Biarkan si Luncai terjun lagi?

Biarkan si Luncai terjun lagi?

PENULIS bimbang kerana sudah ada ramalan bahawa skandal rasuah ala 1MDB akan berleluasa lagi. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU, kedengaran semula soal budaya takut tercetus daripada kes rasuah yang menerima perhakiman memeranjatkan. Ini memandangkan ia berlanjutan agak lama, seolah-olah tiada kesudahannya. Tetapi bak kata perpatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

Jatuhnya kali ini agak mengejutkan kerana haiwan itu cukup lincah bergayut-gayutan dari dahan ke dahan, kadang kala ranting ke ranting. Namun, tiba jua masanya apabila gayutan tersebut gagal memberi laluan selanjutnya. Ini hakikat tatkala keyakinan bertukar angkuh dan langkah seterusnya mula membawa padah.

Dalam pada itu, masih ada pihak kurang memahami bahawa tersilap langkah atau perhitungan sentiasa mengintai hidup yang tidak lagi sejahtera. Tidak lagi cermat dan berhati-hati akibat kerakusan yang mendesak hari demi hari. Ketika itu yang jelas nampak samar-samar, yang ada dinyahkan dan yang mudah pula menjadi sukar. Semuanya seolah-olah satu kekeliruan besar, benar atau tidak, kecuali dihadapkan ke muka pengadilan yang arif lagi bijaksana. Akhirnya, semuanya akan selesai dengan dimeterai hukuman yang setimpal.

Soal takut tidak ditimbulkan dewasa itu. Masing-masing dengan kehebatan tersendiri, berhujah menegakkan benang walaupun yang basah sekalipun. Tidak apa yang ditakutkan asalkan berbicara benar belaka. Peluang yang ada jangan dipersia-sia, tidak perlu takut. Kata perpatah, kalau takut dilambung ombak, jangan tinggal di tepi pantai. Tepuk dada, tanya selera. Tidak perlu mengeluh selepas itu.

Bagaimanapun, sepertimana lazim, rumah sudah siap, pahat masih berbunyi. Faktor takut tiba-tiba menjadi alasan. Ini bukanlah perkara baharu, malah takut sudah dijadikan alasan berabad lamanya. Jika tidak, sedangkan rasuah mencengkam negara begitu kuat sekali hari ini sehingga dikenali yang paling buruk di seluruh dunia.

Bayangkan jika ada yang berani menegur sebelum ia berputik 10 tahun lalu. Yakni pantas dan tidak takut mengambil tindakan menghentikannya. Sayangnya, ini tidak berlaku walaupun melibatkan hanya beberapa kerat yang tamak haloba, disaksikan ramai di sekelilingnya yang serba ketakutan membuka mulut sungguhpun tidak setuju di dalam hati. Betapa tidak kerana yang berani bersuara, menerima padah masing-masing. Ada yang dipecat serta-merta dari kedudukan semasa, ada yang diminta mengundur diri kerana tidak lagi akur apabila batasan etika serta moral dinodai terang-terangan hari demi hari. Tidak kurang juga yang takut membuat laporan kepada pihak berwajib. Kalau dilaporkan sekalipun, besar kemungkinan takut pula mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan yang ada.

Semua ini tidak menghairankan sama sekali memandangkan Malaysia satu-satunya negara yang mempunyai jarak kuasa (power distance) paling tinggi di dunia. Ini terbalik berbanding negara Barat yang menunjukkan jarak kuasa amat cetek. Bermakna hubungan sesama mereka lebih mesra, lebih telus. Bukan seperti seorang tuan (atau bos) dan khadam suruhan.

Hubungan mereka lebih saksama serta sama rata. Kedudukan dan pangkat tiada hal. Jadi, tegur-menegur agak lumrah dan menjadi amalan biasa dalam menjaga amanah dan maruah.

Banyak yang rela memberi maklum balas serta saling menyantuni dan menghormati tanpa rasa takut. Ramai mengamalkan ini sebagai budaya tadbir urus terbuka.

Di Malaysia tidak begitu berasaskan jarak kuasa terlalu luas. Yakni serba berwaspada dan ketakutan akan reaksi orang atasan atau kayangan. Tersilap sahaja langkah, seseorang itu boleh ‘ditelanjangkan’ oleh ketuanya, baik di khalayak sekalipun kerana rasa tercabar oleh langkah tertentu.

Dengan lain perkataan, adalah lebih selamat berdiam diri membisu dan tidak ambil kisah daripada bersuara untuk memperbetulkan keadaan.

Ekoran itu, keadaan terus meruncing kerana amalan buruk pihak terlibat berlarutan dan tidak dapat diperbetulkan oleh sesiapa pun. Tambahan ada yang berpura-pura menyokong kerana mahu meraih manfaat daripada pihak yang mengambil kesempatan. Lantas budaya takut terus bermaharajalela.

Jadi, apabila soal takut diungkit-ungkit semula secara terbuka, kelihatan ada udang di sebalik batu. Apatah lagi dengan pergolakan politik yang agak luar biasa dewasa ini dalam percaturan agak sempit bagi mendapatkan laba itu dan ini. Yang pasti, budaya takut kekal membudaya baik pun ancaman rasuah masih belum terbendung. Lebih membimbangkan, kini sudah ada ramalan bahawa skandal rasuah ala 1MDB – versi 2.0 dan 3.0 akan meluas.

Adegan-adegan yang lebih teruk daripada 1MDB akan berulang. Yakni diselubungi ketakutan dalam mencari keterbukaan dan kebenaran hasil budaya ketakutan yang telah lama mengakar umbi. Wajarkah si Luncai terus dibiarkan terjun dengan labu-labunya? – UTUSAN

Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN