JOHOR BAHRU: Kejayaan menyelamatkan 100 kaki pesakit diabetes daripada dipotong atau menjalani prosedur amputasi dalam tempoh setahun menjadi pencapaian membanggakan Dr. K. Arivarni menerusi kepakaran rawatan luka kronik di Clinic Star Medicare, di sini.
Lebih membanggakan, kejayaan yang direkodkan dari Ogos 2025 hingga Ogos lalu itu melayakkan klinik berkenaan menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori ‘Bilangan Anggota Badan Pesakit Diabetes Terbanyak Yang Berjaya Diselamatkan Melalui Rawatan Luka Lanjutan Dalam Tempoh Satu Tahun’.
Dr. Arivarni, 43, berkata, kebanyakan pesakit yang mendapatkan rawatan di kliniknya sebelum ini sudah menerima surat daripada hospital yang mencadangkan supaya kaki mereka dipotong berikutan luka kronik dan komplikasi diabetes yang dialami.
Bagaimanapun, menerusi penilaian klinikal menyeluruh, rawatan luka lanjutan serta pengurusan penyakit asas, pihaknya berusaha menyelamatkan anggota badan pesakit sebelum keputusan amputasi dilakukan.
Menurutnya, klinik yang beroperasi di kawasan Kebun Teh itu sudah mengendalikan lebih 8,000 kes rawatan luka sepanjang tempoh enam tahun beroperasi termasuk luka kronik, jangkitan, masalah peredaran darah dan kerosakan saraf.
“Perasaan saya sangat gembira kerana dapat membantu pesakit mengekalkan anggota badan mereka terutama mereka yang sebelum ini sudah diberitahu kemungkinan perlu menjalani amputasi.
“Nasihat saya, pesakit perlu mendapatkan penilaian daripada doktor yang mempunyai kepakaran dalam rawatan luka dan berusaha mendapatkan pilihan rawatan bersesuaian sebelum membuat keputusan untuk memotong kaki, sekiranya keadaan klinikal masih mengizinkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau yang memiliki pengkhususan peringkat sarjana dalam bidang Advanced Wound Care berkata, rawatan luka kronik bukan sekadar membalut luka, sebaliknya memerlukan pemeriksaan terperinci bagi mengenal pasti tahap kerosakan tisu, jangkitan, bekalan darah dan komplikasi kesihatan lain.
Antara sembilan pendekatan rawatan yang digunakan ialah penilaian luka lanjutan, pembuangan tisu mati (debridement), terapi luka bertekanan negatif (NPWT), penggunaan pembalut luka lanjutan, pengurusan jangkitan, terapi pengurangan tekanan, terapi tambahan termasuk oksigen hiperbarik (HBOT), pengurusan diabetes serta rujukan kepada pakar pelbagai disiplin.
Katanya, rawatan berkenaan diberikan mengikut keadaan dan keperluan klinikal setiap pesakit kerana penghidap diabetes turut berisiko mengalami komplikasi lain seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, penyakit buah pinggang dan kerosakan saraf. – UTUSAN











