Pendirian Anwar sertai AELM memanfaatkan negara

Pendirian Anwar sertai AELM memanfaatkan negara

ANWAR Ibrahim semasa Sesi Kedua Pemukiman Pemimpin EKonomi APEC di Msocone Centre, San Francisco, Amerika Syarikat membangkitkan mengenai prinsip keadilan dan hak asasi manusia, isu perdagangan global, pertumbuhan ekonomi dan keperluan semua negara mendesak gencatan senjata di Gaza di hadapan Joe Biden. – FB ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINGGU Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-30 yang bertemakan Mewujudkan Ketahanan dan Masa Depan Mampan untuk Semua di San Francisco, California, Amerika Syarikat (AS), dari 14 hingga 17 November telah berlalu.

Sebelum berlangsungnya AELM ini, beberapa pemimpin pembangkang telah membuat desakan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memboikot sidang AELM. Antara yang lantang bersuara ialah Ahli Parlimen Machang, Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang juga merupakan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pada 26 Oktober, Wan Ahmad Fayshal menyatakan AELM patut diboikot sebagai sokongan kepada Palestin dan bantahan keras terhadap Amerika Syarikat yang menyokong pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh rejim Israel.

Turut bersuara ialah Ahli Parlimen Kubang Kerian yang juga Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam Himpunan Solidariti Palestin di Tempoyang, Lipis, pada 29 Oktober lalu, yang menggesa rakyat bangkit mendesak Anwar memboikot sidang AELM bagi membantah pendirian AS dalam isu Palestin.

Pada 31 Oktober, Wan Ahmad Fayshal bertanya Anwar pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat apakah Malaysia akan memboikot sidang AELM ini dan jawapan yang diberikan Anwar ialah beliau sedang berhubung dengan negara-negara Asia Pasifik lain untuk mengetahui pendirian mereka dan kita akan mengambil keputusan selaras dengan pendirian rakan-rakan negara Asia Pasifik lain.

Setelah berbincang dengan negara-negara Asia lain, didapati bahawa semua anggota APEC akan hadir ke sidang AELM menyebabkan Malaysia juga memutuskan untuk hadir demi menjaga kepentingan negara, khususnya dari sudut keselamatan dan ekonomi, walaupun pada masa yang sama kehadiran ini tidak menjejaskan sokongan Malaysia ke atas isu Palestin.

Pada akhirnya, pertimbangan rasional Anwar untuk menghadiri sidang AELM ini membuahkan hasil yang besar kepada Malaysia berbanding jika menuruti cadangan pembangkang yang lebih didasarkan sentimen kemarahan kepada AS tetapi sebenarnya tidak memberi banyak impak bila hanya Malaysia sahaja yang berbuat demikian.

Sebaliknya, melalui penyertaan di dalam sidang AELM ini, Malaysia dapat menyuarakan pendiriannya mengenai isu Palestin dengan lebih tegas lagi. Ini antara lainnya dilakukan melalui syarahan umum Anwar di University of California di Berkeley bertajuk Superpower Rivalry and Rising Tensions in the Asia-Pacific-The View from Southeast Asia dalam mana Anwar menyatakan kutukan Malaysia ke atas apa yang dilakukan oleh Israel di Palestin sambil menegaskan bahawa penyokong Palestin bukanlah penyokong pengganas.

Lebih penting lagi, Anwar dapat mendesak secara bersemuka dengan Presiden AS, Joe Biden, dalam sidang AELM ini. Sedang tular sekarang video desakan Anwar kepada Biden supaya AS menghentikan kekejaman yang menimpa rakyat Palestin sekarang juga dan supaya dimasukkan ke dalam deklarasi atau kenyataan APEC mengenai kedua-dua isu Ukraine dan Palestin supaya tidak wujud dwi-standard di dalamnya.

Kenyataan keras Malaysia, Indonesia dan Brunei dalam isu Palestin menyebabkan usaha untuk hanya memasukkan isu Ukraine ke dalam deklarasi Gerbang Emas Pemimpin APEC 2023 (2023 APEC Leaders’ Golden Gate Declaration) tidak berjaya sebaliknya mesyuarat memutuskan untuk deklarasi itu hanya memasukkan soal ekonomi dan soal geopolitik dinyatakan dalam kenyataan Pengerusi.

Bila kenyataan Pengerusi APEC menekankan mengenai isu Ukraine dan hanya menyebut negara-negara ahli APEC berkongsi pandangan tanpa menyatakan apa-apa pendirian rasmi mengenai krisis di Palestin, Malaysia, Indonesia dan Brunei mengambil langkah berani mengeluarkan kenyataan bersama secara berasingan.

Antara lainnya, kenyataan bersama ini mendesak supaya satu penyelesaian aman dapat dibuat ke atas konflik Palestin-Israel dengan berpandukan resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa.

MANFAAT
Selain menyatakan pendirian keras mengenai isu Palestin, Malaysia juga meraih pelaburan sebanyak lebih RM63 bilion dari kunjungan Anwar ke AS. Sebanyak lebih RM8.3 bilion adalah daripada misi perdagangan dan pelaburan ke AS membabitkan syarikat-syarikat seperti Abbott Laboratories, Mondelez International, Amsted Rail, Hematogenix, PerkinElmer, Ford Motor Company, Boeing, Amazon Web Services, Enovix dan Lam Research. Pelaburan selebihnya adalah dari pertemuan satu dengan satu Anwar bersama pihak pengurusan tertinggi syarikat-syarikat teknologi terkemuka dunia seperti Microsoft, Google, Enovix, TikTok dan TPG.

Malah, Anwar juga bertemu dengan ahli perniagaan dan pakar teknologi dalam kalangan masyarakat Islam yang berpusat di San Francisco seperti dari SpaceX, Rembrand, Ornovi, Z2Data, dan Whizz System yang menyatakan minat untuk melabur di Malaysia serta menyatakan dukungan dan penghargaan atas pendirian keras Malaysia mengenai penderitaan warga Palestin.

Suara Malaysia juga turut didengari hasil dari penyertaan delegasi Malaysia ke Dialog Tidak Rasmi Pemimpin Ekonomi APEC bersama Tetamu, iaitu pemimpin Colombia, Fiji dan India; Dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) dengan Pemimpin Ekonomi APEC; dan Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC 2023.

Malaysia juga mendapat manfaat lain melalui mesyuarat dua hala rasmi Anwar dengan Vietnam, Peru dan Kanada di mana banyak isu penting dibincangkan. Selanjutnya, Anwar juga menyantuni diaspora serta pelajar Malaysia yang berada di San Francisco dalam majlis makan malam.-UTUSAN

DR. Mashitah Mohd. Udin adalah Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×