguna individu secara umumnya tidak berubah. Adakah terdapat pihak yang mengambil kesempatan ke atas kelemahan dalam aturan semasa? Situasi ini memaksa kerajaan melaksanakan penyasaran semula subsidi diesel.

Dalam hal ini, inisiatif penstrukturan semula ekonomi memerlukan perubahan yang melibatkan dua keputusan penting. Pertama, mengenal pasti pihak yang perlu menyumbang atau pihak yang melepaskan sesuatu yang biasanya diterima dan kedua, mekanisme terperinci untuk menguruskannya secara sistematik.

Kedua-dua keputusan kritikal tersebut perlu dibuat secara berhati-hati agar pelaksanaan perubahan tidak memburukkan keadaan ekonomi semasa negara. Sebarang perubahan kepada dasar semasa juga mengambil masa kerana tidak mudah difahami dan diterima.

Justeru, kerajaan memerlukan data komprehensif seperti ditawarkan oleh Pangkalan Data Utama (PADU) dan tempoh lebih panjang untuk menangani perkara ini.

Menteri Ekonomi turut menyeru agar para menteri dan penjawat awam bersiap siaga dalam memberi penjelasan serta sanggup memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa.

Anjakan minda dan budaya merentasi skop ekonomi
Inisiatif Penstrukturan Semula Ekonomi negara juga memerlukan anjakan minda yang berupaya mengubah sikap dan budaya. Namun, anjakan di peringkat nasional terutamanya sukar bagi amalan yang telah dilaksanakan selama berdekad.

Selain itu, penstrukturan semula ini tidak hanya melibatkan amalan dari perspektif ekonomi semata-mata tetapi perlu ditangani daripada perspektif holistik dan terangkum meliputi bidang antropologi dan sosiologi.

Contohnya, budaya makanan mewah dan pelbagai lagi aktiviti dengan skala besar akan melumpuhkan usaha kerajaan dalam mengoptimumkan sumber yang semakin berkurangan.

Walaupun budaya tersebut berupaya menarik ramai pengunjung atau memeriahkan sesebuah majlis namun ia membuka ruang pembaziran yang boleh melonjakkan belanjawan kerajaan melalui pemberian subsidi beras dan minyak masak, kos pemprosesan sampah serta pengimportan bahan makanan yang seterusnya mampu menggugat kedudukan ekonomi dan keterjaminan makanan di Malaysia.

Reka bentuk program kalis masa dan berimpak tinggi
Penggubalan dasar kerajaan memerlukan reka bentuk program yang mampu mengikut peredaran zaman dan memenuhi keperluan di setiap peringkat. Contohnya, reka bentuk Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu disesuaikan dengan perubahan dan pembangunan teknologi yang menyokong industri pembuatan dan kejuruteraan pelbagai bidang.

Namun, reka bentuk program bersifat kalis masa memerlukan pemikiran di luar kebiasaan dan penelitian ke atas data terperinci sekurang-kurangnya 20 tahun lalu sebelum dinaiktaraf menggunakan inovasi dan teknologi terkini bagi membolehkan ia mendepani cabaran yang lebih besar.

Fokus turut perlu diberikan kepada program yang mendatangkan impak kegagalan yang sangat merugikan dalam skala besar dan bukannya kejayaan kecil dengan impak berskala rendah.

Bersepadu merealisasi perubahan
Proses perubahan juga menuntut gandingan utuh semua pihak di pelbagai peringkat agar jentera penstrukturan semula ekonomi dapat bergerak secara kolektif dan berkesan.

Sentimen perbezaan kaum dan fahaman politik akan mengancam semangat federalisme yang boleh menyebabkan kegagalan integrasi nasional bagi membentuk satu negara bangsa.

Dalam hal ini, menteri menekankan gandingan seiring ke arah perubahan dapat mengelakkan ‘akibat yang tidak diingini’ serta memastikan perancangan, penyusunan dan pelaksanaan sesuatu program dapat berada di landasan yang betul.

Inisiatif penstrukturan semula ekonomi memerlukan kerjasama secara satu bangsa.

Perancangan, penyusunan dan pelaksanaan dasar dengan keterlibatan secara bersepadu dalam merealisasi sesuatu yang direncanakan melebihi jangkauan diperlukan untuk memastikan limpahan impak positif terhadap kedudukan ekonomi negara yang akhirnya menjadi wadah kepada kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.-UTUSAN

DR. N. Farahin Ali@Ibrahim ialah Perunding Latihan Kanan di Pusat Pengajian Ekonomi dan Kewangan Awam (PEKA) Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN