MELAKA: Empat buruh binaan warga asing berjaya menyelamatkan diri apabila sebuah rumah kedai dua tingkat yang sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuaian di Jalan Kota Laksamana 1/3, Taman Kota Laksamana di sini, runtuh petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan tetapi runtuhan bangunan menghempap dua kenderaan diparkir iaitu sebuah Toyota Vios dan Proton Iriz.
Kejadian itu turut menggemparkan orang ramai dan peniaga sekitar yang menyaksikan struktur bangunan runtuh secara tiba-tiba.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Mohd. Zaidi Ma’at berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah bersama tujuh anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pasukan tiba di lokasi kira-kira pukul 5.06 petang dan mendapati sebuah rumah kedai jenis kekal dua tingkat berukuran 30 kali 80 kaki persegi yang sedang dalam proses pengubahsuaian telah runtuh sepenuhnya.
“Sejurus tiba, pasukan bomba menjalankan penilaian awal bagi mengenal pasti tahap risiko sebelum operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan bagi memastikan tiada mangsa terperangkap di bawah timbunan runtuhan.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada mangsa ditemui di bawah runtuhan. Pengesahan daripada saksi kejadian dan pemilik premis turut mengesahkan kesemua empat pekerja yang berada di bangunan itu berjaya keluar dengan selamat sebelum struktur tersebut runtuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Zaidi berkata, empat pekerja terlibat terdiri daripada tiga lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an dan seorang lelaki Rohingya berusia lingkungan 40-an.
Beliau berkata, operasi mencari diteruskan bagi memastikan tiada individu lain berada dalam bangunan ketika kejadian memandangkan struktur runtuhan melibatkan keseluruhan bahagian premis yang sedang diubah suai.
“Selepas pemeriksaan menyeluruh dilakukan, pasukan bomba mengesahkan tiada mangsa terperangkap dan lokasi kejadian didapati selamat serta tidak lagi mendatangkan risiko kepada orang awam,” katanya.
Punca runtuhan masih dalam siasatan manakala pemeriksaan lanjut terhadap tahap keselamatan struktur akan dilakukan oleh agensi teknikal berkaitan. – UTUSAN









