SEUMPAMA Putrajaya, Petra Jaya yang dikenali sebagai pusat pentadbiran kerajaan Sarawak tidak lagi asing sebagai tonggak kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang ditubuhkan pada 2018.
Dari segi fizikal jika Putrajaya mempunyai Jambatan Seri Saujana yang mempunyai reka bentuk unik dengan kabel penahan, binaan Jambatan Bintangor di Satok, Petra Jaya yang sedang dalam pembinaan juga mempunyai reka bentuk hampir serupa.
Petra Jaya juga boleh disifatkan sebagai tonggak GPS, selepas Ahli Parlimen di situ dari gabungan berkenaan, Datuk Seri Fadillah Yusof buat julung kali dilantik menjadi wakil Borneo sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 3 Disember 2022.
Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mula bergelar wakil rakyat setelah menjadi calon Barisan Nasional (BN)/PBB dan menang kerusi Parlimen Petra Jaya dengan majoriti 12,816 undi ketika Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU11) pada 2004.
Kerusi itu sebelumnya disandang oleh bekas Menteri Pendidikan dari PBB, Allahyarham Tan Sri Sulaiman Daud. Fadillah terbukti disayangi penduduk setempat apabila dapat mengekalkan kerusi sama selama lima penggal berturut-turut termasuk PRU12 (2008), PRU13 (2013) dan PRU14 (2018). Pada PRU15, Ketua Whip GPS di Dewan Rakyat itu kekal mempertahankan kerusi Petra Jaya dengan majoriti cukup besar iaitu 41,363 undi.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Presiden GPS dan PBB juga tidak asing di kawasan itu kerana pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok yang terletak dalam Parlimen Petra Jaya selama 40 tahun atau sembilan penggal dari 1981 hingga 2021.
Petra Jaya yang mempunyai 86.9 peratus penduduk bumiputera memiliki tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya iaitu Satok, Tupong dan Samariang. Ia adalah kubu kuat GPS kerana telah dimenangi oleh PBB iaitu parti terbesar dan terkuat dalam gabungan itu sejak dahulu lagi.
Tiga lagi parti yang berada dalam gabungan itu ialah Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Dengan rekod baik Abang Johari dan Fadillah terutama dalam memastikan Kerajaan Persekutuan melaksanakan segala yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), ia akan mengangkat GPS sebagai gabungan ulung untuk menerajui Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13) akan datang. PRN12 telah diadakan pada 18 Disember 2021.
Manifesto yang diperjuangkan GPS dilihat menjadi salah satu daya penarik yang membawa kepada kejayaan mereka dalam PRN12. Slogan Sarawak First yang dibawa GPS ternyata memberi keyakinan kepada rakyat bahawa keperluan dan kepentingan mereka akan didahulukan.
Pada Pilihan Raya Kecil DUN Jepak pada 4 November ini, calon GPS dijangka tidak menghadapi masalah untuk mempertahan kerusi tradisi yang diwarisi selama enam penggal sejak 1996.
PRK DUN Jepak menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Iskandar Turkee dari GPS, Chieng Lea Phing dari Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) dan Stevensen Joseph Sumbang mewakili Parti Bumi Kenyalang (PBK).
IKONIK
Dalam pada itu, berlaku kemajuan pembangunan sosioekonomi di Petra Jaya. Bangunan DUN Sarawak yang baharu antara salah satu mercu tanda kebanggaan di bandar raya ini, dengan beberapa bangunan pentadbiran lain yang masih mengekalkan struktur bangunan yang asal menjadikan ia bangunan ikonik ini dikunjungi pelancong tempatan mahupun luar negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Faizin Zainudin, 38, mengakui sendiri pembangunan amat ketara secara fizikal terhadap penduduk di kawasan perumahan yang didiaminya sejak 20 tahun yang lalu.
“Kawasan perumahan yang saya diami di Taman Perupok, Kampung Gita ini jelas memberikan manfaat kepada kami. Pusat penjaja yang berdekatan dan beberapa pusat komersial beli-belah juga dibina membuktikan kawasan ini mempunyai populasi yang semakin banyak.
“Malah, beberapa jalan raya yang dinaik taraf dan bersih juga memberi keselesaan kepada kami penduduk setempat sekali gus memberi jaminan penggunaan yang selamat,” katanya.
Malah di Petra Jaya juga terletaknya majlis berkuasa tempatan yang menguruskan semua hal ehwal wilayah persempadanan Kuching Utara yang dikenali sebagai Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang tersergam indah di atas Bukit Siol, Semariang.
Melalui kawasan Petra Jaya ini juga mana-mana pelancong boleh dihubungkan dengan pusat-pusat peranginan seperti Santubong, Pasir Pandak, Telaga Air dan yang harus dikunjungi untuk menyelami budaya negeri ini ialah Kampung Budaya Sarawak.
Pada masa sama, sebut saja Petra Jaya, perahu tambang menelusuri perkampungan masyarakat Melayu di tebingan Sungai Sarawak antara keunikan pengangkutan yang sama seperti beca di Melaka.
Perkhidmatan perahu tambang ini menjadi tarikan buat pelancong untuk ke Kampung Gersik bagi merasai sendiri perkampungan Melayu Sarawak yang menghasilkan pelbagai aneka kek lapis Sarawak dan ikan terubuk untuk dijual.
Berdasarkan rekod laman sesawang DBKU, Petra Jaya setakat tahun 2023 mempunyai seramai 245,932 jumlah penduduk dengan 13,910 hartanah dimiliki individu, berbanding tahun 1998 ketika ditubuhkan hanya merekodkan sejumlah 85,721 penduduk.
Justeru, pembangunan yang mampan di kawasan Petra Jaya dengan kemudahan infrastrukturnya serta berdirinya kawasan perumahan-perumahan yang teratur telah menggantikan beberapa kawasan penempatan tradisional Melayu seperti Demak, Semariang, Matang dan lain-lain.
Jalinan jalan raya yang bertali arus dan moden juga menjadikan kawasan Petra Jaya boleh dihubungi secara terus dengan kawasan-kawasan perindustrian seperti kawasan perindustrian Demak Laut dan hubungan dari Lebuh Raya Pan Borneo di Telok Melano. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Sarawak.











