PADA tahun lalu, antara Januari sehingga Oktober, seramai tiga juta pelancong dari Malaysia memasuki Thailand khususnya untuk berkunjung atau bercuti ke Hatyai. Dalam tempoh sama, pelancong Thailand memasuki Malaysia pula kira-kira 700,000 orang.
Jumlah tersebut menunjukkan perbezaan cukup ketara sekali gus menimbulkan persoalan mengapa pelancong lebih gemar berkunjung ke negara Gajah Putih itu sedangkan rakyat Thailand tidak ramai bercuti ke negara ini meskipun Malaysia termasuk Perlis sendiri tidak ketinggalan dalam sektor pelancongan.
Perlis menjadi antara lokasi pelancongan yang sedang melonjak dan menjadi perhatian pengunjung. Perlis mempunyai tarikan tersendiri berikutan keindahan alam semula jadinya yang memukau.
Jadi tidak hairanlah, apabila berkunjung sekali ke Tasik Timah Tasoh, View Point Wang Kelian, Perkampungan Nelayan Warna-Warni dan banyak lagi lokasi menarik lain dengan panorama indah alam semula jadi itu, pasti meninggalkan kenangan indah kepada mereka. Cuti sekolah, ramai yang datang kembali.
Negeri ini juga tidak ketinggalan dalam aspek keunikan makanannya sekali gus tidak jauh beza sebenarnya antara Perlis dan Thailand. Malah lebih ‘mahal’ lagi, banyak inap desa yang dibangunkan di Perlis cukup unik. Jadi tidak hairanlah sering kali tular di media sosial, Tik Tok, dikongsi ribuan di Facebook.
Jadi, apa kurangnya Perlis berbanding Thailand? Ya, perkara itu, perlu dikaji di mana punca atau silapnya. Sempena Tahun Melawat Perlis 2024/2025 ini, kita bukan sahaja mahu pengunjung dari seluruh negara datang ke Perlis, malah, berharap kehadiran pengunjung dari negara jiran ini, khususnya penduduk di selatan Thailand yang berhampiran di sini.
Thailand diakui cukup hebat bagi membuat pengunjung ‘rindu’ untuk kembali bercuti di negara berkenaan. Lihat sahaja, Hatyai, Songkhla antaranya, biasa-biasa sahaja, namun orang sentiasa penuh khususnya pada cuti hujung minggu dan cuti persekolahan.
Apabila Perlis bakal menubuhkan jawatankuasa khas bersama tiga wilayah Selatan Thailand dalam masa terdekat bagi memperkasakan sektor pelancongan di negeri itu, ia sebenarnya langkah yang cukup tepat. Tiga wilayah Selatan Thailand berkenaan membabitkan Yala, Songkla dan Satun yang merupakan kawasan bersempadan dengan Malaysia.
Penubuhan jawatankuasa tersebut dilihat bakal memudahkan lagi perhubungan antara Perlis bersama tiga wilayah Selatan Thailand itu khususnya dalam aspek pelancongan memandangkan kita ke arah merancakkan lagi Tahun Melawat Perlis 2024/2025.
Exco Pelancongan atau mana wakil-wakil dari kerajaan negeri mungkin boleh lebih kerap ke sana, bertemu, berbincang dengan pemain-pemain pelancongan di sana dengan mana input bersesuaian, kita ambil, kita pratikkan di sini. Di mana kekurangan, kita perbetulkan.
Kita juga perlu aktif, produktif dan lebih berani dengan yakinnya ‘menjual’ produk pelancongan kita di sana kerana pelancongan Perlis sudah berada kelas tersendiri. Perlis ‘menang’ dengan view yang cantik, makanan sedap dan murah, penginapan menenangkan.
Malah, lokasi pelancongan di Perlis yang dikelaskan kepada lima kluster membabitkan Jejak Pelancongan Eko; Jejak Pelancongan Agro; Jejak Pelancongan Budaya, Sejarah, Seni dan Warisan; Jejak Pelancongan Membeli Belah dan Makanan dan Jejak Pelancongan Sukan dan Rekreasi sebenarnya sudah cukup lengkap dalam memberi pilihan kepada pelancong.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli ketika bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat Perbincangan Agenda Pelancongan dan Kerjasama Perlis Bersama Selatan Thailand di Hotel Yannaty, Hatyai pada 5 Mac lalu, sangat berharap kesinambungan hubungan antara pemain-pemain pelancongan negeri ini dan Selatan Thailand akan berterusan bagi memastikan peningkatan pelancongan dari negara jiran tersebut ke Perlis.
Sebabnya kata beliau, selama ini, sering dimaklumkan mengenai jumlah pelancong Malaysia ke Thailand dan kali ini, beliau mahu melihat peralihan pelancong Thailand pula ke Malaysia khususnya Perlis.
“Ketika bertemu pemain-pemain pelancongan Thailand ini, terdapat beberapa isu dibangkitkan antaranya seperti kekangan pembelian diesel pelancong dari Thailand.
“Maklumat mengenai perkara ini baru sahaja saya terima dan kita perlu selesaikan untuk memastikan kehadiran pelancong ke Perlis tidak terjejas. Daripada segi pembelian petrol, pihak terlibat sememangnya tidak mempunyai masalah namun kekangan yang berlaku adalah membabitkan pembelian diesel bagi van pelancong dan seumpamanya,” katanya.
Mohd. Shukri juga berharap agar pemain industri pelancongan di Perlis juga boleh mencontohi peniaga Thailand yang amat mengutamakan kebersihan dalam perniagaan mereka bagi menarik kehadiran pelancong selain sifat ramah mereka dengan pengunjung.
Katanya, Perlis amat berpotensi besar dalam sektor pelancongan berikutan mempunyai tarikan tersendiri seperti keindahan alam semula jadi selain keunikan makanan.
“Kita akan berterusan mempromosi tempat pelancongan di negeri ini sebab kita rasa tempat pelancongan di Perlis tidak kurang menariknya dan ada kelainan dengan kawasan pelancongan di sebelah Selatan Thailand,” katanya. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Malaysia Perlis










