Usah ‘bunuh’ sesama sendiri nak kuasai pasaran halal

Usah ‘bunuh’ sesama sendiri nak kuasai pasaran halal

PASARAN halal di Malaysia dijangka mencecah nilai RM113.20 bilion menjelang 2030. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAIZ populasi Muslim kini mencapai 24.1 peratus (1.8 bilion orang) warga dunia. Senario ini memberi impak positif yang mengangkat dunia dan komuniti Islam sebagai potensi ekonomi kerana keadaan tersebut secara automatik mendorong peningkatan permintaan produk halal di pasaran global.

Saiz populasi Muslim konsisten tumbuh berkembang ini adalah peluang pasaran yang tidak mampu dinafikan komuniti perniagaan. Realiti ini mendorong mereka memfokuskan pelaburan pada ruang pasaran halal dengan memproduksi barangan bersih, suci dan halal toyyiban serta menawarkan perkhidmatan patuh syariah.

Ternyata komuniti perniagaan global kian optimis dan komited untuk memenuhi permintaan berdasarkan unjuran peningkatan jumlah pengguna halal seluruh dunia yang saiz perbelanjaan mereka mencecah AS$5 trilion pada 2030.
Bagi pasaran halal di rantau Asia, jumlah diunjurkan AS$2.8 trilion bagi tempoh sama. Seiring pasaran serantau dan global, pasaran di Malaysia dijangka turut menokok daripada RM68.40 bilion pada 2018 kepada RM113.20 bilion menjelang 2030, iaitu peningkatan RM44.8 bilion dalam masa tujuh tahun lagi.

Walaupun pasaran halal bersaiz mega terus pesat berkembang, bekalan produk halal yang memasuki pasaran global bernilai AS$3 trilion pada ketika ini hanya berlegar sekitar 20 peratus.

Untuk permintaan semasa dan akan datang, pasaran halal global masih memerlukan lebih banyak item kosmetik dan perapian badan, peranti perubatan, ubat-ubatan tradisional, makanan tambahan serta produk farmaseutikal.

Produk dan perkhidmatan halal asas yang mendapat permintaan tinggi tika ini adalah makanan dan minuman diproses, produk berasaskan daging, kosmetik dan perapian badan, ubat dan makanan tambahan, bahan rencah makanan dan barangan bukan makanan, perkakasan rumah serta logistik.

PEMAIN INDUSTRI

Ada beberapa negara yang dianggap pemain besar industri halal di pasaran dunia. Namun, tiada satu pun boleh mengatakan negaranya juara dan dominan kerana tiap satu memiliki kelebihan dalam soal membangunkan industri masing-masing.

Dalam situasi rancak di pasaran halal dan memerlukan bekalan yang banyak, kanibalisme antara pemain industri wajar dielakkan. Lebih baik masing-masing berharmoni untuk membuat pendekatan terbaik, iaitu menyertai usaha dan bekerjasama kerana pasaran halal adalah besar dan lebih daripada mencukupi untuk masing-masing meraih untung.

Dua pendekatan ini secara umumnya memerlukan pembabit di peringkat perniagaan (pelabur) dengan perniagaan dan kerajaan (agensi berkaitan) dengan kerajaan. Di peringkat sesama pelabur, ada beberapa perkara perlu dilakukan dan difahami.

Antaranya, jaringan dan rangkaian secara digital perlu dimajukan. Komuniti perniagaan perlu menghindari eksklusiviti dan dominasi tetapi bersikap inklusif dengan memberi peluang kepada syarikat yang belum memiliki pensijilan halal untuk berkecimpung dalam ekonomi halal dan pada masa sama berusaha mendapatkannya.

Komuniti perniagaan perlu memahami titik kawalan kritikal dalam rantaian bekalan produk halal. Contoh, taraf halal bukan terletak pada aktiviti pengilangan dan restoran semata-mata. Halal adalah pematuhan syariah dalam keseluruhan rantaian proses produksi atau perkhidmatan.

Jika di sektor pertanian, seluruh proses menyediakan benih sehingga hasil yang dihidangkan dalam pinggan pengguna mesti bersih, suci dan patuh syariah. Begitu juga dalam pengeluaran bahan mentah, penggudangan, pengurusan makmal dan dapur perlu patuh syariah supaya status halal itu laku atau sah.

Di peringkat kerajaan dengan kerajaan pula perlu ada lebih banyak pengiktirafan bersama dan berharmoni terhadap proses persijilan halal. Industri perlu jujur dan bertanggungjawab kepada pengguna tanpa mengeksploitasi logo atau persijilan halal yang dimiliki.

Sijil dan logo halal juga tidak wajar dijadikan halangan bukan tarif kerana ia satu tindakan protectism yang tidak wajar dengan andaian hendak melindungi industri tempatan masing masing, walhal masih ramai konsumer Muslim yang tidak mempunyai akses sempurna kepada produk dan perkhidmatan halal.

Mana-mana kerajaan juga perlu memberi fokus kepada peningkatan nilai dagangan, pelaburan dan penciptaan peluang pekerjaan berkualiti.

HDC, JAKIM JADI TERAS

Dalam konteks ini, Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) boleh memainkan peranan sebagai badan pakar yang sedia berkongsi atau memindahkan model ekosistem halal kepada mana-mana pemain industri global dan kerajaan masing-masing. Ini kerana kita perlu memastikan rantaian nilai yang halal dan berasaskan syariah sepenuhnya perlu ada dalam ekosistem halal global.

Sebagai perintis persijilan dan industri halal, Malaysia konsisten untuk memperkasakan pembangunan kedua-dua perkara itu. Justeru, perlu ada institusi atau entiti bagi menjayakan persepakatan usaha dan kerjasama sesama industri mahupun antara kerajaan seperti dedikasi kerajaan.

Model ekosistem halal Malaysia yang dibina sejak 1974 berjaya kerana adanya agensi khusus iaitu HDC yang menjaga hal ehwal pembangunan industri halal manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengurus hal ehwal pembangunan tadbir urus halal.

Agensi khusus seperti HDC dan JAKIM penting bagi menyelaras agenda halal di negara masing-masing. Ini kerana halal bukan satu industri tetapi tawaran nilai yang dituntut pengguna merentas banyak industri. Tanpa dua agensi teras dan penyelaras ini, agenda halal tidak dapat digerakkan secara berkesan sekali gus membantutkan keupayaan industri domestik memenuhi permintaan pengguna halal global.

Progres dan pembangunan agenda halal di Malaysia sejak 50 tahun lalu juga dapat dibuktikan. Antaranya ada lebih 200,000 pemain industri halal didukung 360 organisasi menerusi pelbagai program dan intervensi termasuk menerusi HDC dan JAKIM.

Dalam skop lebih luas, sijil atau logo halal semata-mata yang mereka miliki tidak mencukupi kerana industri perlu bertanggungjawab menghasilkan produk berkualiti dan mencukupi untuk pengguna halal global. Pada 2017, nilai eksport halal negara adalah RM43.30 bilion dan menokok kepada RM59.50 bilion tahun lalu. Kebanyakan eksport ke China, Jepun, Amerika Syarikat, Singapura dan Indonesia merangkumi makanan dan bahan diproses.

Inilah bukti ekosistem yang diperkukuhkan kedua-dua agensi itu telah membantu meningkatkan eksport halal Malaysia secara kumulatif lima peratus setahun. – UTUSAN

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Halal (HDC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×