Akhirnya beri lampu hijau, saya cuba cari kesalahan tetapi Dida terlalu sempurna -Cik B - Utusan Malaysia

Akhirnya beri lampu hijau, saya cuba cari kesalahan tetapi Dida terlalu sempurna -Cik B

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selebriti media sosial dan penyanyi, Cik B mengakui pernah berusaha mencari kesalahan Datuk Fazley Yaakob sebelum akhirnya memberi lampu hijau kepada ibunya, Datuk Seri Vida (DSV), untuk menerima lamaran cef selebriti tersebut.

Cik B atau nama sebenarnya, Nur Edlynn Zamilleen Muhammad Amin, berkata, dia pada awalnya berdepan masalah kepercayaan dan mengambil masa untuk menerima kehadiran Fazley dalam kehidupan ibunya.

Bagaimanapun, selepas melihat kesungguhan serta cara Fazley melayan DSV, Cik B mula menyedari bahawa lelaki itu benar-benar serius dan mampu membahagiakan ibunya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Terus-terang, saya banyak mencari salah silap Dida (panggilan Fazley) untuk membuktikan bahawa Mama tidak patut berkahwin dengannya. Saya cuba melihat apa kesalahan yang dilakukan, tetapi saya dapati dia terlalu sempurna sehingga sukar untuk mencari kekurangannya.

“Hal ini kerana cara dia menjaga dan melayan Mama bukan seperti pasangan biasa. Saya sendiri pernah bercinta, tetapi orang yang pernah bersama saya tidak pernah melayan saya seperti itu.

“Dia melayan Mama seperti seorang puteri, termasuk memakaikan kasut dan sebagainya, seperti Cinderella,” katanya.

Cik B berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas DSV meneroma kejutan lamaran oleh Fazley di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

Menurut Cik B, dia juga mempunyai masalah kepercayaan yang menyebabkan dirinya sukar menerima perubahan dalam kehidupan keluarga, namun tidak mahu perkara itu menjadi penghalang kepada kebahagiaan ibunya.

“Dida memang baik dan sebagainya, tetapi saya sendiri yang bermasalah. Saya tidak tahu mengapa, mungkin kerana masih muda, tetapi saya tidak mahu menyalahkan faktor itu.

“Selagi Mama gembira, saya pun gembira. Saya cuma tidak mahu Mama terluka, kecewa atau mengalami kemurungan sekiranya berlaku masalah dalam hubungan mereka kelak,” katanya.

Mengulas lanjut, Cik B berkata, dia tidak menetapkan syarat yang sukar kepada Fazley, sebaliknya hanya berharap lelaki itu mampu membahagiakan DSV, menyediakan keperluannya serta membantu menguruskan perniagaan.

“Syarat saya adalah buat Mama bahagia, menyediakan keperluan Mama dan juga membantu Mama dalam perniagaan. Saya tidak kisah Mama mahu berkahwin dengan sesiapa sahaja, asalkan Mama bahagia.

“Saya cuma minta satu perkara, sekiranya sesuatu tidak berjalan seperti yang diharapkan atau berlaku masalah dalam hubungan itu, saya tidak mahu Mama sakit hati, kecewa atau murung. Itu sahaja yang saya tidak mahu,” katanya.

Dalam pada itu, Cik B mengakui terkejut apabila mengetahui perancangan Fazley untuk melamar ibunya kerana perkara tersebut hanya dimaklumkan beberapa hari sebelum lamaran itu berlangsung.

Katanya, pada awalnya dia menyangka perancangan tersebut sekadar percakapan, namun akhirnya Fazley membuktikan kesungguhannya menerusi tindakan.

“Dida ada beritahu bahawa dia mempunyai perancangan. Saya tertanya-tanya apakah perancangannya sebelum mengetahui dia mahu melamar Mama.

“Perkara itu baru sahaja diberitahu kepada saya dalam tempoh tiga hingga lima hari sebelum ini.

“Pada mulanya, saya tertanya-tanya sama ada Dida benar-benar serius atau sekadar bercakap kosong.

“Tetapi rupa-rupanya dia betul-betul melakukannya. Saya sangat bangga dengan Dida. Dia seorang lelaki sejati dan berjaya membuktikan tanggapan saya salah,” katanya.

Terdahulu, Fazley membuat kejutan lamaran kepada DSV di sesi 11.11 Mega Shock Live Concert di KLCC.

Fazley menghadiahkan sebentuk cincin eksklusif berbentuk tiara bernilai RM7,000 kepada Vida, selain membabitkan anak-anak kedua-dua belah pihak dalam momen penuh bermakna tersebut.

Lamaran yang turut disiarkan menerusi siaran langsung TikTok itu turut diserikan dengan persembahan mega 1,200 dron membentuk mesej unik ‘Nak Duduk Ipoh ke KL?’ buat Vida.

Sebelum ini, hubungan Fazley dan Vida mula menjadi perhatian selepas kedua-duanya dikaitkan menerusi program realiti Talk To My Manager musim kedua (TTMM 2) sekitar Mei lalu.

Lamaran ini akhirnya menjadi simbolik keseriusan hubungan Fazley dan Vida, sekali gus menjawab pelbagai spekulasi termasuk dakwaan bahawa kemesraan pasangan berkenaan hanyalah gimik dan strategi pemasaran di media sosial.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini