Diabetes di Malaysia tahap bahaya

Diabetes di Malaysia tahap bahaya

blood glucose meter, the blood sugar value is measured on a finger
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu daripada lima rakyat Malaysia kini menghidap diabetes, mengesahkan si­tuasi kesihatan negara berada pada tahap kritikal dengan kedudukan ke-13 tertinggi di dunia dan tertinggi di Asia Tenggara.

Presiden Persatuan Perubatan (MMA), Datuk Dr T. Rajoo berkata, kadar prevalens itu amat membimbangkan dan menuntut tindakan segera dan bersepadu daripada kerajaan, sektor industri, institusi pendi­dikan dan seluruh masyarakat.

“Diabetes yang tidak terkawal boleh membawa kepada kom­plikasi jangka panjang seperti kegagalan buah pinggang, penyakit jantung, amputasi, buta dan strok yang kebanyakannya memerlukan rawatan intensif dan kos tinggi sepanjang hayat.

“Sekiranya pencegahan dan perubahan gaya hidup tidak diberi keutamaan, ia terus menambah beban kepada keluarga, majikan dan bajet kesihatan negara,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, merujuk kepada laporan Kementerian Ke­sihatan dan Pertubuhan Ke­sihatan Sedunia (WHO), diabetes sahaja telah menyumbang RM4.38 bilion kepada kos penjagaan kesihatan langsung pada tahun 2017.

MMA menggalakkan masya­ra­kat menjalankan saringan kesihatan tahunan bermula usia 18 tahun sebagai langkah pencegahan awal sebelum berlaku sebarang komplikasi.

Pada masa yang sama, MMA turut mencadangkan agar pendidikan kesihatan awam di sekolah, tempat kerja dan media diperkukuh kerana berupaya menyampaikan mesej konsisten.

“MMA turut mengesyorkan supaya ada penubuhan polisi tentang persekitaran makanan yang lebih sihat seperti pengembangan cukai gula dan pengurangan berperingkat kandungan gula tambahan dalam makanan dan minuman,” katanya.

“Kelewatan diagnosis dan rawatan meningkatkan kos perubatan dan menurunkan kua­liti hidup. Kita mesti bertindak sekarang untuk menentang semula trend ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN