PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang hari pengundiannya sudah ditetapkan pada 19 November ini tidak sama dengan pilihan raya-pilihan raya yang pernah dilalui sebelum ini.
Kalau kita lihat Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU10) yang diadakan pada 29 November 1999 (juga musim hujan) ia membabitkan pertembungan reformasi jalanan (ekoran pemecatan Datuk Seri
Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO) melawan kerajaan yang dilabelkan ‘jahat’ dan ‘zalim’ ketika itu.
Kempen-kempen pilihan raya menjadi demonstrasi jalanan yang membabitkan pertembungan antara pihak berkuasa dengan para penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahu memastikan Anwar kembali ke pucuk kuasa.
PRU10 adalah permusuhan antara dua tokoh iaitu Anwar dan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu ampuh mengemudikan Barisan Nasional (BN) untuk kekal sebagai kerajaan dengan sokongan daripada pengundi Cina.
PRU10 menyaksikan wujudnya Barisan Alternatif (BA) iaitu parti-parti pembangkang yang berbeza ideologi buat pertama kalinya bersatu dengan tujuan memecahkan monopoli BN dalam pemerintahan negara.
BA adalah gabungan PKR, Pas dan DAP. Pas buat pertama kali juga mengetepikan sikap ekstremnya untuk berjabat tangan dengan DAP yang dianggap sebagai parti cauvinis Cina.
Tetapi campuran pembangkang ini tidak berkesan kerana ada pihak yang cuba memaksa ideologi mereka ke atas pihak lain hingga wujud pertikaian dan BN menang 149 kerusi untuk mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen.
Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU11) berlaku pada 21 Mac 2004 ekoran pembubaran Parlimen pada 4 Mac. Ini adalah pilihan raya Tun Abdullah Ahmad Badawi. Pilihan raya yang diadakan selepas beliau mengambil alih kerajaan daripada Dr. Mahathir pada Oktober 2003.
Selepas 22 tahun berada di bawah era Dr. Mahathir yang di penghujung kerjaya dilabel dan dikaitkan dengan bermacam-macam perkara negatif, pengambilalihan oleh Abdullah dilihat sebagai bermulanya era baharu yang memberi ‘feel good’ untuk rakyat keluar mengundi.
Yang tidak pernah mengundi sebelum ini pun keluar memilih pemimpin sebagai tanda sokongan kepada Abdullah dan berakhirnya era Dr. Mahathir.
Pada PRU11 ini, belum apa-apa lagi iaitu pada hari penamaan calon BN sudah menang 15 kerusi tanpa bertanding diikuti dengan tambahan dua kerusi lagi apabila calon pembangkang tarik diri.
Undi popular untuk BN mencanak naik iaitu hampir 64 peratus dan BN menang di 198 kawasan Parlimen dengan pembangkang hanya 20 dan satu lagi dimenangi calon bebas. Ini adalah majoriti terbesar yang pernah dimenangi selepas Pilihan Raya Umum 1978.
Pada PRU11, pembangkang boleh dikatakan lumpuh. Pas hanya menang tujuh kerusi. PKR hanya menang di Permatang Pauh yang ditandingi Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail dengan majoriti 590 undi. Parti itu tewas di empat Parlimen yang mereka menang pada 1999. Cuma DAP berjaya membaiki prestasi buruk pada 1999 dengan menang 12 kerusi.
Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) yang diadakan pada 8 Mac 2008 pula dilihat manifestasi kekecewaan rakyat terhadap pemerintahan Abdullah. Ini terbukti apabila prestasi BN merosot teruk hingga buat pertama kali hilang majoriti dua pertiga di Parlimen. Selain gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Parlimen, buat pertama kali BN hilang kuasa di Selangor, Kedah dan Perak selain Pulau Pinang.
Tokoh-tokoh besar BN seperti Tan Sri Koh Tsu Koon, Tun Samy Vellu, Datuk Seri Shahrizat Jalil, Tan Sri M Kayveas dan Tan Sri Zainuddin Maidin kalah. Pada PRU 2008 BN diselamatkan oleh undi di Sabah, Sarawak dan Johor.
Ini adalah kekalahan terburuk BN yang memaksa Abdullah melepaskan jawatan Perdana Menteri dan diambil alih oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang buat pertama kali turun mengetuai BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 5 Mei 2013.
Situasi pada PRU13 sudah jauh berbeza daripada pilihan raya-pilihan raya umum sebelum ekoran penggunaan internet dan media sosial yang meluas. Kesan daripada PRU12 juga masih terasa dengan pembangkang berjaya membawa momentum itu. Sasaran pembangkang pada PRU13 adalah menumbangkan kerajaan BN yang sudah berkuasa hampir 60 tahun.
Pembangkang melalui PR menerbitkan Buku Jingga yang menggariskan kejayaan mereka mentadbir empat negeri. Selain itu, naratif yang dimainkan pada 2013 adalah menuntut sebuah pilihan raya yang bersih. Namun masih gagal untuk menumbangkan BN.
Tetapi kuasa BN semakin terhakis, di mana PR buat pertama kali mendahului dari segi undi popular. Majoriti BN pada PRU13 semakin berkurangan iaitu hanya menang 133 daripada 222 kerusi Parlimen.
Sebanyak 89 kerusi menjadi milik Pakatan Rakyat, yang terbesar pernah dimenangi pembangkang. Namun BN berjaya tawan semula Kedah.
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang rakyat dari seluruh pelosok negara dan ceruk rantau dunia turun mengundi pada 9 Mei 2018 adalah sejarah. Sejarah yang menyaksikan BN tumbang selepas 60 tahun memerintah negara. Isu kleptokrasi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), derma daripada raja Arab, rasuah, salah guna kuasa, kronisme dan lain-lain telah menjatuhkan BN.
Satu lagi sejarah apabila Dr. Mahathir berjabat tangan dengan Anwar dan Lim Kit Siang. Musuh selama berdekad ini duduk sepentas membelasah Najib dan BN hingga tumbang.
Perjuangan pembangkang telah mencapai kemuncak kejayaan. Namun kejayaan yang dikecapi itu tidak tahan lama kerana perbalahan dan perpecahan dalam Pakatan Harapan (PH) yang membawa kepada penubuhan Perikatan Nasional (PN) dan seterusnya pembubaran Parlimen untuk laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),
Persoalannya dalam PRU15 ini siapa hendak jatuh siapa? Siapa yang hendak ditumbangkan? Siapa musuh ketara yang perlu diserang dan dibelasah habis-habisan? Kerajaan terakhir yang ditubuhkan dengan mandat rakyat adalah PH.
Oleh itu, PRU15 bukan soal menjatuhkan sesiapa. Tetapi medan untuk rakyat memilih pakatan bagi membentuk kerajaan yang dapat memimpin negara.
Bagi parti-parti yang bertanding, PRU15 adalah pentas untuk mendapatkan kepercayaan berdasarkan keupayaan dan kebolehan mereka menggariskan hala tuju bagi menyediakan negara untuk keluar daripada pelbagai kemelut yang berlaku sekarang, selain berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi global yang dijangka tahun depan.
Ini adalah pilihan raya untuk menentukan hala tuju negara. Bukan mencapai cita-cita peribadi untuk menyingkir, menumbang dan menjatuhkan individu atau parti tertentu.
Ini adalah pilihan raya untuk memilih pemimpin berkarisma, bagi membentuk kerajaan yang kuat, dihormati dan disegani termasuk di pentas Antarabangsa.
Jika menang, mereka yang dipilih ini akan jadi kerajaan yang kuat untuk tadbir negara. Andai kalah, mereka akan menjadi pembangkang yang bijak, digeruni dan dihormati.
Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia










