JALAN Temiang-Pantai dekat Seremban, Negeri Sembilan yang dikatakan cantik pemandangan sekitarnya seperti di New Zealand sewajarnya dijadikan lokasi pelancongan.
Kebelakangan ini, jalan tersebut menjadi kontroversi disebabkan pengguna gemar mengambil gambar sekali gus berisiko menjadi punca kemalangan.
Awal bulan ini, seorang lelaki warga emas maut selepas basikal ditungganginya dilanggar sebuah kereta di laluan itu.
Dalam pada itu, pengguna juga diarahkan oleh pihak berkuasa supaya tidak berhenti di tepi jalan bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.
Awal bulan ini juga sebanyak 17 saman dikeluarkan kepada pengguna laluan berkenaan dalam Ops Halangan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban. IPD Seremban menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, operasi yang dijalankan itu bertujuan membendung segelintir pengguna yang berhenti di lorong kecemasan di sepanjang laluan tersebut yang boleh mengundang bahaya kepada semua pihak.
Sewajarnya di sebalik penguatkuasaan undang-undang terhadap pengguna di laluan yang mempunyai pemandangan memukau tersebut, sesuatu harus dilakukan untuk memastikan ‘anugerah’ Ilahi ini tidak menjadi sia-sia. Kerajaan negeri mahupun Kerajaan Persekutuan patut duduk bersama-sama untuk menjadikan pemandangan indah tersebut sebagai penjana ekonomi rakyat. Carilah jalan untuk menjadikan muka bumi indah berkenaan untuk mendatangkan faedah kepada negara dan warga Negeri Sembilan.
Jangan disia-siakan produk pelancongan yang berpotensi menjadi tumpuan peminat motosikal, penunggang basikal serta pelancong domestik dan luar negara. Sesungguhnya bukan semua orang mampu naik kapal terbang untuk melancong ke New Zealand. – UTUSAN










