PARA nasionalis negara tidak pernah sesekali pun menghalang rakyat Malaysia daripada menguasai pelbagai bahasa lain. Malah mereka menggalakkan pembelajaran sebilangan bahasa lain yang penting, dengan syarat tidak sesekali mengketepikan penguasaan bahasa Melayu yang seharusnya baik oleh setiap warganegara.
Inilah sebenarnya pendirian tegas mereka yang sering kali sengaja mahu diherotkan oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab.
Dalam pada ini, amat malang sekali setelah sekian lama kita menubuhkan negara ini, bukan sahaja masih terdapat warganegara yang langsung tidak menguasai bahasa negara. Juga terdapatnya warganegara yang cuba mencabar kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa negara dalam konteks kewarganegaraan.
Untuk ini, mereka mempertikainya dengan merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, iaitu perundangan tertinggi negara, yang tidak pun mempunyai sebarang peruntukan tentang warganegara secara kuat kuasa undang-undang yang wajib fasih dalam bahasa Melayu.
Ia memang tidak dinyatakan kerana sudah menjadi perkara yang bukan sahaja patut, juga wajib bagi mana-mana warganegara menguasai bahasa negara dengan baik. Ini memang terjadi secara tabii di seantero dunia. Namun ia bukan sahaja tidak wujud, juga sudah menjadi tabiat di negara ini, yakni warganegara yang tidak mampu berbahasa negara, walaupun dalam keadaan yang munasabah penguasaannya, dianggap perkara lumrah sehingga tidak menjadi apa-apa kehairanan lagi.
Harus diakui bahawa warganegara yang tidak boleh berbahasa Melayu ini, adalah rata-ratanya daripada kalangan lepasan sekolah vernakular. Ini fakta yang tidak boleh sama sekali disangkal walaupun cuba dibantah oleh etnik bukan Melayu, antaranya Cina dengan memperlihat kebolehan berbahasa Melayu sebilangan pemimpin mereka yang merupakan lepasan sekolah vernakular.
Sehubungan ini, bagaimana pula dengan yang lain yang langsung tidak fasih, walaupun untuk hanya membaca teks yang tersedia dalam bahasa Melayu, apatah lagi untuk bercakap di dalamnya secara spontan?
Sebenarnya hal ketidakcekapan berbahasa negara dalam kalangan warganegara setelah lebih dari enam dasawarsa penubuhan negara, bukan hanya isu nasional serius. Juga ia memalukan dan tidak dapat dinafikan bahawa ia merupakan antara kegagalan kita dalam proses pembentukan negara bangsa. Hal begini didapati tidak berlaku walaupun secara kecil di mana-mana tempat lain di dunia, kecuali di Malaysia dan pada kadar yang besar pula.
Untuk ini, sudah tiba masanya kerajaan semasa bertiwikarma (berusaha sedaya upaya agar mencapai maksud) untuk menangani permasalahan negara yang berlarutan sekian lama. Tiwikarma ini menjadi lebih perlu, malah wajib dilakukan apabila dititahkan oleh Ketua Negara yang mahu kerajaan kini mencari jalan terbaik untuk menyatupadukan rakyat melalui satu dasar yang lebih mangkus, menerusi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan.
Untuk menangani permasalahan penguasaan bahasa Melayu, kerajaan hari ini hendaklah bersifat tegas sebelum nasi menjadi bubur. Ini kerana setelah dibiarkan permasalahan linguistik ini tanpa cuba ditangani secara serius untuk sekian lama sebelum ini oleh mana-mana kerajaan yang memerintah, sesungguhnya ia didapati tidak mudah lagi untuk diatasi kini. Ini dapat dilihat pada tindak balas sesetengah pihak terbabit yang langsung tidak mahu pun memperlihat usaha selain tekad untuk menyelesaikannya.
Sebaliknya mereka ini, termasuklah para pemimpin dari kalangan etnik Cina, yang mahu mewajarkannya dengan memberi pelbagai alasan yang kekadang bersifat antinational, yakni bertentangan dengan aspirasi negara. Antaranya termasuklah kurangnya nilai ekonomi pada bahasa Melayu, tanpa mahu melihat pun pada ranah kenegaraan dari sudut bahasa Melayu adalah identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat.
USAHA KERAJAAN
Dalam pada ini, kerajaan diseru untuk mempertingkat pemahaman rakyat tentang hubungan bahasa negara dengan nasionalisme, yakni perasaan kebanggaan kepada negara. Ini hendaklah dilakukan dengan menekankan peri pentingnya bahasa Melayu selaku bahasa negara kepada nasionaliti, iaitu perasaan keterikatan dengan negara oleh semua warganegara.
Dalam hal ini, bahasa negara hendaklah dijadikan institusi penting yang bukan sahaja disayangi, juga ditaati oleh setiap seorang warganegara di segenap pelosok tanah air. Ini kerana antara banyak institusi yang menandakan nasionaliti, bahasa merupakan entiti yang cepat selain mudah diasosiasikan, kekadang secara fanatik lagi oleh warganegara di sesebuah negara itu.
Untuk ini, kerajaan boleh memanfaatkan hubungan bahasa Melayu dengan nasionalisme untuk memupuk nasionaliti Malaysia. Sehubungan ini, bahasa Melayu boleh dipupuk sebagai kewajipan kebangsaan untuk membangkitkan kesedaran nasional, yakni perkongsian identiti nasional untuk negara ini dan identiti budaya bagi rakyatnya, pada seluruh warganegara Malaysia.
Dalam hal ini, etnik bukan Melayu, antaranya Cina hendaklah pertama-tamanya mula mempunyai sikap positif terhadap bahasa Melayu, khususnya dalam konteks peranan integratifnya. Sebagai warganegara patriotik seperti yang diakui mereka sendiri, termasuklah daripada lepasan sekolah vernakular, etnik Cina wajib pada kali ini betul-betul berjanji untuk menyelesaikan permasalahan linguistik negara yang tertangguh oleh mereka sendiri.
Ia tidak boleh lagi hanya sekadarnya pandai bermadah setiap kali isu ini timbul, dengan menyatakan bahawa bahasa Melayu itu penting.
Oleh itu, terjemahkannya ke dalam tindakan sebenar dalam kehidupan nasional anda.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










