Pemusnahan Gaza dalam perangkap teknologi AI

Pemusnahan Gaza dalam perangkap teknologi AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA yang menghadapi serangan membabi buta bertubi-tubi mula melangkah ke bulan ketiga angkara sekumpulan penjajah sejak berabad-abad lama. Tujuan asal tidak lain untuk mengusir penduduk tempatan yang telah lama bermastautin serta membina cara hidup mereka atas budaya tersendiri. Ia taktik jahat amalan para penjajah sejak dahulu kala di hampir semua benua sejagat.

Di sekitar Nusantara misalnya, Pulau Pinang dan Singapura menjadi sasaran utama. Terus dinamakan semula sebagai Penang dan Singapore dengan Francis Light serta Stamford Raffles diberi penghormatan sebagai ‘pembuka’ wilayah tersebut.

Kemudian dijadikan jajahan Inggeris bernaung di bawah raja serta ratu Inggeris, bukan lagi kedaulatan tempatan sehinggalah hari ini.

Singapura seolah-olah seekor singa hilang taring bertukar menjadi sebuah republik. Sekali gus, bertukar juga wajah dan sejarah intim kepada adunan penjajahan, mahu atau tidak mahu, dipaksakan juga. Lantas kearifan tempatan terabai terus.

Hikmah lama terbatal jua. Bilangan penduduknya turut merosot didatangi oleh kelompok asing pilihan penjajahan atas muslihat tersendiri.

Kini kekal, walaupun kelibat penjajah sudah tidak ada sama sekali. Derita tidak akan padam sama sekali. Tempatnya diambil tali barut yang bangga menyelia segala-galanya tanpa gusar!

Maka Gaza terus merana tiada berkesudahannya. Dianggarkan 1.9 juta penduduk Gaza diarah keluar dari kediaman masing-masing bagi mencari perlindungan yang tidak pun dijamin selamat. Itu pun kalau sempat berhijrah di bawah bedilan senjata tanpa henti dari udara apa lagi bumi! Tujuan tidak lain daripada pengusiran besar-besaran.

Diancam pelbagai peralatan terkini, berpuluh-puluh bilion nilainya. Sedangkan bahan makanan tidak terbeli. Aneh sekali. Tidak hairanlah lebih 17,000 orang terbunuh dalam tempoh dua bulan pertama sahaja. Antaranya wanita dan kanak-kanak yang banyak terkorban tanpa berdosa. Memang sengaja, dalam rangka pembunuhan beramai-ramai tidak ubah pengalaman lama di bawah tentera Nazi Jerman tidak berhati perut.

Sekarang giliran mereka pula menjadi durjana gila-gila. Penduduk Gaza menjadi sasarannya tidak berpada. Hospital, sekolah, tempat awam semuanya dianggap sasaran sah sehingga ada yang menghitung bilangan bom dan bahan letupan diletupkan. Hanya pada bulan pertama, bilangannya dikatakan melebihi apa yang termusnah oleh sebutir bom atom di Hiroshima pada 6 Ogos 1945.

Dalam pada itu, terdapat juga suara sumbang menyarankan bom yang sama digugurkan sahaja di Gaza untuk mengakhiri segala sengketa. Seakan-akan menampakkan kegilaan yang tidak lagi dapat dibendung terhadap penghapusan penempatan Gaza di muka bumi ini. Bukan sebaliknya seperti sering didakwa oleh pihak musuh. Sebab itu para ibu dan anak-anak kecil dihapuskan sewenang-wenang tanpa banyak bicara.

Ini belum lagi mengambil kira faktor teknologi tinggi yang berbisa. Membunuh siapa sahaja. Wanita, kanak-kanak, warga tua – tidak kira! Amerika Syarikat merupakan dalang pembekal peralatan pembunuhan utama bagi semua. Negara juara demokrasi ini kononnya peka untuk keadilan bagi semua. Namun, membantu pembunuhan beramai-ramai bak datuk nenek moyangnya lakukan berdekad-dekad pada penduduk tempatan di benua Amerika Utara.

Merampas tanah pusaka sekelip mata, lalu menghalau sesiapa dari tanah yang didiami zaman berzaman. Kalau tidak dibunuh, bagaikan nyawa haiwan tidak berharga. Gaza hanyalah satu adegan ulangan berteknologi tinggi tanpa kehadiran diri penjajah ngeri yang takut mati!

Lantas kecerdasan buatan (AI) menjadi perantaraan setia di hujung jari. Pembunuh lebih selesa kini kerana tidak melibatkan perasaan jati. Semuanya jarak jauh nun di sana. Lebih tidak berperikemanusiaan, bak hantu raya merasuk tanpa bertuan. Merayau sesuka hati berpaksi algoritma teknologi sifar naluri insani. Kontang, tidak tersentuh sifat Ilahi berfungsi petunjuk manusiawi tanpa roh. Apatah lagi tatkala sudah rabun jiwa, hati dan akal tidak berbudi!

Dalam sengketa ini, AI menjadi strategi terpuji kerana meragut nyawa sesiapa sahaja sekali gus tanpa soal jawab lagi! Ratusan ribuan tersasar berpaksi teknologi muflis roh insani. Tidak hairanlah oleh itu terbaharu ini, AI terus menyerlah bagi musuh bermati-matian mengganyang Gaza habis-habisan. Memang lagi teknologi, mengatasi manusia dalam kerangka digitalisasi tanpa serambi.

Kata laporan terkini Al-Jazeera melalui laporan berjudul The Gospel, AI terkini sedang digembleng menjahanamkan Gaza. Sistem terbaharu kali ini mampu menyediakan sasaran untuk dipunahkan dengan lebih pantas, melonggarkan lagi keupayaan membunuh rakyat yang melata. Pokoknya, pembunuhan beramai-ramai perlu dipacu kerana inilah matlamat mutakhir keganasan disokong penuh negara sekutu Israel yang turut serta dalam menzahirkan niat jahat supaya dosa mereka terampun di mata dunia.

Mereka sudah hilang akal untuk menundukkan semangat wira rakyat Gaza. Dari segi emosi bertambah kental ekoran setiap peperangan tercetus. Namun, secanggih mana sekali perangkap AI, canggih lagi kecerdasan semula jadi terhadap Ilahi beradab mensejahterakan seluruh hati jiwa berani. Berdoalah. Jangan henti! – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN