GTA tidak bawa naratif perkauman

GTA tidak bawa naratif perkauman

GERAKAN Tanah Air (GTA) dikatakan gagal mengambil iktibar daripada kekalahan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu. – UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARIPADA laporan media, beberapa penganalisis berkata, Gerakan Tanah Air (GTA) harus dibubarkan selepas penampilan buruknya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Mereka mendakwa mesej pro-Melayu semasa berkempen gagal bergema dalam kalangan kumpulan sasarannya, iaitu pengundi Melayu.

Bagi saya, kenyataan oleh kumpulan penganalisis ini separuh benar. Kegagalan kempen GTA meyakinkan pengundi khususnya orang Melayu sememangnya tidak dinafikan.

Namun, dakwaan mengatakan kegagalan kempen GTA kerana membawa naratif pro-Melayu atau mesej perkauman, itu tidak benar malah silap. Ini kerana naratif perkauman yang digambarkan oleh penganalisis ini bersandarkan pada persepsi dalam kalangan kumpulan Melayu liberal.

Persepsi yang dicipta oleh kumpulan Melayu liberal ini adalah simplistik, bukan ilmiah. Bagi kumpulan Melayu liberal ini akan mudah melabelkan apa sahaja istilah berkaitan Melayu yang dibawa oleh GTA sebagai perkauman. Sedangkan prinsip asas yang diperjuangkan oleh GTA ialah persoalan integriti – Melayu berwibawa (bersih) melawan Melayu korup.

PECAH AMANAH

Inti pati naratif ini adalah mengenai perlawanan antara memilih pemimpin Melayu yang berintegriti dan berwibawa dengan pemimpin Melayu yang rasuah dan pecah amanah. Inilah mesej sebenar yang gagal dibaca atau sengaja diabaikan oleh penganalisis tersebut.

Kumpulan penganalisis ini juga gagal membaca dengan teliti kekalahan GTA berkait langsung dengan budaya kempen politik wang. Bantuan rakyat yang dikeluarkan oleh blok-blok politik kepada pengundi dan jentera dengan pembelian papan iklan gergasi, media sosial yang begitu besar semasa berkempen ini telah mendominasi persepsi rakyat. Dengan kekuatan kewangan untuk jentera dan pengundi oleh tiga blok politik ini, calon-calon GTA yang dibantu sebanyak RM15,000 bagi setiap calon sememangnya tenggelam dalam persaingan kempen sebesar ini. Dan jika penganalisis ini membuat kajian yang sedikit mendalam lagi, mereka akan mengetahui sebab sebenar kekalahan teruk GTA ini adalah berpunca daripada kelemahan kepimpinan politik itu sendiri.

Kelemahan kepimpinan politik di peringkat parti dalam GTA adalah kerana gagal mengambil iktibar daripada kekalahan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu. Dari Mac hingga tertubuhnya GTA pada Ogos tahun ini, ia tidak digerakkan dengan membina kekuatan organisasi, jentera dan penerangan yang jitu. Kerana itu kita mendengar ramai calon GTA tidak bersedia memasuki PRU15.

Saya mengambil kesempatan ini bukan sahaja untuk memperbetulkan hujah dan tanggapan penganalisis bahawa GTA membawa naratif perkauman, tetapi saya ingin menjelaskan sebab-sebab utama kekalahan GTA. Sama ada GTA akan tenggelam selepas ini atau mahu terus relevan, ia bergantung kepada sejauh mana kepimpinan politik dapat berubah dan bertindak. Segalanya terletak kepada ahli dan kepimpinan.

Rakyat tidak akan dapat menyelamatkan GTA sekiranya kepimpinan tidak mahu belajar daripada kesilapan. – UTUSAN

PENULIS ialah Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN