Kalau tak berkenan, Melayu ‘borong’ tukar saja… - Utusan Malaysia

Kalau tak berkenan, Melayu ‘borong’ tukar saja…

DALAM politik yang pantas dinamik hari ini, pengundi khususnya orang Melayu kini tidak akan teragak-agak menukar parti atau kerajaan yang mereka tidak berkenan. – GAMBAR HIASAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POLITIK di Malaysia bergerak pantas. Dinamik. Cepat berubah.
Kalau diimbas senario pilihan raya negeri (PRN) Sabah 26 September 2020 misalnya, betapa kita akan lihat ‘kebijaksanaan’ berpolitik menjadikan kedinamikan itu seakan tidak berpenghujung demi penguasaan kuasa.
Menerusi keputusan PRN itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memiliki Perikatan Nasional (PN) yang di dalamnya ada Star. Sebelas kerusi Bersatu + 6 (Star) menjadikan 17 kerusi. Mereka buat perjanjian dengan PBS. 17+7 jadi 24. Mereka taja Bebas. 24+3, menjadikan 27.
Barisan Nasional (BN) pula waktu itu mempunyai 14 kerusi. Jadi, 27 kerusi melawan 14, maka 27 menang. Malah, Bersatu memiliki Perdana Menteri yang menjadi magnet penarik. Untuk menjadi magnet besar begitu, kerusi dimenangi mesti banyak, sementara dana BN pula terhad. Didakwa di Sabah, jentera rupanya senang dibina. Ada duit, bayar, maka ramailah jentera. Walau ada gabungan politik yang baru bertapak, ‘duit jadi raja’.
Justeru, apakah jalan hendak berjaya mendapat kuasa semula ketika orang lain menjadi PM? Ya, nampaknya parti itu harus kerja 10 kali ganda lebih kuat dengan kaedah yang strategik. Mesra rakyat. Jangan sombong. Dekati pengundi. Ziarah kasih. Pergi masjid. Walkabout. Aktif media sosial. Buat program kecil-kecil tetapi banyak. Prihatin rakyat. Pergi kenduri kendara. Bantu yang susah. Beri surat sokongan. Jumpa yang berkuasa untuk buat pembangunan. Lama sebelum PRU mesti dibuat ini semua.
Bukan hanya aktif menje­lang pilihan raya umum saha­ja. Barulah ada peluang un­tuk berjaya serta dilihat oleh rakyat. Namun, tetap masih belum tentu boleh menang PRU jika berbalah sesama sendiri. Cah keting. Dengki dan iri hati, maka itu semua dalam parti itu harus muhasabah diri.
PENYAKIT TENAT
Senario politik negara yang sungguh dinamik ini bermula sejak 2018. Bergilir-gilir perdana menterinya sampai tiga orang dalam penggal PRU14 sahaja. Itupun selepas mandat rakyat dimuktamadkan menerusi PRU15 pada 19 November tahun lalu masih belum mampu memuaskan hati ramai.
Tiada gabungan parti pun meraih majoriti mudah 112 kerusi sehingga akhirnya UMNO yang menunjangi BN tiba-tiba menjadi kingmaker – yang dituruti jejaknya oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Dan belum pun masuk 100 hari pentadbiran Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, negeri di bawah bayu pula bergolak politiknya. Saling menyaingi antara GRS dan satu-satunya pembangkang, Parti Warisan Sabah (Warisan) berebut jawatan ketua menteri. Di Asia Tenggara barangkali di Asia juga, agaknya kemelut dan ‘pahit jerih’ politik di Malaysia ini boleh dijadikan medan penyelidikan dan eksperimen oleh golongan cendekiawan.
Sebenarnya (apa yang tidak sebenarnya!), sejak zaman berzaman lagi dalam mana-mana parti politik di Malaysia bumi orang Melayu ini, penyakit tenat dan berat ialah gara-gara para pemimpin sendiri bercucuk radak mengatasi pemimpin lain.
Dalam banyak ketika, mereka yang mengetuai kepemimpinan dan hierarki atas tidak sepatutnya bersengketa kerana kebolehan serta tahap pencapaian masing-masing tidak mengharuskan mereka berlumba-lumba. Tetapi ego politik sentiasa mengatasi fiil positif yang lain hingga ramai yang lupa diri. Mereka lupa dari mana mereka berasal, apa sebenarnya yang dikatakan perjuangan. Apa dia perjuangan itu?
Politik bagi mereka yang melihat dengan jujur dan telus, tetap berupa alat dan kaedah mencapai kebaikan bagi orang ramai. Bukan keburukan seperti agenda peribadi yang lahap kuasa, lahap kekayaan. Yang memimpin mesti mempunyai pemikiran dan idea yang jelas untuk mencapai matlamat rakyat yang dipimpin. Seseorang pemimpin mesti merasai degupan jantung dan naluri rakyat yang dipimpin kerana pada hakikatnya pemimpin adalah kuda lejang atau soldadu perjuangan rakyat.
Dalam pada itu juga mesti ada lapisan pemimpin yang berada di tahap tinggi yang pemikiran mereka bernas, jitu, mudah difahami serta diikuti. Masalahnya, pemimpin lapisan atas itu memerlukan sokongan mengikut suara ramai. Di sinilah sukarnya atau aralnya kerana suara ramai itu tidak semestinya selalu logik.
Barang siapa yang menganggap suara majoriti melalui pengaruh politik wang itu logik adalah silap besar kerana hal itu tidak meninggalkan pengaruh dan kesan yang berkekalan. Akhirnya pemimpin yang dipilih secara imbuhan juga akan mengamalkan politik imbuhan sampai mati kariernya atau sehingga rakyat menolak pimpinannya.
SLOGAN CANTIK
Kita dalam parti politik, tidak kira yang mana satu, pasti sekali memperjuangkan satu jenama politik membela bangsa, agama dan tanah air. Slogan itu cantik tetapi amalannya tidak seindah mana. Kita orang Melayu sendiri terasa bersalah dalam hal ini kerana sebanyak sedikit turut disedut ke dalam politik kabilah ini – yang mengamalkan politik ‘orang kita’ dan ‘orang dia’ selagi politik bernama politik.
Sekurang-kurangnya kita belajar dari prinsip politik Machiavelli yang mengasaskan kuasa kepada mendapatkan sokongan dan populariti suara ramai dengan cara apa sekalipun. Cara tidak diperhitungkan asalkan matlamat tercapai. Dan kita faham kaedah ini akan memanjangkan tabii kawan jadi lawan dan akan membiakkan korupsi dalaman.
Kaedah ini membunuh sifat luhur, sekali gus membunuh budaya kemelayuan kita. Ia membunuh politik demi perolehan jawatan dan pangkat. Jika tidak dibanteras, apabila pemimpin jenis ini memerintah dalam kerajaan nanti mudahlah rasuah menular dalam sistem pemerintahan itu sendiri. Untuk mengekangnya, mesti diwujudkan sistem nilai yang boleh dikuatkuasakan melalui pengaruh pimpinan dan tindakan penguatkuasaan sama ada dalam parti mahupun dalam kerajaan.
Ramai di luar sana mungkin menyatakan ‘ini, itu lakukanlah, baru rakyat dan negara ini oleh stabil dan pemimpin mesti ada iltizam politik yang berani’. Itu cuma di atas kertas. Diakui, proses ini lebih mudah dikatakan, tetapi sukar dipraktikkan. Tiada pensyarah politik, walau bagaimana melangit sekalipun ilmu kajian sains politik yang dipelajarinya, yang upaya mengajar ilmu politik sedalam dan seluas pengalaman yang telah dialami oleh seseorang pengamal politik.
Bila kuasa di tangan, harus pandai menggunakannya dengan bijak. Ketuanan akan datang dan kekal jika kuasa politik kukuh dan terus membela bangsa. Malangnya kekukuhan dan ketuanan bukan komoditi yang mudah diperoleh dengan hanya laungan.
Ia akan hanya datang dan berada di sisi apabila perjuangan itu luhur dan tidak kotor. Dan dalam politik yang pantas dinamik hari ini, pengundi khususnya orang Melayu kini tidak akan teragak-agak menukar parti atau kerajaan yang mereka tidak berkenan. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN