Isu anak: Mohd. Shukri teruji, dipuji

Isu anak: Mohd. Shukri teruji, dipuji

MOHD. Shukri Ramli memberi penjelasan berkaitan isu anaknya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara terbuka di dalam sesi penggulungan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kangar, Perlis baru-baru ini. – UTUSAN/AHMAD ADIB AKHYAR AMINARRASHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINGGU lalu, suhu politik di Perlis agak panas. Namun Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli kekal tenang dan langsung tidak melatah berdepan isu anak dan pegawai kanannya yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes pemalsuan dokumen tuntutan palsu.

Malah, pendekatan Mohd. Shukri dengan secara terbuka dalam sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) memberi penjelasan berhubung isu berkenaan disifatkan cukup gentleman.

Bagi Pesuruhjaya Pas negeri itu, tidak ada apa yang hendak disembunyikan dan beliau langsung tidak menyalahkan mana-mana pihak dan jika anaknya itu betul-betul terbukti bersalah, ambillah tindakan.
Pendekatan terbuka Mohd. Shukri itu agak menarik perhatian dan ia cukup berbeza jika dibandingkan pemimpin-pemimpin politik lain sebelum ini ketika berdepan isu sama membabitkan ahli keluarga atau pegawai kanan.

Lazimnya, berdepan isu seperti itu, ramai pemimpin yang memilih mengunci mulut atau menyalahkan pihak berkuasa atau mendakwa sebagai menjadi mangsa politik.

Namun tidak bagi Mohd. Shukri, beliau lebih terbuka berdepan isu tersebut dan dalam masa sama mengakui ia antara kelemahannya dalam pentadbiran kerana terlalu baik dan percayakan kepada semua orang.

Langkah Mohd. Shukri memberi penjelasan secara terbuka dalam sesi penggulungan DUN itu juga sebenarnya dilihat mampu mematikan langkah lawan untuk menjadikan isu berkenaan sebagai peluru politik.

Beliau sudah menyatakan pendirian secara jelas, jika anak dan pegawai kanannya itu didapati bersalah, ambillah tindakan dan sebelum ini beliau juga sudah sering kali menitipkan pesanan.

“Kalau anak saya bersalah, hukumlah dia. Saya dah bagi pendidikan dan ilmu kat dia, kalau buat juga nak buat macam mana. Saya tiada gundah gulana dan setakat ini masih mampu bertahan. Doakan yang terbaik untuk kita semua dan saya tiada prasangka kepada SPRM sehinggalah mereka selesaikan siasatan,” kata Mohd. Shukri.

TERBUKA

Selain itu, tanpa gentar, beliau juga membuka ruang seluas-luasnya kepada SPRM untuk melakukan siasatan berhubung sebarang salah laku di negeri ini dan kalau boleh, periksa habis-habis agar kerajaan negeri ini bersih macam kain putih.

Kata Mohd. Shukri, tidak ada siapa yang kebal daripada undang-undang termasuk beliau sendiri dan kalau menyalahi undang-undang boleh diambil tindakan dan kalau salah guna undang-undang juga perlu dikenakan tindakan.

Jika diambil daripada sudut positif, apa yang berlaku itu mungkin menjadi wake up call kepada Menteri Besar atau kerajaan negeri sendiri untuk lebih tegas dalam pentadbiran.

Isu-isu seperti ini kalau boleh kita tidak mahu dengar lagi kerana rakyat sudah memberi kepercayaan dan menaruh harapan cukup besar kepada kerajaan negeri yang baharu ini.

Percayalah, disebalik apa yang berlaku ini, ramai sebenarnya masih berdiri teguh di belakang kepemimpinan Mohd. Shukri.

Malah, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin sendiri dalam status Facebooknya baru-baru ini juga cukup memahami situasi yang dilalui Mohd. Shukri yang bukannya berdepan laluan mudah namun secara peribadi beliau percaya Menteri Besar seorang yang telus dalam hal berkaitan harta awam.

“Saya tidak kenal anak beliau atau pegawai-pegawai beliau yang dituduh tersebut, tapi sekadar saya kenal beliau sebagai MB Perlis, saya percaya Allah lebih mengetahui hakikat sebenar dan beliau secara peribadi seorang yang telus dalam soal harta awam.

“Itu sekadar pemerhatian saya. Apapun, Allah Maha Mengetahui segalanya. Kita mengharapkan semua urusan berjalan dengan cara yang adil untuk semua pihak,” kata Mohd. Asri.

Minggu lalu, media melaporkan mengenai penahanan reman anak kepada Menteri Besar Perlis bersama seorang pegawai kanan kerajaan negeri dan empat individu lain bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Kesemua mereka bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas tiga hari ditahan reman. – UTUSAN

PENULIS ialah koresponden Utusan Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN