NEW YORK: Lapan orang termasuk dua kanak-kanak maut selepas sebuah bangunan kediaman tiga tingkat runtuh di Brooklyn, New York, pada Rabu, manakala lebih sedozen lagi cedera dalam kejadian itu.
Pihak berkuasa mengesahkan angka korban terbaharu itu semalam selepas anggota bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat sepanjang malam bagi mengesan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.
Bangunan itu runtuh ke kawasan tapak penggalian bersebelahan ketika pekerja pembinaan sedang melakukan kerja penyediaan asas bagi projek pembangunan baharu.
Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani, menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi besar yang menyelubungi bandar raya berkenaan.
“Ini merupakan pagi dan malam yang amat menyedihkan bagi bandar raya kami,” katanya ketika mengumumkan angka korban terbaharu.
Antara mangsa yang terkorban ialah warga Ecuador, Gabriel Siguencia, 22, yang bekerja lebih masa di tapak pembinaan ketika bangunan itu runtuh.
Kakak tirinya, Kayla Chimborazo, 20, berkata keluarga mereka berusaha mencari Gabriel di beberapa hospital sebelum menerima berita kematiannya.
“Kami pergi dari satu hospital ke hospital lain untuk mencarinya sambil menunjukkan gambarnya, namun tiada siapa mengetahui apa-apa sehinggalah kami diberitahu bahawa dia sudah meninggal dunia,” katanya kepada AFP.
Menurutnya, Gabriel datang ke New York untuk bekerja bagi menyara keluarganya di Ecuador.
“Dia seorang yang sangat baik,” katanya sambil memaklumkan mangsa meninggalkan seorang isteri dan anak lelaki.
Menurut laporan The New York Times, mangsa termuda dalam kejadian itu berusia sembilan tahun, manakala mangsa yang terkorban terdiri daripada warga Ecuador, Guatemala dan Guinea.
Jabatan Bomba New York pada petang Khamis mengesahkan tiada lagi mangsa ditemukan di lokasi kejadian selepas pasukan penyelamat menjalankan operasi pencarian selama beberapa jam menggunakan dron dan unit anjing pengesan.
Pihak berkuasa berkata punca kejadian masih belum dikenal pasti.
Bangunan tiga tingkat yang dibina pada 1930 itu menempatkan empat unit kediaman dan sebuah premis perniagaan di tingkat bawah sebelum runtuh ke kawasan tapak penggalian berhampiran.
Sebuah bangunan bersebelahan turut mengalami kerosakan teruk apabila sebahagian dindingnya runtuh sehingga mendedahkan ruang tangga, bilik tidur dan almari pakaian.











