Pakar ekonomi perlu wujud nilai bahasa Melayu

Pakar ekonomi perlu wujud nilai bahasa Melayu

PAKAR ekonomi kita harus mula memikirkan cara bahasa Melayu boleh berperanan penting dalam bidang perniagaan, bermula dengan urusan dalam negara diikuti luar negara pula. – UTUSAN/BALQIS MISHA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNTUK bahasa Melayu menjadi bahasa antarabangsa dalam pengertian sebenarnya, ia perlu memiliki sebilangan ciri yang dapat menarik warga dunia untuk menerimanya.

Sehubungan ini, kekuasaan komuniti penuturnya khususnya anak watan dalam bidang ekonomi dan bukan pun politik apatah lagi ketenteraan pada zaman moden ini adalah ciri terunggulnya.

Dalam hal ini, harus diakui bahawa bukan tugas mudah untuk mengenal pasti apatah lagi menetapkan kriteria yang menentukan nilai sesebuah bahasa itu. Sudah tentu ahli bahasa tidak mampu menjelaskan faktor yang mempengaruhi profil sesebuah bahasa dalam konteks nilai ini. Sebenarnya pakar ekonomi sendiri juga tidak berjaya memberitahu dengan jitu akan caranya melainkan sekadar menyerukan dikembali kehebatan bahasa Melayu dalam bidang ekonomi dalam kes bahasa Melayu.

Sebenarnya faktor yang menentukan nilai pada sesebuah bahasa itu pada sesuatu masa tertentu adalah tidak sama. Meskipun begitu, ekonomi adalah yang terpenting.

Hal ini dapat dilihat pada satu ketika dahulu pada bahasa Mandarin secara bandingan dengan bahasa Jepun. Walaupun bahasa Mandarin hebat dari segi tradisi budaya selain mewakili China sebagai entiti politik penting di dunia dan pula memiliki taraf rasmi di beberapa kawasan di dunia, ia tidak diminati sangat untuk ditekuni sebagai bahasa asing berbanding bahasa Jepun.

Ini ada kaitan dengan potensi China dari segi eksploitasi ekonomi yang tidak seberapa jika dibandingkan dengan yang dari Jepun. Oleh itu secara perbandingan, bahasa Jepun lebih banyak ditekuni warga dunia daripada bahasa Mandarin, bukan sangat atas nilai budaya pada bahasa Jepun yang juga hebat padanya tetapi lebih kepada nilai ekonomi padanya.

Natijahnya ialah kita harus berusaha pada landasan ekonomi untuk merealisasikan gagasan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa. Justeru, apa-apa yang lain, kehebatan budaya misalnya tidak boleh digunakan sebagai kriteria penting apatah lagi yang utama. Dengan ini, kekuasaan ekonomi hendaklah kita bina bagi bahasa Melayu bukan sahaja untuk disanjungi tetapi diketahui untuk dikuasai bagi berurusan dengan kita dalam bidang ekonomi.

Ini akan betul-betul menjadi realiti jika kita berupa negara yang rakyatnya rata-rata tidak boleh berbahasa Inggeris seperti China, Jepun, Korea dan Indonesia di rantau ini.

Akan tetapi Malaysia bukan sahaja dikenali malah kita sendiri memberitahu dunia dalam usaha menarik pelaburan bahawa kita adalah English speaking country, iaitu negara yang banyak menggunakan bahasa Inggeris.

Walaupun demikian, kerana kekuasaan ekonomi kita, bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara kita akan dipelajari ramai sebagai bahasa asing berbanding bahasa lain yang tidak boleh dikaitkan dengan kekuatan ekonomi penutur watannya. Sehubungan ini, bilangan warga dunia yang mempelajari bahasa Melayu yang ramai itu adalah petanda baik bahawa bahasa negara kita mempunyai kepentingan di persada antarabangsa.

SEMPIT

Dari pengertian sempit, bahasa Melayu menjadi bahasa antarabangsa apabila warga dunia yang menekuninya berbahasa Melayu sesama mereka. Ini berlaku kerana mereka pernah mempelajarinya sebagai bahasa asing. Dalam hal ini, sudah tentu kita mahu perkara begini berlaku pada peringkat makro yakni dalam agregat besar di pentas dunia, misalnya warga Eropah rata-ratanya menggunakan bahasa Melayu untuk berkomunikasi dengan warga Afrika.

Untuk ini terjadi, pakar ekonomi kita harus mula memikirkan cara bahasa Melayu boleh berperanan penting dalam bidang perniagaan, bermula dengan urusan dalam negara yang diikuti luar negara pula. Sehubungan ini, mereka harus berhati-hati tentang pilihan penggunaan bahasa yang bukan sahaja bersifat peribadi antara pihak terbabit, lebih-lebih lagi dalam sektor bukan awam tetapi ia juga bersifat sensitif.

Oleh itu, cadangan apatah lagi arahan tentang cara itu perlu mengambil kira bahasa perdagangan tempatan dan antarabangsa sedia ada yang sudah digunakan semenjak sekian lama. Tidak dapat dinafikan bahawa nilai bahasa Melayu dipengaruhi pelbagai faktor yang setiap satunya menyumbang untuk menjadikannya bukan sahaja sebagai wadah penting tetapi juga unsur utama dalam proses ekonomi.

Untuk ini, pakar ekonomi kita hendaklah memahami semua ini dalam konteks bagaimana proses ekonomi dalam pelbagai bentuknya itu dipengaruhi keadaan linguistik bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Ini hendaklah seterusnya dilakukan mereka dalam konteks kepentingan bahasa Melayu dalam ranah antarabangsa khususnya komunikasi antarabangsa dalam bidang ekonomi.

Sesungguhnya bahasa bukan sahaja muncul tetapi berperanan penting dalam segala sisi kehidupan manusia termasuklah pembangunan ekonomi. Dengan ini, amat penting agar pakar ekonomi kita meneliti bagaimana manifestasi bahasa itu berlaku dan peranan khusus bahasa dalam keberhasilan ekonomi, lebih-lebih lagi yang amat berjaya.

Untuk ini, pakar ekonomi kita perlu mula memberi perhatian kepada bahasa Melayu selaku bahasa negara dalam konteks pembangunan ekonomi negara yang perlu diakui tidak pernah diberi perhatian langsung selama ini ketika mereka merancang kegiatan ekonomi Malaysia, khususnya yang makro sifatnya. Dalam hal ini, mereka hendaklah mula berfikir untuk mewujudkan dampak bahasa Melayu ke atas pembangunan ekonomi Malaysia. Ini penting untuk usaha kita menjadikan bahasa Melayu bahasa antarabangsa yang harus kukuh kedudukannya dan terus-terusan kekal kental atas faktor kekuatan ekonomi. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN