INGAT pesanan orang bijaksana – jangan malu jadi orang berbangsa. Jangan malu jadi Melayu. Tidak perlu rasa segan bila bercakap tentang hala tuju dan masa depan bangsa sendiri.
Yang penting, tidak perlu apologetik dengan orang lain kerana ini tentang kita. Kalau bukan diri sendiri yang membela bangsa, hendak harapkan siapa lagi.
Namun jadi orang berbangsa, besar tanggungjawabnya. Bukan setakat pertahankan perjuangan, meluaskan legasi atau menyambung tradisi semata, tetapi diri sendiri terlebih dulu mesti bawa diri dan keluarga ke hadapan. Jadi contoh membina hidup berkualiti. Lepas itu baru membawa ke impak masyarakat Melayu.
Orang berbangsa yang bermaruah akan sentiasa melihat cerminan diri di mata masyarakat. Orang berbangsa yang progresif sentiasa tahu ufuk halatuju masing-masing.
‘MENTALITI JPA’
Sebab itu intelek, pemikir dan cendekiawan Melayu tidak harus terkongkong oleh ‘politik JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam)’. Kita amat mendambakan kelibat intelek dan cerdik pandai Melayu yang berani, lantang dan berterus terang menyuara dan memperjuangkan isu-isu berkepentingan Melayu aras tinggi. Kalau anda seorang pensyarah dan profesor, tidak seharusnya anda dikongkong oleh JPA dengan peraturan amnya. Anda harus bebas sebagai penjana ilmu, baru anda akan keluar dengan hujahan yang kritikal.
Maka dalam kalangan pensyarah mesti gugurkan ‘mentaliti JPA’ ini supaya mereka lebih utamakan pemikiran bernas dan berani menyatakan sesuatu mengikut keluhuran intelek dan latar belakang akademik masing-masing. Jika melontar kritikan pun berlandaskan fakta. Dikutip tidak sekadar rujukan, bahkan dijadikan dasar oleh kerajaan.
Sistem yang diwujudkan oleh perkhidmatan awam tidak harus dikenakan kepada orang-orang seperti hakim, profesor dan pensyarah demi mewujudkan peneluran idea lebih berani dan spontan terhadap kerajaan. Mungkin ada pihak tidak setuju perkara ini. Soalnya, sudah sepatutnya negara mempunyai elit pemikir penyumbang, waima mereka bercanggah dengan kerajaan pun tak kisah. Cuma, jangan diambil itu nas untuk jadikan mereka musuh negara.
Percambahan keintelektualan Melayu mesti diwujudkan sekarang. Pensyarah dan profesor harus dikecualikan dari sebahagian besar cengkaman besar ini. Ini titik topik yang mesti diapungkan dalam kerajaan hari ini.
BANTUAN PIHAK DIRAJA
Dalam bab ini, pihak diraja boleh membantu mewujudkan tenaga fikir intelek Melayu. Raja mempunyai pengaruh besar. Kita tidak mahu “habis satu ucapan, selesailah”. Sudah sampai masanya Tuanku-tuanku kita muncul ke depan menggerak dan menggalakkan orang Melayu berfikir.
Di sebalik orang Melayu masih tertinggal dalam serba-serbinya, sistem pendidikan harus mengorak langkah lebih agresif. Kelihatannya sistem kita masih lebih kepada satu hala.
Budaya tinggi belum boleh dibanggakan dalam pendidikan kita. Misalnya, keintelektualan bangsa kita terhadap pendatang haram tidak ada. Macam seolah-olah kita kata ‘biasalah itu’. Kerja-kerja rencam yang menjana pendapatan terus didominasi warga asing.
Barangkali sebahagian intelek Melayu terlampau bergantung kepada imbuhan atau hal-hal berkaitan dengan habuan, pangkat dan kedudukan. Mereka tidak berani seperti dahulu menyuarakan hal tertentu demi kebenaran, perjuangan dan keintelektualan mereka. Menjadi seorang intelek bererti seseorang itu berani mengemukakan yang benar. Berani kilas suara yang salah berpandukan ilmu, nilai sejagat dan Islam.
Kalau seseorang itu intelek atau yang berkuasa di menara gading atau seseorang yang tinggi namanya sebagai pemikir tetapi tidak berani menyanggahi perkara yang nampak tidak baik, tidak benar, itu dikira itu sudah lari dari tanggungjawab asas seorang pemikir, intelek.
Mewarisi legasi itu payah. Justeru “Hidup Melayu” mu jangan murah. Perjuangan itu pelaksanaan kata-kata yang tak gawat di tengah jalan, yang tak digentar ditabuh halangan.
Kasihan Hang Tuah. Besar kemungkinan kata-kata hikmatnya “Tak akan Melayu hilang di dunia” tidak lagi akan menjadi kenyataan.
Demikianlah apabila kita bergantung kepada kata-kata hikmat untuk nasib kita, akhirnya akan hilang hikmatnya.










