Hong Kong peluang terakhir Jun Hao buktikan kemampuan

Hong Kong peluang terakhir Jun Hao buktikan kemampuan

Leong Jun Hao gagal mempamerkan aksi terbaik dalam kejohanan yang disertai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Terbuka Hong Kong minggu depan menjadi peluang terakhir buat pemain perseorangan lelaki utama negara, Leong Jun Hao membuktikan dirinya masih mampu bersaing di pentas tertinggi sebelum prestasinya dinilai bagi menentukan perancangan musim 2027.

Pemain ranking ke-32 dunia itu masih gagal menembusi suku akhir sepanjang musim ini apabila sering terkandas pada pusingan pertama dan kedua, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemampuannya untuk kembali mencabar kelompok elit dunia.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara, Kenneth Jonassen menegaskan Jun Hao perlu memecahkan kebuntuan tersebut dengan mencatat sekurang-kurangnya dua kemenangan berturut-turut, bukannya sekadar mempamerkan permainan baik tanpa keputusan yang diharapkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sepanjang 2026, masalahnya ialah dia belum mampu menghasilkan dua persembahan baik berturut-turut yang membawa kemenangan kerana beberapa kali dia melepasi pusingan pertama, tetapi kemudian tersekat di pusingan kedua.

“Bagi saya, suku akhir dan ke atas adalah tahap untuk kita mula mengukur prestasi yang benar-benar baik, dan apabila seseorang pemain sudah berpengalaman seperti Jun Hao, kita bukan hanya mahu melihat persembahan bagus, tetapi kemenangan,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.

Jun Hao yang pernah muncul naib juara Kumamoto Masters pada 2024 menarik diri daripada kejohanan sama di Jepun minggu ini selepas barisan kejurulatihan mendapati tahap persiapannya belum mencukupi susulan kempen hampar di Terbuka Perancis.

Jonassen menjelaskan keputusan itu dibuat bagi memberi tambahan masa seminggu kepada pemain berkenaan memperkemas permainan sebelum menghadapi Terbuka Hong Kong di Kai Tak Arena dari 17 hingga 22 November, yang menjadi kejohanan terakhirnya tahun ini.

“Kami menariknya keluar daripada Kumamoto kerana selepas Terbuka Perancis, kami merasakan dia tidak mempunyai masa mencukupi untuk membuat persiapan dengan baik dan tahap yang ditunjukkan ketika latihan belum mencapai standard diperlukan.

“Dari segi kawalan emosi pula, saya sebenarnya tidak mempunyai masalah dengan Jun Hao kerana dia sangat baik dalam aspek itu dan mampu meletakkan dirinya dalam keadaan mental yang betul,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini