“SEBAGAI tambahan, mahkamah ini berkongsi kerisauan bahawasanya perlu ada imbangan yang berhati-hati antara kebebasan bersuara dan hak untuk tidak difitnah.” – Yang Arif Darryl Goon Siew Chye dalam kes GS Realty Sdn. Bhd. lwn. Lee Kong Seng.
Petikan dalam kes GS Reality ini signifikan kepada semua pengguna dan pelayar media sosial supaya berhati-hati dan tertib dalam membuat komen ataupun hantaran di akaun milik mereka. Dalam kes ini, defendan didapati bertanggungan ke atas penerbitan kenyataan dibuat oleh pengikut-pengikut defendan dalam hantaran tersebut.
Hantaran komen mereka telah didapati memfitnah plaintif dengan menggambarkan bahawa plaintif sebuah syarikat tidak bermaruah, menahan pembayaran komisyen dan mempunyai reputasi buruk. Mahkamah juga membuat kesimpulan bahawa defendan telah mengedar kenyataan yang dihantar oleh pihak ketiga dikenali oleh defendan selain gagal mengambil tindakan sewajarnya terhadap komen dibuat oleh pelayar-pelayar tersebut.
Keputusan kes ini memperkukuhkan lagi prinsip perundangan bahawa setiap kebebasan bersuara akan hadir bersama dengan tanggungjawab.
Mana-mana individu yang ingin membuat sebarang hantaran atau penerbitan di media sosial mestilah bertanggungjawab ke atas kesan daripada hantaran itu. Persepsi bahawa mereka tidak bertanggungjawab ke atas komen pengikut mereka tidak lagi boleh melindungi mereka daripada diheret ke mahkamah.
Penggunaan internet di negara ini merekodkan seramai 29.55 juta orang pada Januari 2022 dan seramai 30.25 juta daripadanya merupakan pengguna media sosial yakni bersamaan 91.7 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi. Ini sudah pasti menjadikan media sosial dan internet satu platform yang pesat dan mempunyai capaian maklumat lebih cepat dan pantas berbanding komunikasi tradisional.
Dahulunya, kenyataan fitnah melibatkan media tradisional seperti surat khabar. Namun dengan kewujudan dan kerancakan internet dan segala jenis media sosial, pengguna perlu lebih berintegriti dalam penggunaannya.
Ia adalah suatu yang membimbangkan apabila warganet kini bergantung harap pada media sosial dan hilang sifat untuk mendapatkan kepastian terhadap satu-satu tuduhan atau mengamalkan sifat tabbayun. Walhal sekiranya warganet bersifat berbaik sangka, maka tidak berlaku buli siber, fitnah-memfitnah dan lain-lain cercaan di alam maya. Kebebasan bersuara yang diberikan dan dijamin dalam perlembagaan perlu diguna sebaik mungkin tanpa menyakiti mana-mana individu.
KECEDERAAN
Malangnya, terdapat beberapa-beberapa insiden masyarakat membuat hantaran termasuklah video ataupun gambar yang tersasar arah.
Akibatnya, mangsa dikecam oleh warganet tanpa diketahui pucuk pangkal kisah video atau gambar yang tular. Lebih teruk, buli siber ditujukan kepada ahli keluarga terdekat yang tidak tahu apa yang berlaku. Selepas diberitahu kebenaran atau siasatan dilakukan, barulah sedar mangsa tidak bersalah tetapi telah dihukum salah oleh warganet.
Samalah juga dengan kes GS Realty ini di mana tuduhan yang dilemparkan memberikan kesan buruk kepada reputasi mereka sebagai ejen hartanah yang mana kepercayaan dan reputasi merupakan satu-satunya cara mereka boleh bertahan dalam industri. Peri laku fitnah ini sememangnya akan memberikan kesan kepada mangsa sebagaimana dalam kes GS Realty tersebut.
Dalam kes ini, mahkamah telah memetik penghakiman Hakim Mahkamah Rayuan, Suraya Othman dalam kes Raub Australia Gold Mining Sdn. Bhd. Mahkamah dalam kes ini antara lain menyatakan bahawa fitnah membawa ‘kecederaan’ kepada reputasi. Reputasi pula dinilai oleh individu dan memberikan kesan kepada harga diri dan kedudukan mereka dalam komuniti.
Ini yang terjadi dalam kebanyakan kes-kes fitnah yang dilaporkan. Sekiranya tuntutan fitnah terbukti, si pelaku akan berhadapan risiko membayar ganti rugi kepada penuntut ataupun mangsa fitnah. Jumlah ganti rugi pula bergantung kepada beberapa faktor, antaranya keseriusan tuduhan, saiz dan pengaruh sebaran, kesan penerbitan, reputasi penuntut, peri laku pelaku dan mangsa.
Walaupun ganti rugi diberikan kepada mangsa, namun kesan berpanjangan kepada mangsa dalam aspek reputasi, nama baik dan kedudukan dalam masyarakat tetap merupakan satu luka yang panjang dan menyakitkan. Selain daripada hantaran memfitnah, pengguna media sosial juga perlu berhati-hati dan mengelak daripada membuat komen berbaur hasutan ataupun yang menjurus kepada gangguan seksual kepada mana-mana individu.
Komen-komen ini dikhuatiri akan membawa kepada tindakan undang-undang. Komen yang bersifat jelek, menghina dan menghasut juga memberikan kesan sama kepada mangsa. Nama baik, keyakinan berhadapan masyarakat dan reputasi menjadi luka yang berterusan meskipun kenyataan tersebut ditarik balik atau dipadamkan. Inilah hakikat sebaran dalam talian yang mempunyai capaian tidak terbatas.
Tuntasnya, dalam kita melaksanakan kebebasan bersuara dalam talian sekalipun, perlu diingat hak untuk tidak disakiti oleh hantaran yang dibuat di media sosial. Pemfitnah serta pembuli siber tidak sepatutnya mendapat pengiktirafan oleh warga maya. Sebaiknya ahli masyarakat perlu ingat, setiap perkataan yang diterbitkan mempunyai kesan kepada seseorang. Lebih malang apabila kita berada dalam kedudukan tidak tahu akan fakta tetapi berpura-pura tahu segalanya. – UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA); dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).











