MELAKA: Persetujuan MCA kekal bertanding di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 membuktikan Barisan Nasional (BN) terus komited menyantuni masyarakat berbilang kaum, selain memastikan keseimbangan representasi dalam kepimpinan politik negeri Melaka.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, persetujuan berhubung perkara itu telah dicapai selepas MCA mengadakan mesyuarat kepimpinan tertinggi parti berkenaan petang semalam.
Menurutnya, keputusan itu selaras dengan pendirian Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang mengumumkan parti itu akan terus bertanding di dua kerusi DUN iaitu di Machap Jaya dan Klebang pada pilihan raya 14 November ini.
Beliau menegaskan keputusan itu sekali gus memberi keyakinan kepada pengundi bahawa BN tetap menyantuni pelbagai masyarakat dan kemajmukan di Melaka.
“Sebagaimana yang saya maklumkan, persetujuan telah diperoleh daripada pihak MCA dan mereka telah mengadakan mesyuarat kepimpinan tertinggi parti untuk turut serta bersama BN.
“Seperti yang telah diumumkan oleh Wee Ka Siong, MCA akan tetap bertanding di dua kerusi DUN dan insya-Allah, dari segi representasi di Dewan Undangan Negeri itu, akan kita berikan peluang untuk mereka mewakili masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pengisytiharan Agihan Keuntungan Interim 2/2026 Projek-Projek Peserta FELCRA Berhad di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, BN mahu memberikan keyakinan kepada pengundi bahawa gabungan itu terus memperjuangkan kepentingan pelbagai kaum dan golongan masyarakat, termasuk melalui perwakilan politik yang seimbang.
“Kita memberikan keyakinan kepada para pengundi bahawa BN tetap menyantuni pelbagai kaum dan golongan masyarakat. Kita yakin kemajmukan di Melaka ini penting untuk memperlihatkan keseimbangan representasi di peringkat kepimpinan dan politik negeri Melaka,” katanya.
Semalam media melaporkan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong akur dengan dua kerusi diperuntukkan BN kepada parti itu pada PRN Melaka.
Beliau berkata, ketetapan itu dibuat selepas mengambil kira jaminan mengenai penyertaan parti itu mewakili masyarakat Cina di Melaka tidak akan dipinggirkan.
Ujarnya, jaminan itu dicapai menerusi perbincangan antara parti komponen BN yang menghasilkan perkembangan positif.
Wee berkata, Ahmad Zahid juga memberi maklum balas positif berhubung isu dibangkitkan MCA dan akan diterjemahkan menerusi beberapa tindakan bersama.
Sebelum ini, kedudukan MCA dalam BN menjadi perhatian susulan perkembangan yang berlaku ketika pengumuman calon BN bagi PRN Melaka Ke-16 di MITC, Sabtu lalu.
Wee Ka Siong menyuarakan pendirian parti itu menerusi kenyataan di Facebook, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai pembahagian kerusi dan hubungan MCA dengan kepimpinan BN menjelang pilihan raya berkenaan.
Ketegangan itu turut mendapat perhatian apabila Wee meninggalkan dewan selepas pengumuman calon bersama beberapa pemimpin dan anggota MCA, termasuk Naib Presiden MCA, Datuk Lim Ban Hong yang bertanding di DUN Klebang serta Datuk Ngwe Hee Sem yang dikaitkan dengan pertandingan di DUN Machap Jaya.
Perkembangan itu menimbulkan spekulasi mengenai pendirian MCA susulan pengumuman calon BN dan kedudukan parti berkenaan dalam gabungan itu.
Bagaimanapun, kenyataan Ahmad Zahid hari ini mengesahkan bahawa persetujuan telah dicapai untuk MCA terus bertanding di dua kerusi DUN, sekali gus memperlihatkan usaha meredakan kemelut berkenaan menjelang PRN Melaka Ke-16.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober ini, manakala pengundian akan berlangsung pada 14 November depan. – UTUSAN











