MUKADIMAH
BANYAK kritikan dilemparkan terhadap wanita ini terutama ketika memegang jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor sehinggalah menjadi Menteri Industri Utama, satu masa dahulu.
Malah adakalanya beliau dijadikan bahan ejekan segelintir pemimpin biadab dan bersikap keterlaluan. Bagaimanapun, segalanya diharungi beliau dengan tenang sehingga mampu bertahan enam penggal sebagai Ahli Parlimen Seputeh.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah Naib Pengerusi DAP, TERESA KOK SUH SIM bagi mendapatkan pandangan beliau. Turut membantu Jurufoto, SADDAM YUSOFF.
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana Yang Berhormat (YB) mampu bertahan dalam politik sehingga kini walaupun mempunyai banyak kontroversi sebelum ini?
TERESA KOK: Kami sebelum ini adalah pembangkang. Apabila kami menjadi pembangkang satu ketika dahulu, memang semestinya ada kontroversi sebab seringkali membangkitkan isu rakyat di dalam atau luar Parlimen.
Kita tegur pihak kerajaan dan juga agensi penguatkuasaan. Apabila ini berlaku, mereka pastilah akan lawan balik.
Selepas saya menjadi kerajaan di Selangor lagi banyak kontroversi kerana pembangkang menjadi kerajaan di negeri paling maju. Sebab itulah saya diheret di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama tujuh hari dan seterusnya saya saman kerajaan.
Jadi, bagi saya kontroversi ini perkara biasa dan ia bergantung kepada kontroversi jenis apa.
Kadang-kadang kita rasa perkara kecil tidak harus dijadikan sebagai kontroversi pun. Akan tetapi masalahnya ia diputar belit oleh pihak tertentu sehinggalah timbul pelbagai isu lalu terjadilah kontroversi.
Enam penggal di Parlimen Seputeh. Adakah YB terfikir untuk bersara atau kekal mempertahankan kerusi tersebut bagi PRU akan datang?
Setakat sekarang saya akan teruskan. Kita tidak tahu ini semua takdir. Apa sahaja boleh berlaku sama ada disebabkan perubahan politik atau isu keselamatan. Jadi, kita lihatlah nanti apakah yang berlaku seterusnya.
CABARAN DAN TUDUHAN
Apakah perkara paling mencabar sepanjang berada dalam politik?
Pada tahun 2008, pertama kali saya jadi exco kanan kerajaan Selangor, saya dituduh oleh bekas Menteri Besar Selangor pada masa itu, Dr. Seri Mohamad Khir Toyo.
Apabila DAP jadi sebahagian kerajaan di Selangor, banyak tuduhan dilemparkan kepada saya antaranya mendakwa saya mengarahkan bunyi azan tidak boleh dilaungkan dengan kuat lagi.
Selepas itu, ada yang kata saya bawa orang supaya diadakan tunjuk perasaan di sebuah masjid di Kinrara. Ini semua cerita karut dan saya tidak pernah buat pun sehingga saya pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Malah untuk pengetahuan awak, selepas saya ditahan ISA, pengerusi masjid tersebut mempertahankan saya. Dia kata, “Teresa Kok tidak pernah datang dan masjid itu pun bukan kawasan saya. Jadi, sebab apa saya mahu kacau pula ? ”
Selepas itu awak boleh bayangkan apa logiknya ajak orang berkumpul pada pukul 5 pagi? Kalau hendak buat tunjuk perasaan pun orang buat waktu siang dan kalau ada laporan polis, mereka perlu datang pada masa itu. Tapi masalahnya, tiada pun polis dipanggil dan alih-alih saya masuk ke dalam ISA.
Jadi, susulan kes itu saya lawan lebih sembilan tahun dan barulah menang. Ini antara cabaran hebat yang saya hadapi sepanjang dalam politik.
AGAK `LOST TOUCH’
Pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Industri Utama. Apakah jangkaan dan fokus yang perlu diberi perhatian terutama bagi menarik lebih banyak pelabur asing pada tahun ini?
Saya mesti akui saya agak lost touch (tidak berhubung) dengan kementerian. Namun begitu, saya pernah libatkan diri sebagai pembuat dasar dalam kementerian ini dan menjadikan industri sawit kita dihargai dunia. Saya berbangga.
Dengan pelantikan menteri baharu iaitu Datuk Seri Johari Abdul Ghani, saya percaya beliau akan lakukan yang terbaik kerana beliau seorang ahli korporat walaupun ia bukanlah kementerian berprofil tinggi, ia tetap penting .
Ini kerana kita ada lebih satu juta pengusaha dan mereka yang terlibat dalam industri sawit banyak termasuk Felda. Paling penting industri sawit berjaya membawa keluar ramai orang kampung daripada dibelenggu kemiskinan.
Sebab apa? Pertama, industri ini ada pelbagai manfaat dan keduanya, kita nak menggalakkan sektor perkilangan dalam masa sama. Sebab itu, kita perlu lebihkan kekuatan pada sektor ini selain sektor-sektor lain.
Itu belum cerita mengenai getah, koko, kayu-kayan dan kenaf. Jadi, sektor ini turut memainkan peranan dan berhubung kait dengan industri kecil atau sektor pertengahan lain.
Semua ini dalam masa sama perlu ikut piawai antarabangsa daripada segi aspek alam sekitar dan hak asasi manusia.
Selain itu, ia akan turut melibatkan cara bagaimana libat urus dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), penanaman dan pemprosesan kelapa sawit atau adakah ia melibatkan penebangan hutan bagi pembukaan ladang baharu. Jadi, ini semua dinilai di peringkat antarabangsa.
Sebab itu, apabila saya menjawat jawatan sebagai menteri, saya turun padang dan memberi fokus untuk mencapai standard Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Seluruh negara saya turun padang dan saya juga perkenalkan beberapa dasar baharu antaranya tidak menambah keluasan penanaman sawit bagi memastikan stok tidak berlebihan. Saya juga melaksanakan program biodiesel B20.
TAK KISAH DIEJEK
Bagaimana hubungan YB dengan pemimpin UMNO lain setakat ini ?
Saya kawan dengan semua orang. Walaupun mereka mengejek saya, saya tidak kisah dan sentiasa berkawan.
Bagi saya semua ini tiada masalah dan saya memang mesra dengan mereka. Lagipun dalam kalangan ahli Parlimen sekarang banyak yang cerdik pandai dan kita sudah berada dalam Kerajaan Perpaduan.
Kita bekerjasama. Mereka tidak serang kami dan begitu juga sebaliknya. Demi Malaysia kita semua perlu bekerja. Setakat ini, tiada apa-apa masalah dan tiada hal menyentuh peribadi. Cuma dengan Pas saya lihat mereka garang sangat (ketawa).
PILIHAN RAYA PBT
Adakah YB kecewa apabila Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyatakan pilihan raya PBT bukan keutamaan pada masa kini?
Saya fikir ini kali kedua dia cakap begini. Saya memang rasa kita digambarkan dengan satu perkara yang negatif berkenaan pilihan raya PBT.
Waktu dulu semasa menjadi exco, ini (pilihan raya PBT) antara yang saya tekankan, tapi ia ditolak oleh Pakatan Rakyat (PR) pada masa itu.
Saya terima fakta bahawa pilihan raya PBT ini ditentang kerana menimbulkan persepsi mengatakan orang Melayu terpinggir dan orang Cina mengawal bandar. Jadi, pada saya memang pilihan raya PBT ini tidak boleh diteruskan.
Tetapi pada tahun lepas, saya ada mencadangkan kita perlu mengadakan kumpulan ahli majlis bagi melancarkan tadbir urus Kuala Lumpur.
Mengapa? PBT di seluruh negara, mereka di bawah bidang kuasa Akta Kerajaan Tempatan 1976 manakala di Kuala Lumpur, ia di tadbir di bawah Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
Semua PBT ada ahli majlis di bawah lantikan politik. Tetapi di Kuala Lumpur, ada 11 ahli Parlimen tetapi tiada ahli majlis.
Selama ini, kita tahu memang ada Menteri Wilayah Persekutuan. Kadang-kadang mereka ini ada ‘projek’ tersendiri, tetapi kita tidak mahu (projek berkenaan diteruskan). Sebab itu, kita enggan dan tolak pelantikan menteri wilayah persekutuan ini kerana ia menggunakan bidang kuasa untuk luluskan projek tanpa mendengar pandangan wakil rakyat.
Tambahan pula dulu Kuala Lumpur di bawah pembangkang dan apa yang kita bangkitkan tidak diambil serius oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sebab itu, kita mahu diadakan ahli majlis.
Kita boleh ubah Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 yang mana ahli Parlimen ada hak untuk mencadangkan dua orang yang dia percaya jadi ahli majlis dan dapat membuat atau mempengaruhi keputusan serta penggubalan dasar.
Jadi, saya fikir selepas tiga bulan pelantikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa, kita perlu settle down (selesaikan) dengan mengadakan perbincangan dengannya. Cuma beliau setakat ini tiada masa lagi.
ISU NGEH KOO HAM
Komen YB berkenaan isu 3R yang disentuh beberapa pemimpin DAP sebelum ini?
Ngeh Koo Ham sudah buat permohonan maaf. Kadang-kadang ia (kenyataan yang dikeluarkan) bergantung kepada cara mana kita tulis, siapa yang keluarkan kenyataan berkenaan.
Saya fikir mungkin maksud Ngeh Ko Ham itu lain, terutama dengan kedudukannya sebagai seorang peguam dan mahu meletakkan wakil Majlis Peguam dalam Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI). Mungkin kalau ia dikeluarkan dan dibangkit dengan cara lain, ia tidak menjadi kontroversi.
MCA SESAT?
Bagaimana YB melihat hubungan DAP dan MCA yang dalam Kerajaan Perpaduan?
Awak melihat MCA lebih keraskan? Saya rasa mereka agak sesat. Cuba lihat Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Dia hanya ‘tengok’ pada Setiausaha Agung MCA, Anthony Loke dan seringkali mengkritik secara terbuka kepada Anthony, walhal MCA dua ahli Parlimen sahaja,
Kalau daripada segi hubungan, saya sentiasa terbuka dan mesra dengan sesiapa sahaja walaupun ada yang sombong satu ketika dahulu, ketika mereka menjadi kerajaan. Lagipun, saya backbenchers dan ada di Parlimen dari pagi sampai malam.
Cuma satu yang saya kesalkan. Saya pernah berada dalam Jawatankuasa Khas Pilihan Kewangan dan Ekonomi yang dipimpin Datuk Indera Mohd. Shahar Abdullah.
Beliau seorang yang rajin dan setiap bulan akan panggil mesyuarat dua atau tiga kali. Tetapi masalahnya ada sebahagian yang ponteng dan seringkali tidak hadir, walhal banyak bijak pandai di situ. Ini yang saya cukup kesalkan.
KENAPA KETAWAKAN PULA?
Adakah kempen minum minyak sawit sebagaimana YB katakan sebelum ini perlu diteruskan?
Ya. Sudah tentu. Awak pernah tengok orang minum minyak kelapa? Mengapa tidak ada yang bertanya? Begitu juga dengan minyak sawit.
Untuk pengetahuan awak minyak kelapa sawit ini setanding atau lebih banyak khasiatnya daripada minyak zaitun. Kita orang Malaysia cakap sayangi dan mahu gunakan produk tempatan sepatutnya sokong, tapi selama ini mengapa tiada promosi pun?
Banyak orang ketawa pada saya walhal ia minyak yang berkhasiat. Malah, Datuk Seri Fadillah Yusof ada sebutkan tentang perkara ini dalam Dewan Rakyat.
Sebelum ini, kami memang bercadang mahu buat kajian dan kalau boleh kita hendak melibatkan universiti sama ada dari Eropah atau China bagi membuktikan khasiat minyak sawit yang mampu mengelakkan penyakit parkinson dan baik untuk otak serta jantung.
Mampukah Malaysia mengawal harga getah?
Kita menghadapi satu masalah iaitu untuk memperluaskan penggunaan getah. Saya masih ingat lagi sewaktu menjadi menteri, kita cuba usahakan agar getah dapat digantikan dengan tar.
Tetapi masalahnya ia mahal. Jadi, kita perlu cari jalan untuk memastikan agar lebih banyak produk daripada getah dapat dihasilkan dan dalam masa sama harga boleh stabil. Sebagai contoh, Mengapa saya boleh berkempen untuk biodiesel B20? Kerana produk itu orang boleh pakai. Jadi, kita perlu cari jalan memastikan harga getah stabil.- Mingguan Malaysia










