Bolehkah pelaburan Musk ‘selamatkan’ kerajaan perpaduan?

Bolehkah pelaburan Musk ‘selamatkan’ kerajaan perpaduan?

KERAJAAN perlu menunggu dengan sabar selama enam tahun sehinggalah Elon Musk yang hampir bankrap menunaikan janjinya untuk melancarkan satelit RazakSAT ke orbit bumi pada 2009.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERDAPAT komen positif dan negatif diberikan pelbagai pihak apabila syarikat pengeluar kenderaan elektrik (EV), Tesla Inc. dari Amerika Syarikat (AS) memutuskan untuk membuka pejabat serantau di Malaysia, iaitu yang pertama di Asia Tenggara.

Saluran televisyen Singapura, Channel News Asia (CNA) pada 11 Ogos lalu menyiarkan komen bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meraih kemenangan besar bagi menarik pelaburan langsung asing apabila berjaya meyakinkan orang terkaya di dunia, Elon Musk untuk memilih Malaysia sebagai pejabat serantau Tesla.

Dengan berbuat demikian, Anwar dikatakan menyampaikan mesej jelas kepada ahli perniagaan dan elit politik yang mendapat faedah daripada permit import (AP) dan dasar penyertaan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat asing bahawa masa ‘berbulan madu’ mereka telah tamat. Kedua-dua syarat itu tidak dikenakan terhadap Tesla.

Dalam pada itu, banyak pihak tidak berpuas hati. CNN Indonesia memaparkan tajuk berita Tesla pilih buka kantor cabang di Malaysia, Indonesia gigit jari.

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) sebelum ini cukup yakin Musk akan memilih republik itu setelah beliau menjadi orang terawal bertemu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla terbabit di ibu pejabat syarikat itu di Texas pada Mei 2022 berbanding Anwar yang baru-baru ini sahaja berhubung dengan Musk menerusi sidang video dan panggilan telefon.

Jokowi membuat tawaran cukup menarik termasuk konsesi melombong nikel di negara itu yang merupakan logam utama dalam pembuatan bateri EV.

Menurut sumber dalaman Tesla yang dipetik agensi berita asing, syarikat itu memilih Malaysia kerana mempunyai tenaga kerja lebih terlatih dan celik teknologi serta tidak mengenakan syarat ketat perlunya penyertaan syarikat dan komponen tempatan.

Bagaimanapun, Indonesia masih tidak menyerah kalah dan berharap Tesla membuka kilang pemasangan EV di republik itu selepas AS, Jerman dan China memandangkan Malaysia hanya dijadikan hab serantau bagi pengedaran EV yang dipasang di Shanghai.

Walaupun ada pihak melihat ‘keistimewaan’ diberikan kerajaan kepada Tesla dari sudut negatif, kerjasama erat dengan Musk amat membantu mengubah sistem ekonomi Malaysia supaya menjadi negara yang mempunyai ramai rakyat berpendapatan tinggi.

Bagi sesetengah pihak, Musk, 52, yang berasal dari Pretoria, Afrika Selatan ialah ‘jelmaan semula’ penemu arus elektrik ulang-alik (AC) berketurunan Serbia, Nikola Tesla (1856-1943) yang sarat dengan idea-idea di luar kotak tetapi tiada siapa sanggup mengeluarkan modal yang banyak untuk membiayainya. Wang bukan lagi masalah kepada Musk sekarang.

Saya bersangka baik kepada Musk memandangkan hubungannya dengan Malaysia cukup lama sejak penghujung 2003 kerana syarikat milik kerajaan, Astronautics Technology (M) Sdn. Bhd. (ATSB) telah menyokong syarikat miliknya, Space Exploration Technologies Corp. (SpaceX) untuk melancarkan RazakSAT, satelit komersial pertama berjaya dilancarkan roket Falcon 1 milik syarikat kecil itu pada 2009.

KEJAYAAN

Kejayaan berkenaan adalah pada pelancaran kali kelima setelah pelancaran roket sebelum itu mengalami kegagalan sehingga Musk hampir diisytihar bankrap. Kisah itu diceritakan bekas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ATSB, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad dalam Facebook beliau pada 15 Julai lalu, sehari selepas Anwar mengadakan sidang video dengan Musk.

Ahmad Sabirin juga memuat naik dua keping gambar, iaitu pertama, beliau bersama Musk di ibu pejabat SpaceX di California, AS, kira-kira 19 tahun lalu dan sekeping lagi gambar roket Falcon 1 yang membawa satelit RazakSAT di tapak pelancaran di Kwajalein Atoll, Kepulauan Marshall, Lautan Pasifik pada 2009.

Menurutnya, jurutera Malaysia turut mereka bentuk komponen untuk roket Falcon 1 dinamakan Small Payload Adapter and Separation System, iaitu komponen kritikal bagi mengikat satelit pada roket.

Tulis Ahmad Sabirin, “Terdapat beberapa kegagalan sebelum pelancaran kami kerana ia adalah roket pertama pernah dibangunkan oleh SpaceX yang dimiliki oleh Musk.

“Walaupun mengalami kegagalan, kami tidak meninggalkan SpaceX. Kejayaan pelancaran itu juga membantu membuka jalan kepada pembangunan Falcon 9 yang kini merupakan kenderaan pelancar paling berjaya di dunia.”

Saya juga bersetuju dengan nasihat Ahmad Sabirin bahawa mungkin sudah tiba masanya Malaysia mewujudkan semula kerjasama dalam pelbagai bidang teknologi seperti satelit Starlink (yang direka bentuk oleh anak syarikat SpaceX, iaitu Swarm Technologies Inc.) dan Tesla serta mengembangkan ekonomi kita ke peringkat seterusnya.

Mungkin sudah sampai masanya kita melatih lebih ramai tenaga kerja untuk terlibat dalam teknologi baharu dipelopori Musk. Antaranya, bidang kecerdasan buatan melalui syarikat AI Corp., pengorekan terowong (The Boring Company), media sosial (X Corp.) dan sistem komputer yang berhubung dengan otak (Neuralink Corp.)

Berusaha mendapat sebanyak mungkin manfaat hasil kerjasama dengan Musk adalah cara terbaik kerajaan perpaduan memenangi hati pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti setelah berlaku peningkatan sokongan kaum itu kepada Perikatan Nasional (PN) dalam enam pilihan negeri (PRN) sebelum ini.

Kerajaan perpaduan juga harus memperhebatkan naratif pemberian AP dan syarat ekuiti 30 peratus bumiputera tidak berkesan kerana hanya menguntungkan kroni ahli politik dan bukan bumiputera.

Seperti disebut penganalisis yang juga Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian baru-baru ini, jika kerajaan perpaduan dapat mengatasi isu kelembapan ekonomi dan kesukaran hidup dalam tempoh empat tahun akan datang, maka perasaan tidak berpuas hati orang Melayu dan bumiputera akan berkurangan.

Isu peningkatan kos sara hidup mungkin hanya dapat diatasi secara kekal jika gaji pekerja khususnya bumiputera ditingkatkan melalui cara melatih mereka dengan kemahiran teknologi baharu yang menawarkan pendapatan lumayan seperti ditawarkan oleh syarikat-syarikat milik Musk. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN